Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

MENJELANG RAYA

Pembantu rumah migran syukur sambut Lebaran di 'rumah kedua'

Jalani peluang hidup lebih aman di rumah perlindungan setelah lalui pengalaman pahit didera
May 09, 2021 | 05:30 AM



DI ambang Lebaran yang bakal menjelang dalam masa beberapa hari sahaja, kesayuan menyaluti jiwa pembantu rumah, Cik Sri Rahayu.



Warga Indonesia asal desa di Tulang Bawang, Lampung itu terkenangkan anak lelakinya yang berusia 17 tahun dan anggota keluarga lain yang terpisah sejak beliau bertugas di Singapura, tiga tahun lalu.



Bergenang air mata Cik Sri Rahayu, 37 tahun, tatkala mengingati peristiwa perit dipukul majikan ketika mencari rezeki di Singapura.



Beliau tidak dapat mendedahkan banyak kepada wartawan mengenai kes ini kerana ia masih menanti untuk siasatan lanjut dan dibicarakan setelah dilaporkan kepada pihak berkuasa.



Hanya kesyukuran mengisi ruang hati Cik Sri Rahayu kini setelah menumpang kasih di rumah perlindungan di bawah Pertubuhan Kemanusiaan bagi Ekonomi Penghijrahan (Home) sejak setahun lalu.



Beliau dirujukkan ke Home setelah kes penderaan itu dilaporkan.



Home adalah badan amal yang berpangkalan di Singapura dan beroperasi sejak 2004.



Tujuan ia dibangunkan adalah bagi memperkasa dan menyokong pekerja migran yang menjadi mangsa pencabulan hak kemanusiaan, didera atau dieksploitasi.



Selain khidmat campur tangan krisis, program pendidikan dan latihan turut disediakan demi kesejahteraan dan prospek ekonomi pekerja migran ini.



Cik Sri Rahayu dapat merasakan nikmat menyambut Ramadan dan Lebaran bersama pembantu rumah lain di Home dengan acara berbuka puasa khusus dengan makanan tajaan syarikat khidmat kiriman barangan Pos TKI Services Pte Ltd baru-baru ini.



Pada Hari Raya nanti, setiap pembantu rumah Muslim di rumah perlindungan itu akan diberi telekung, sejadah, buku surah Yassin, tasbih dan zakat $10.



Ketika dihubungi, Cik Sri Rahayu berkata:



"Kalau nak difikirkan kisah silam dipukul majikan, memang rasa sedih tidak dapat dielakkan. Saya sudah tiga tahun bertugas di Singapura dan pastinya mengharapkan kehidupan yang bahagia dan tenang.



"Alhamdulillah, hikmah menetap di Home adalah ketika saya dapat berkumpul dengan teman-teman lain dan rasakan semangat muhibah menyambut Lebaran bersama mereka.



"Saya juga seronok menimba ilmu memasak melalui kursus yang diadakan. Home juga memberi kami peluang menolong orang yang lebih susah daripada kami melalui pelbagai projek kemasyarakatan.



"Kerja amal menyejukkan hati saya dan teman-teman."



Mengenai harapannya pada hari mulia ini, Cik Sri Rahayu berkata penuh dengan nada positif:



"Saya harap kes saya cepat selesai dan saya dapat cepat pulang ke kampung halaman sebelum bekerja lagi demi mencari rezeki buat keluarga."



Turut merasakan Home sebagai rumah kedua yang memberi penawar buat jiwanya yang suatu ketika diasak kebimbangan bekerja jauh dari keluarga adalah Cik Herawati, 46 tahun.



Pembantu rumah asal Jakarta yang sudah lima tahun bertugas di Singapura, menjelaskan:



"Saya datang ke Home tahun lalu setelah terjatuh di tangga ketika membersihkan pejabat majikan saya.



"Saya telah melaporkan majikan saya ke Kementerian Tenaga Manusia (MOM) kerana menyalah guna khidmat saya sebagai pembantu rumahnya.



"Selama enam bulan di Home, saya begitu teruja dan tenteram dapat merasakan ukhuwah makan bersama-sama teman. Kalau tiada selera makan kerana rindu keluarga di Indonesia pun, teman-teman menjadi penawar. Dari tiada selera, terus enak makanannya terasa."



Ibu dua anak perempuan berusia 23 dan 16 tahun ini akur sangat merindui detik menyambut Lebaran bersama anak-anak dan ibunya.



"Saya adalah satu-satunya anak perempuan dalam keluarga. Justeru, manja dengan ibu tercinta. Kerana tidak dapat beraya dengannya, itulah yang buat saya rasa pilu."



Cik Herawati bersyukur Home memberinya peluang keemasan mempelajari kursus memberi pernafasan kecemasan (CPR).



"Kemahiran CPR ini dapat membantu sesiapa sahaja di mana-mana perlu. Apabila berlatih memberi CPR menggunakan boneka, cukup menyeronokkan," tambahnya.



Anggota Lembaga Pengarah Home, Cik Linda Ma'arof, berkata:



"Sebagai seorang anak dan ibu, saya fahami perasaan berjauhan daripada keluarga yang pembantu ini rasakan. Mereka rindu orang tua mereka dan anak mereka.



"Mendengar cerita jerih payah mereka menambah keihsanan yang saya rasakan dan keinginan meringankan bebanan mereka dengan memberi secebis perhatian dan kasih sayang.



"Di Home, mereka bukan sahaja dapat teman baru tetapi mempelajari bermacam kursus melalui Zoom tentang seni foto, CPR, etika menjadi pengasuh yang baik, pemakanan sihat dan pengurusan tekanan.



"Moga Lebaran ini membawa kesyukuran dan ketenangan buat mereka walau dalam keadaan pergerakan terbatas sebab pandemik Covid-19 yang belum reda."



Pemangku Pengarah Eksekutif Home, Cik Deshi Gill pula berkata Ramadan dan Syawal adalah bulan mulia yang mewujudkan ukhuwah dan keceriaan.



"Kami mengadakan sesi berbuka puasa buat penghuni Home setiap tahun sejak 2016 kerana kami yakin mereka rindukan suasana kemasyarakatan dan kekeluargaan yang menceriakan.



"Kami ingin tekankan bahawa apa jua situasi mereka, Home ingin wujudkan suasana inklusif agar mereka rasa disayangi dan dihargai serta menjadi sebahagian daripada masyarakat di sini dan tidak rasa terasing," katanya lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >