Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Pendekatan holistik perlu untuk tangani keganasan keluarga

Oct 10, 2021 | 05:30 AM



Isu keganasan dalam keluarga mendapat perhatian sejak kebelakangan ini dengan kes-kes sedemikian meningkat sejajar dengan penularan pandemik Covid-19. Baru-baru ini, sebuah pasukan bertindak yang dibentuk bagi meneliti isu tersebut telah membentangkan saranannya kepada pemerintah. Dalam bahagian pertama bagi siri laporan khas tiga-bahagian ini, BERITA MINGGU (BM) mengadakan satu perbincangan untuk mengupas isu keganasan keluarga ini dan langkah-langkah yang diperlukan untuk menanganinya.



SATU pendekatan menyeluruh bersifat holistik yang merangkumi semua aspek diperlukan untuk menangani isu keganasan keluarga, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.



Menurutnya, kesemua 16 saranan berlandaskan empat teras utama yang dibentangkan pasukan bertindak bagi menangani keganasan keluarga, mempunyai tahap kepentingan yang sama.



Misalnya, teras pertama yang bermatlamat meningkatkan kesedaran dan mengukuhkan sikap masyarakat terhadap usaha pencegahan keganasan, amat penting terutama dalam kalangan kanak-kanak.



Usaha 'upstream' atau mendekati sekolah-sekolah dapat meningkatkan kesedaran kanak-kanak dan pelajar tentang erti kasih sayang sebenar selain memberitahu mereka cara untuk melaporkan sebarang kejadian penderaan yang berlaku di rumah mereka.



Dalam teras ketiga pula yang disasarkan untuk mengukuhkan perlindungan dan sokongan untuk mangsa daripada didera lagi juga, mempunyai kepentingannya tersendiri.



Dr Faishal berkata membolehkan pihak ketiga memohon Perintah Perlindungan Peribadi (PPO) dalam teras ketiga ini, akan memudahkan masyarakat memberikan sokongan kepada mereka yang memerlukan sokongan.



Di samping itu, skim 'HT Cares' kendalian pasukan Home Team, yang turut diperluaskan kepada lebih banyak divisyen darat polis, juga antara saranan di bawah teras ini, memperkukuh kemahiran cara pegawai polis mengendalikan kes keganasan keluarga.



"Pada pendapat saya, mangsa keganasan keluarga ada kalanya mempunyai banyak emosi.



"Jadi kita memerlukan kemahiran bukan saja dari segi membasmi jenayah, tetapi memahami apa yang sedang berlaku.



"Apa yang sedang dihadapi daripada segi emosi dan apa yang kita lakukan sebagai pegawai polis adalah penting.



"Kita perlu sensitif terhadap perasaan pendera dan juga mangsa," kata Dr Faishal.



Dalam pada itu teras kedua memudahkan masyarakat dan mangsa melaporkan keganasan supaya segera menerima bantuan, antaranya perkukuh respons kecemasan sekiranya kejadian keganasan keluarga dilaporkan.



Teras keempat pula meningkatkan sikap bertanggungjawab para pelaku keganasan keluarga memperkukuh pemulihan mereka.



Justeru dengan pendekatan holistik serta sokongan daripada semua lapisan masyarakat, Dr Faishal yakin usaha menangani keganasan keluarga ini dapat ditangani dengan baik.



"Lebih daripada saranan yang diberikan pasukan bertindak, apa yang lebih penting ialah bagaimana selepas pemerintah menerima saranan-saranan ini, kita boleh melakarkannya bersama, dengan masyarakat memainkan peranan masing-masing termasuk bekerjasama dengan agensi-agensi serta rakan kongsi yang ada demi melindungi mangsa ganas keluarga," katanya lagi.



Dalam pada itu, usulan yang diberikan pelbagai sektor kepada saranan ini memberi peluang kepada pasukan bertindak memahami dengan lebih mendalam lagi, jurang yang ada serta bagaimana untuk menanganinya dengan memberikan sokongan kepada mereka yang terlibat.



Dr Faishal mengongsi pendapatnya dalam satu perbincangan khas berhubung isu keganasan keluarga di studio Berita Harian (BH) awal minggu ini.



Beliau yang juga pengerusi bersama pasukan bertindak itu telah menyertai perbincangan itu bersama dua panelis lain.



Ini termasuk Pengarah Eksekutif Casa Raudha Limited, Cik Zaharah Ariff dan Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Halim.



Isu pandemik Covid-19 dan bagaimana ia mempunyai kesan terhadap keganasan keluarga turut diketengahkan dalam perbincangan lebih sejam itu.



Antaranya, bilangan pertanyaan atau 'inquiry' yang diterima di Pusat Pakar Keganasan Keluarga dan Khidmat Bersepadu bagi Pusat Pakar Perlindungan Individu dan Keluarga, yang meningkat.



Sebanyak 4,574 pertanyaan diterima tahun ini berbanding 2,906 pertanyaan pada 2018.



Selain itu, terdapat sekitar 3,700 panggilan kepada talian bantuan 24 jam bagi orang awam telah dilaporkan berkaitan dengan keganasan keluarga dalam enam bulan pertama tahun ini sahaja.



Mengulas, Dr Faishal berkata trend yang dilihat ini bukan sahaja unik kepada Singapura tetapi juga di serata dunia.



Kadar keganasan keluarga global adalah sekitar 30 peratus dan sekitar 38 peratus di Asia Tenggara.



"Kalau kita lihat kadar keganasan keluarga Singapura ini masih rendah. Daripada 3 peratus kepada 20 peratus.



"Tetapi kita tidak mahu ia terus meningkat," tegasnya.



Lantaran itu, Dr Faishal berkata, nilai seperti kasih sayang perlu diterapkan terutama dalam program persediaan pra perkahwinan agar pasangan menjauhi keganasan.



"Kita perlu terapkan meskipun pasangan menghadapi cabaran, kita masih tetap menyayangi pasangan kita, masih mementingkan kehidupan anak-anak kita dan berusaha untuk mahu menyelesaikan cabaran tersebut dengan sebaik mungkin," ujarnya sambil mengongsi pengalaman peribadinya bagaimana ibu bapanya menonjolkan sifat kasih sayang dan saling hormat-menghormati ini sepanjang perkahwinan mereka.



Hal itu turut dipersetujui Cik Zaharah yang menyatakan sebahagian besar mangsa wanita yang ditemuinya berkata, mereka masih tetap menyayangi suami mereka, meskipun individu itu jugalah penderanya.



"Meski mereka telah mengalami penderaan bertahun lamanya, tetapi perasaan sayang kepada suami itu tetap ada, mentelah lagi ada yang sudah berumah tangga lebih 15 tahun dan mempunyai anak bersama.



"Walaupun rasa sayang itu sudah menipis tetapi perasaan itu tetap ada. Mereka juga masih mengharapkan yang terbaik untuk pendera dan percaya mereka masih boleh berubah demi anak-anak," katanya.



Akur, Cik Hazlina turut berkata bahawa memupuk dan menyemai nilai-nilai kekeluargaan yang positif perlu menjadi satu pegangan pasangan.



"Perlunya perubahan minda kerana asasnya apabila hubungan sesama insan diperbaiki, diperkukuh, dan diperbetul, mungkin ini mendatangkan kesan yang baik di masa hadapan," katanya.




PANDANGAN FAISHAL



PERLU KEMAHIRAN FAHAMI APA YANG BERLAKU



"Pada pendapat saya, mangsa keganasan keluarga ada kalanya mempunyai banyak emosi. "Jadi kita memerlukan kemahiran bukan saja dari segi membasmi jenayah, tetapi memahami apa yang sedang berlaku. "Apa yang sedang dihadapi daripada segi emosi dan apa yang kita lakukan sebagai pegawai polis adalah penting. "Kita perlu sensitif terhadap perasaan pendera dan juga mangsa.''



ATASI CABARAN DEMI KELUARGA DAN ANAK–ANAK



"Kita perlu terapkan meskipun pasangan menghadapi cabaran, kita masih tetap menyayangi pasangan kita, masih mementingkan kehidupan anak-anak kita dan berusaha untuk mahu menyelesaikan cabaran tersebut dengan sebaik mungkin."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >