Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Pendedahan awal pendidikan seksual jamin keamanan kanak-kanak

Mar 15, 2021 | 05:30 AM



ANAK atau cahaya mata adalah anugerah yang seharusnya dididik dan dijaga dengan penuh kasih sayang dan rasa tanggungjawab. Semuda usia empat tahun hingga enam tahun, pendidikan anak-anak dianggap sangat penting. Pendidikan awal kanak-kanak dalam tempoh dan di peringkat ini akan memacu ke arah perkembangan untuk anak-anak membesar sebagai anak yang tinggi keyakinan diri.



Menurut Maria Montessori, masa usia awal ini merupakan tempoh sensitif, selama masa inilah anak dengan mudah menerima stimulus-stimulus daripada sekitarannya. Ketika tempoh ini, kemampuan otak anak ''menyerap'' semua pengetahuan daripada sekitarannya akan disusuli dengan sifat rasa ingin tahu yang tinggi. Rasa ingin tahu dan mencuba yang tinggi ini dipamerkan anak yang aktif bertanya tentang pelbagai hal yang mereka lihat, salah satunya yang berkaitan dengan seksual.



PENTING PENDIDIKAN SEKSUAL DAN KESIHATAN



Secara semula jadinya, seorang kanak-kanak gemar belajar dan menanam sikap ingin tahu mengenai tubuh badan mereka serta individu lain. Menjelang usia tiga hingga empat tahun, ramai daripada mereka sudah mula mengenali dan memahami bahagian tubuh badannya sendiri. Selain itu mereka juga mungkin akan mula menyedari terdapat perbezaan antara anatomi tubuh badannya dengan individu jantina lain.



Ini bererti ibu bapa perlu mempersiapkan diri dengan jawapan yang jujur apabila mereka bertanyakan soalan tentang seksual dan norma-norma kehidupan. Tidak wujud usia yang terlalu muda untuk memulakan topik ini. Apa yang penting adalah anda sebagai ibu bapa perlu tahu cara dan kesesuaian jawapan mengikut tahap anak anda. Dengan menjawab pertanyaan yang mereka tanyakan kepada anda, ia akan membantu mereka untuk lebih memahami tubuh badan dan perasaan mereka serta perasaan orang lain.



BENTUK PENDIDIKAN SEKSUAL ANAK PRASEKOLAH



Ibu bapa perlu maklum bahawa pendidikan seksual di peringkat prasekolah adalah cara utama menyampaikan kepada anak maklumat dan keterampilan tentang isu seksual yang aman, cara berkomunikasi tentang isu seksual, dan cara mengelola hubungan. Demi membantu mendidik anak prasekolah tentang isu sedemikian, penting untuk ibu bapa terlebih dahulu mengetahui bentuk pendidikan seksual anak prasekolah mengikut usia.



Berikut adalah antara garis pandu yang boleh digunakan ibu bapa dalam menyampaikan pendidikan seksual kepada kanak-kanak:



  • Perkenalkan nama bahagian sulit tubuh badan

Ibu bapa perlu mengajar anak tentang bahagian tubuh badan. Pilih nama yang sesuai atau istilah bahagian tubuh yang betul. Elakkan daripada menggunakan perkataan salah yang boleh menimbulkan salah faham. seperti "burung' ketika anak lelaki menunjukkan alat kelaminnya. Sebaliknya kenalkan alat-alat kelamin. Mengetahui istilah yang sebenar dapat membantu anak untuk menyampaikan kepada orang tua dengan lebih jelas jika sesuatu terjadi kepada mereka.



  • Jelaskan bahagian sulit tubuh badan adalah peribadi

Anak perlu dikenalkan kepada bahagian tubuh badan yang sulit. Tekankan bahawa selain ibu bapa, tiada sesiapa boleh melihat bahagian sulit mereka, mengambil foto atau video pada bahagian sulit mereka. Jika perlu pemeriksaan doktor, mereka harus ditemani oleh ibu bapa semasa pemeriksaan dijalankan.



  • Usah pendam rahsia dengan ibu bapa

Ibu bapa perlu mendidik anak akan sikap keterbukaan dan tidak berahsia dalam perkara yang melibatkan tubuh badan mereka dalam apa jua situasi. Mereka tidak perlu merasa takut atau malu untuk memberitahu orang tua. Yakinkan kepada anak bahawa tiada apa yang akan berlaku jika mereka memberitahu rahsia atau perkara yang telah berlaku ke atas diri mereka.



  • Tegas untuk menghormati batasan

Ibu bapa perlu menjelaskan pada anak agar mereka faham bahagian tubuh mana yang boleh dilihat oleh orang lain, dan mana yang tidak boleh. Tidak boleh membenarkan sesiapa menyentuh bahagian sulit tubuh badan mereka. Begitu juga mereka tidak boleh menyentuh bahagian sulit individu atau kanak kanak lain sebagai usaha melindungi mereka daripada kes salah laku seksual.



  • Komunikasi Bahasa Isyarat

Ibu bapa perlu menyediakan anak-anak dengan bahasa isyarat sebagai cara berkomunikasi dalam situasi yang tidak selamat atau rasa tidak selesa jika ada yang mengganggu mereka. Ini dapat membantu ibu bapa mengetahui bahawa mereka memerlukan bantuan orang tua.



  • Pilih untuk mengelak atau melarikan diri

Kanak-kanak sering diajar untuk bersikap ramah dan baik terhadap sesiapa sahaja sehingga sukar untuk mengatakan 'tidak' kepada individu lain. Namun, untuk keselamatan diri, jelaskan kepada anak apabila mereka merasa tidak selamat terhadap seseorang atau situasi, mereka boleh memilih untuk beredar atau menjerit bagi mendapatkan bantuan daripada orang dewasa lain.



  • Pendedahan awal jamin keselamatan

Banyak manfaat yang dapat diraih oleh kededua pihak, ibu bapa dan kanak-kanak, ketika pendedahan kepada pendidikan seksual dilakukan daripada awal. Namun, kebanyakan ibu bapa masih lagi kekok dan segan untuk membicarakan mengenai pendidikan seks dengan anak mereka. Kesannya, ia hanya akan menyebabkan kanak kanak kehilangan tempat untuk mereka bergantung atau berharap sekiranya apa-apa salah laku seksual terjadi kepada mereka.



Malah keganasan dan penderaan seksual dalam masyarakat akan dapat dibendung sekiranya kanak-kanak didedahkan kepada isu tersebut. Pendidikan seksual perlu diajar kepada anak seawal yang mungkin tidak kira di sekolah oleh guru atau pun di rumah oleh ibu bapa. Ini penting agar mereka lebih mengenali dan memahami perbuatan seksual sekaligus dapat mengelak salah laku seksual demi menjamin keselamatan dan keamanan kanak-kanak.



Penulis adalah Pengerusi Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan mantan Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS). Beliau juga konsultan pendidikan di peringkat serantau dan anggota pengarah dalam pelbagai badan bantu diri setempat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >