Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Semangat perangi pandemik bersama papar kesepaduan masyarakat

Melayu/Islam kian maju dari segi sosioekonomi 
Jan 01, 2023 | 05:10 PM



2022 gagal memenuhi janjinya sebagai tahun di mana dunia bangkit lebih kukuh daripada pandemik Covid-19. Perang di Ukraine, masalah rantaian bekalan dan cabaran sosio-politik, bermakna pemulihan penuh yang dijangka tidak menjadi kenyataan. Meskipun demikian, masyarakat setempat termasuk masyarakat Melayu, telah menyingsing lengan dan mempamerkan daya tahan serta kesungguhan untuk mengatasi cabaran-cabaran yang melanda, sekali gus pada masa yang sama mencatatkan beberapa kemajuan yang boleh dibanggakan. Dengan 2022 kini melabuhkan tirainya, 2023 terus diselubungi ketidaktentuan. Cabaran yang dirasakan tahun lalu masih wujud, malah boleh menjadi semakin meruncing. Namun, berbekalkan pengalaman mengatasi Covid-19 dan cabaran-cabaran yang datang bersamanya, Singapura dan masyarakat Melayu, boleh terus bersikap optimistik menangani dan mengharungi cabaran akan datang. Dalam laporan khas tiga halaman ini, BERITA MINGGU (BM) mengupas isu-isu yang bakal meninggalkan kesan kepada masyarakat pada 2023.



SEPANJANG tahun lalu, masyarakat Melayu/Islam telah memainkan peranan besar dalam usaha Singapura memerangi Covid-19 dan melangkah ke arah kehidupan normal kembali.



Mereka telah menunjukkan semangat kesatuan, daya tahan serta kematangan, sebagai respon terhadap pelbagai langkah yang dilaksanakan pemerintah untuk membantu membendung penularan virus itu.



Semangat kolektif untuk membantu dan berkongsi juga jelas dipaparkan masyarakat Melayu/Islam di sini dalam memastikan rakyat Singapura dapat muncul lebih kuat bersama-sama.



Ini merupakan antara perkara yang boleh dibanggakan oleh masyarakat Melayu/Islam di sini, kata pemimpin masyarakat dan pengamat politik yang dihubungi Berita Minggu (BM).



Menyentuh tentang hal ini, Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, berkata masyarakat Melayu/Islam, dan Singapura secara amnya, berjaya menunjukkan sikap yang bertanggungjawab sepanjang tempoh Covid-19 yang mencabar.



"Masyarakat dan negara kita secara keseluruhannya telah berjaya dalam mengurus dan hidup dengan Covid-19.



"Kita bukan sahaja dapat melihat beberapa sekatan ke atas kegiatan sosial dilonggarkan sejak beberapa tahun ini, malah juga masyarakat kita telah menyesuaikan diri dengan baik dari segi interaksi sosial dan kegiatan keagamaan di masjid dan institusi kita," kata beliau.



Kejayaan ini tidak dapat dicapai tanpa sumbangan para asatizah setempat dalam memimpin masyarakat untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dan menerima cabaran yang dihadapi, tambah beliau yang mengiktiraf usaha para asatizah.



Berkongsi pendapat, pengamat politik dan mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Zulkifli Baharudin, berkata pertubuhan dan institusi Melayu/Islam di sini telah memberikan respon baik semasa tempoh pandemik.



"Contohnya, mereka tidak persoalkan tentang langkah jarak selamat yang dikenakan bagi para jemaah semasa di masjid.



"Mereka faham akan kebimbangan ramai semasa pandemik di kemuncak pada ketika itu.



"Sebagai masyarakat Melayu/Islam, kami patuh dengan arahan tersebut. Ini menandakan kematangan masyarakat kita," ujar beliau.



Sumbangan masyarakat Melayu/Islam yang penuh semasa pandemik Covid-19 turut digariskan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dalam Rapat Hari Kebangsaan tahun lalu.



Ini sekali gus membuktikan kemajuan dan kejayaan rakyat Singapura, dan mencerminkan kesepaduan masyarakat majmuk Singapura.



"Dalam dunia yang kian tidak menentu dan semakin kompleks ini, daya tahan dan perpaduan masyarakat kita akan menjadi semakin genting.



"Sebuah masyarakat Melayu/Islam yang teguh dan berdaya tahan, akan sekali gus membentuk sebuah Singapura yang lebih teguh dan lebih berdaya tahan.



"Saya gembira kerana dekad demi dekad masyarakat Melayu/Islam Singapura semakin maju dari segi sosio-ekonomi, dapat mengukir identitinya yang tersendiri, penuh keyakinan, dan bersenyawa dengan masyarakat berbilang kaum di negara kita," kata beliau.



Dalam ucapannya itu lagi, Encik Lee antara lain turut menarik perhatian bagaimana rangkaian kukuh badan masyarakat yang komited telah membantu terhadap kemajuan masyarakat Melayu/Islam.



Keupayaan inilah yang telah membentuk identiti Muslim Singapura yang unik dan menyumbang kepada kejayaan Singapura selama ini, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.



Ini ditambah pula dengan semangat gotong-royong melibatkan pelbagai pihak termasuk pemerintah dan masyarakat yang telah memacu kejayaan masyarakat Melayu/Islam selama ini.



Beliau berkata demikian sebagai mengulas ucapan Rapat Hari Kebangsaan Encik Lee pada Ogos lalu.



Dalam menyentuh tentang pencapaian masyarakat, Encik Masagos menggariskan tiga ciri penting antaranya termasuk sumbangan pemerintah dalam membangunkan dan memberi kejayaan yang bermakna kepada masyarakat Melayu/Islam di Singapura, yang turut ditekankan Encik Lee.



Sehubungan itu, masyarakat sendiri telah menunjukkan semangat untuk berusaha gigih agar dapat meraih pencapaian yang bermakna melalui pendidikan. Ini dilakukan menerusi sumbangan masyarakat sendiri dalam menyedarkan dan menggerakkan masyarakat supaya meraih pencapaian ini.



Malah, individu yang telah berjaya turut kembali menyumbang semula untuk terus mempertingkat masyarakat, tambah Encik Masagos, yang turut memberi pengiktirafan kepada Yayasan Mendaki yang menyambut ulang tahunnya yang ke-40 tahun ini.



"Ini merupakan satu lingkaran yang sangat baik kerana mereka yang berjaya faham bahawa mereka bukan sahaja berjaya kerana kepintaran mereka sendiri tetapi ia juga hasil sokongan sistem, negara dan masyarakat," ujarnya.



Ketika memberi ucapan di 'Majlis Anugerah Jauhari Berita Harian' baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, turut memberi pengiktirafan terhadap usaha secara kolektif bersama semua pertubuhan dan pemerintah.



Menerusi usaha ini, beliau berkata kita telah menyaksikan masyarakat Melayu/Islam terus maju selama bertahun-tahun.



Beliau percaya masyarakat Melayu/Islam di sini dapat bersama menjadikan Singapura sebuah tempat yang penuh peluang untuk semua orang memanfaatkan keupayaannya dan menjadi yang terbaik dalam apa jua perkara yang ingin mereka lakukan.



"Kita semua mempunyai pengalaman hidup yang amat bernilai untuk dikongsi bersama, atau kemahiran yang boleh disalurkan, dan keistimewaan berupaya untuk membuka jalan bagi mewujudkan lebih banyak peluang bagi orang lain.



"Marilah kita melaksanakan sesuatu untuk membantu satu sama lain agar setiap individu dapat maju dan berjaya.



"Jika kita terus melakukannya, saya yakin bahawa masyarakat Melayu/Islam akan terus makmur dan cemerlang pada tahun-tahun mendatang.



Bersama-sama, kita akan dapat mengekalkan Singapura sebagai sebuah tempat di mana semua orang yang bekerja keras boleh mencapai sesuatu yang benar-benar luar biasa," ujarnya.




Pencapaian, Aspirasi & Peluang



"Di sebalik pandemik, laporan menunjukkan bahawa badan amal dan pertubuhan sosial telah menyaksikan rekod pungutan derma dan sumbangan daripada masyarakat.

Baru-baru ini Muis juga mengagihkan zakat berjumlah $3.5 juta, yang disebabkan kutipan zakat yang bertambah.

Lantas kita patut memanfaatkan semangat memberi dan berkongsi bagi memastikan kita semua muncul lebih kuat bersama."

- Peguam dan Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Rahim.




"Pertubuhan Melayu/Islam telah memberikan respon baik semasa tempoh pandemik. Contohnya, mereka tidak persoalkan tentang langkah jarak selamat yang dikenakan bagi para jemaah semasa di masjid. Mereka faham akan kebimbangan ramai semasa pandemik di kemuncak pada ketika itu.

Sebagai masyarakat Melayu/Islam, kami patuh dengan arahan tersebut. Ini menandakan kematangan masyarakat Melayu/Islam."

- Pengamat politik dan mantan NMP, Encik Zulkifli Baharudin




"Mendaki akan terus menawarkan satu pendekatan menyeluruh bagi mempertingkatkan peluang pekerjaan dan kekal dalam pekerjaan bagi masyarakat Melayu/Islam pada tahun ini.

"Sejak Januari tahun lalu, Mendaki mempunyai Penasihat Penjagaan di lima Pusat Satelit Mendaki dan tiga Ruang Belia Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Technical Education (ITE), bagi menawarkan bimbingan kerjaya dengan mengenal pasti program latihan yang sesuai serta penyelarasan peluang pekerjaan."

- Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki, Cik Aidaroyani Adam.




"Sebuah dunia pos Covid-19 merupakan satu di mana kolaborasi adalah satu kebiasaan dan kerjasama dinilai dan di mana majikan lebih menghargai mereka yang menjadikan pertubuhan itu.

Lebih penting lagi dunia pasca Covid-19 merupakan satu di mana kita tahu adanya sokongan, dan apabila diperlukan, adalah okay untuk dapatkan bantuan.

Kami akan terus menyokong masyarakat untuk dapatkan bantuan menghadapi cabaran agar kita boleh bersedia secara bersama, bagi meredakan impaknya."

- Presiden PPIS, Cik Hazlina Abdul Halim.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >