Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

CATATAN WARTAWAN

Pembantu rumah juga perlu rehat

Jun 20, 2022 | 05:30 AM



SHAHIDA SARHID



SAYA masih ingat dahulu semasa saya masih kecil dan keluarga mendapatkan bantuan pembantu rumah, tiada hari rehat diberikan kepada pembantu rumah tersebut.



Malah selama sekitar setahun, pembantu rumah itu, terus-terusan bekerja.



Tetapi pada bila-bila masa beliau perlu keluar bertemu dengan kawan atau saudara yang berada di Singapura, keizinan itu diberikan dan ia bersifat fleksibel.



Lagi pula, pembantu rumah ketika itu, lebih-lebih lagi dengan ketiadaan alat seperti telefon bimbit, tidak tahu tuju ke mana jika mereka diberikan hari cuti.



Pada 2013, terdapat perubahan di mana pembantu rumah diberikan hak asas buruh iaitu hari cuti setiap minggu, sesuatu yang telahpun dinikmati pekerja Singapura secara am dan pekerja asing di bawah Akta Pekerjaan.



Namun demikian, terdapat laporan di mana majikan ketika itu tidak begitu berminat untuk memberikan hari cuti sehingga pembantu rumah menunjukkan mereka boleh dipercayai.



Melihat situasinya pada hari ini, perbezaan dapat dilihat daripada segi penerimaan majikan terhadap langkah memberikan pembantu rumah hari cuti.



Menjelang akhir tahun ini, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata majikan perlu memberikan pembantu rumah sekurang-kurangnya satu hari cuti wajib setiap bulan yang tidak boleh dibayar dengan wang sebagai pampasan.



Ketika ini, pembantu rumah diberikan hari cuti setiap bulan dan mereka boleh memilih sama ada untuk berehat atau bekerja pada hari rehat mereka.



Jika mereka mahu bekerja, mereka perlu dibayar wang pampasan dengan sekurang-kurangnya gaji sehari atau dibenarkan menukar hari cuti dalam bulan yang sama.



Menurut Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang, hari cuti wajib setiap bulan itu bertujuan memberikan pembantu rumah peluang berehat selain menjalin rangkaian sokongan di luar isi rumah.



Majikan hari ini lebih terbuka dengan langkah tersebut dan berpendapat bahawa wajar untuk pembantu rumah diberikan hari rehat.



Kata seorang majikan yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Shuhada, yang sudah 10 tahun mendapatkan khidmat pembantu rumah:



"Saya sendiri sebagai pekerja memerlukan hari cuti. Jadi saya rasa tiada masalah untuk memberikan pembantu rumah hari cuti untuk berehat, santai dan berinteraksi dengan orang lain."



Seorang lagi majikan Cik Samira Alhadi berkata beliau sering menasihati pembantu rumahnya agar memanfaatkan hari cuti dengan sebaiknya dan mengelakkan diri daripada bergaul dengan mereka yang gemar berhutang atau lebih teruk pemiutang.



Meskipun demikian, masih terdapat majikan yang ragu-ragu atau sukar untuk memberikan hari cuti wajib setiap bulan itu kepada pembantu rumah mereka.



Pemilik Hilwah Maid Agency, Cik Nurhilwah Ibrahim-Brown, berkata rehat yang diperlukan seseorang pekerja bukan sahaja daripada segi fizikal malah dari sudut mental, sosial dan psikologi juga.



"Mungkin ada isi rumah yang memerlukan bantuan pembantu rumah setiap hari kerana menjaga orang tua dan sebagainya.



"Ada yang menyatakan bukan ke sama jika masa rehat itu diberikan kepada pembantu tetapi mereka tetap berada di rumah.



"Majikan perlu faham bahawa rehat secara fizikal tidak sama dengan rehatkan minda dan berinteraksi di luar.



"Ini perlu bagi kesihatan mental, kesejahteraan sosial dan psikologi pembantu rumah," katanya.



Mentelah lagi, banyak kegiatan bermanfaat boleh dilakukan pembantu rumah termasuk mengikuti kursus kemahiran atau kelas bahasa Inggeris, di samping kelas berbentuk kerohanian seperti kelas mengaji dan agama, yang adakalanya dianjurkan masjid setempat.



Memberikan hari cuti wajib kepada pembantu rumah merupakan satu amalan yang turut dipraktikkan di negara lain.



Misalnya di Hong Kong, pembantu rumah bukan sahaja diberikan cuti setiap minggu bahkan juga cuti berbayar semasa cuti statutori negara itu seperti hari pertama, kedua dan ketiga Tahun Baru Cina.



Di samping itu, seperti pekerja biasa, pembantu rumah diberikan cuti tahunan berbayar selepas bekerja dengan majikan yang sama selama 12 bulan.



Bagi dua tahun pertama, bilangan cuti tahunan yang diperolehi ialah tujuh hari.



Di Qatar pula, selain hari cuti setiap minggu, pembantu rumah juga tidak boleh bekerja melebihi 10 jam setiap hari dan diberikan cuti tahunan selama tiga minggu.



Dalam pada itu di Canada pula, pembantu rumah turut diberikan cuti berbayar semasa hari cuti umum, cuti tahunan dan juga gaji jika bekerja melebihi masa.



Mereka hanya dibenarkan bekerja lapan jam setiap hari.



Justeru langkah terbaru untuk pembantu rumah ini merupakan satu langkah yang dialu-alukan dan sejajar dengan manfaat yang diberikan kepada individu lain yang bekerja.



Pembantu rumah tidak boleh dilihat sebagai pekerja yang mempunyai hak yang berkurangan berbanding pekerja lain.



Mereka juga wajar diberikan hak kepada mobiliti pekerjaan, keselamatan dan penghidupan, sama seperti pekerja lain.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >