Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Pementasan teater sebagai wadah ubah tanggapan tentang autisme

Jun 21, 2022 | 05:30 AM



PENGLIBATAN kumpulan-kumpulan seni dikir barat, tarian dan silat menambah kepelbagaian dan lapisan seni dalam pementasan teater.



Begitulah yang dikongsi Cik Norazirah Amin, 21 tahun, pelajar tahun kedua kejuruteraan awam Universiti Nasional Singapura (NUS), selaku penyelaras projek Pentas Budaya ke-15.



Pementasan teater tahunan di bawah naungan Persatuan Bahasa Melayu NUS, kini kembali secara fizikal setelah berlangsung secara realiti maya (VR) tahun lepas akibat pandemik.



Pementasan tahun ke-15 yang berjudul Bintang Norman mengisahkan perjalanan hidup seorang kanak-kanak autisme yang penuh pancaroba.



LESTARIKAN SENI



"Apabila saya mengambil alih sebagai penyelaras projek tahun lepas, saya mempunyai visi untuk melibatkan Dikir Barat NUS, Ilsa Tari NUS dan Silat NUS. Saya percaya bahawa kumpulan-kumpulan ini mampu menambah nilai dalam pementasan teater dan kepelbagaian seni akan membuat penonton lebih ghairah," ujar Cik Norazirah yang mengendalikan Bintang Norman sejak Ogos lalu.



Setelah 15 tahun berlangsung, ini adalah kali pertama Pentas Budaya bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan tersebut untuk menghasilkan sebuah pementasan ensembel.



Tahun ini, Pentas Budaya melibatkan lebih 60 pelajar dari pelbagai bidang pengajian.



Penglibatan mereka juga diharapkan memberi peluang untuk melestarikan budaya sambil mengetengahkan isu-isu dalam masyarakat.



Menurut Cik Norazirah, penglibatan belia seperti diri beliau dalam seni adalah penting kerana ia memastikan seni budaya terus dipelajari dan diterokai.



"Sebagai generasi akan datang, kami mempunyai peranan penting dalam memastikan budaya Melayu terus kekal dan tidak menjadi sesuatu yang asing," tambah beliau.



AJAK PENONTON BERFIKIR



Keistimewaan dalam pementasan tahun ini diiringi penerokaan autisme dalam masyarakat Melayu/Islam.



"Saya berharap Bintang Norman dapat meningkatkan kesedaran penonton tentang autisme dan mengajak mereka untuk membetulkan sebarang prasangka buruk atau tanggapan terhadap mereka yang menghidap autisme," jelas Encik Muhammad Hasif Salehin, 22 tahun, pelajar tahun pertama pengajian Melayu di NUS, yang juga merupakan penulis skrip Bintang Norman.



Bintang Norman dibahagikan kepada tiga babak - watak 'Norman' sebagai kanak-kanak, remaja dan dewasa.



Norman, watak utama pementasan ini, melalui pelbagai cabaran dalam meniti kehidupannya.



Antaranya, Norman mengalami masalah meluahkan perasaan, berinteraksi dengan orang lain serta memahami isyarat sosial.



CUBA FAHAMI AUSTISME



Watak Norman dikelilingi ibu bapanya, yang membesarkan beliau dengan sebaik mungkin, namun masih menerima tohmahan orang luar kerana dianggap tidak mendidik anak dengan betul.



Abang Norman, Sofian, pula bagaikan seorang sahabat akrab yang sering memujuk dan mencurahkan kasih sayang kepada adiknya.



Bak peribahasa, berapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul - kita tidak akan memahami cabaran dan pergolakan yang dilalui mereka yang menghidapi autisme dan keluarga mereka dan mudah untuk kita membuat andaian sendiri.



Encik Hasif turut menekankan bahawa masyarakat perlu lebih memahami tentang autisme agar mereka dapat bersikap empati.



"Empati merupakan satu nilai yang akan memakan masa untuk dikuasai dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian," tambah Cik Norazirah.



Namun, Encik Hasif dan Cik Norazirah berharap pementasan itu menjadi wadah bagi penonton mula memikirkan kembali tanggapan mereka tentang autisme dan membetulkannya.



Encik Luqman Nurhakim, pelakon watak Norman, berkongsi bahawa melakonkan watak itu sahaja bukan mudah dan beliau khuatir tidak dapat menampilkan watak Norman dengan tepat.



"Saya sendiri pelajari banyak tentang autisme melalui kajian saya untuk watak ini. Sebelum ini, saya mempunyai tanggapan bahawa mereka yang menghidap autisme mempunyai pemikiran seperti kanak-kanak dan saya perlu lakonkan demikian.



"Namun, semasa perbincangan dengan Main Tulis Group, saya fahami bahawa kebanyakan daripada mereka mempunyai pemikiran yang matang. Malah, ada yang lebih matang daripada kita," jelas Encik Luqman.



MAINKAN PERANAN SEBAGAI ANAK MUDA



Pengarah Bintang Norman, Cik Nur Khairiah Mohamad Omar, pula berkongsi bahawa mengarah pementasan itu bukan mudah kerana beliau takut melampaui batas atau menyinggung perasaan mereka yang menghidap autisme serta keluarga mereka.



"Walaupun kami hanya kumpulan pelajar, saya tetap berharap bahawa pementasan ini akan mengubah sikap negatif terhadap autisme ataupun sekurang-kurangnya lebih memahami tentang autisme," ujar Cik Khairiah yang juga pelajar tahun kedua jurusan sosiologi di NUS.



Menurut Cik Norazirah, pementasan itu memberi peluang kepada kumpulannya untuk memainkan peranan mereka mengubah tanggapan ramai terhadap autisme.



"Kami berharap masyarakat kita akan menjadi lebih inklusif pada masa depan dan sama-sama mencipta sebuah masyarakat yang harmoni dan saling memahami," tambah beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >