Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penerima skim yuran tuisyen Mendaki sumbang kembali sebagai sukarelawan

Apr 10, 2023 | 5:30 AM
SUMBANG KEMBALI: Selepas menerima sokongan kewangan iaitu subsidi yuran tuisyen pengajian peringkat tinggi (TTFS) untuk pengajiannya di politeknik dan universiti dari Mendaki, Cik Nur Alwany Mohamad Zailani ingin menyumbang kembali dengan menjadi sukarelawan di Mendaki. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI
SUMBANG KEMBALI: Selepas menerima sokongan kewangan iaitu subsidi yuran tuisyen pengajian peringkat tinggi (TTFS) untuk pengajiannya di politeknik dan universiti dari Mendaki, Cik Nur Alwany Mohamad Zailani ingin menyumbang kembali dengan menjadi sukarelawan di Mendaki. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI -

MATEMATIK mungkin merupakan salah satu mata pelajaran yang paling tidak digemari di sekolah bagi kebanyakan pelajar dan amat sukar untuk mengajar mata pelajaran ini dari usia yang kecil.

Bagaimanapun, Cik Nur Alwany Mohamad Zailani berasakan subjek yang sukar itu boleh dijadikan sesuatu yang lebih menyeronokkan dan menarik jika kaedah pengajaran yang berbeza diterapkan.

"Sambil menyanyikan lagu atau puisi kanak-kanak, anda juga dapat mengajar mereka tentang nombor atau bentuk menerusi lagu dan puisi ini," jelas pegawai perkhidmatan awam berusia 25 tahun itu.

Sebagai fasilitator program KelasMateMatika (KMM) bagi sesi kanak-kanak, peranan utama beliau adalah cuba menyemarakkan minat mempelajari matematik sejak kecil lagi, melalui kegiatan dan permainan yang menyeronokkan.

Diperkenalkan oleh Yayasan Mendaki pada 2018, KMM bertujuan memperkasa ibu bapa yang mempunyai anak di peringkat prasekolah berusia empat hingga enam tahun, untuk membantu anak mereka menguasai kemahiran asas celik angka serta mempersiap mereka bagi Darjah 1.

Dikenali sebagai MajuMindaMatematika sebelum ini, ia telah membantu hampir 4,000 kanak-kanak sejak 2018.

Cik Alwany juga bertanggungjawab mewujudkan persekitaran selamat yang menggalakkan kanak-kanak membina keyakinan diri seperti dalam memberi ucapan di khalayak ramai.

Beliau mula menjadi sukarelawan dengan program KidsRead, sebelum menyumbang tenaga dalam apabila KMM dimulakan.

Beliau juga merupakan antara sukarelawan yang merintis KMM dalam talian (eKMM) pada 2020.

Beliau diberi tugas untuk membuat rancangan pengajaran bagi eKMM dengan tema yang telah diberikan.

Menurut Cik Alwany, menjadi sukarelawan dengan Mendaki adalah satu cara untuk beliau memberi sumbangannya kembali selepas menerima sokongan kewangan iaitu subsidi yuran tuisyen pengajian peringkat tinggi (TTFS) untuk pengajiannya di politeknik dan universiti.

Kerja kesukarelawanan juga merupakan satu cara untuk memperluaskan pengalamannya dan membangunkan portfolio beliau yang akan membolehkannya merebut peluang latihan atau pekerjaan di masa hadapan.

Namun, penglibatannya sebagai sukarelawan dengan Mendaki bukanlah suatu kebetulan.

"Saya diperkenalkan dengan sukarela bersama Mendaki oleh bapa saudara saya yang juga merupakan sukarelawan di situ.

"Saya lebih bermotivasi untuk menjadi sukarelawan apabila mendapati ia boleh menambah baik resume saya dan meningkatkan peluang saya dalam program latihan atau pasaran kerja pada masa hadapan," kata anak ketiga empat beradik itu.

Sepanjang penglibatannya sebagai sukarelawan, Cik Alwany berkata beliau dapat menyaksikan kesan dan perubahan positif terhadap kanak-kanak dan ibu bapa.

Kepuasan inilah yang membuat beliau kekal sebagai sukarelawan dengan Mendaki sehingga hari ini.

Beliau berkata ramai ibu bapa kini mahu mencuba kaedah pembelajaran yang baru berbanding dengan cara tradisional menggunakan pen dan buku.

"Kini, ibu bapa akan menggalakkan anak-anak mereka bersuara dan bertanyakan soalan ketika berada di dalam bas, semasa memandu mahupun ketika melintas jalan raya.

"Mereka mengiktiraf diri mereka sebagai guru pertama kanak-kanak dan mereka tidak hanya menjangkakan anak mereka akan belajar pada waktu persekolahan.

Anak-anak pula kurang tertekan apabila belajar bersama ibu bapa. Mereka tidak melihat sesi itu sebagai 'sekolah' lain dan sebaliknya, melihatnya sebagai kegiatan bermain dengan ibu bapa mereka," tambahnya.

Untuk membina lagi keupayaannya, Cik Alwany telah dipilih oleh Mendaki untuk menghadiri Simposium Serantau Konsortium Institut Keluarga di Rantau Asia (CIFA) dan Persidangan Keluarga Asia Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 8 hingga 10 November 2022.

Persidangan itu membantu membina pengetahuan beliau tentang cara untuk memperkukuhkan lagi ikatan keluarga di Asia.

Ia juga membantunya memahami cabaran keluarga dan meningkatkan penglibatannya dengan keluarga di KMM dengan lebih baik.

Justeru, Cik Alwany berasakan bahawa menjadi relawan bersama Mendaki mempunyai banyak manfaatnya termasuk dalam mempertingkatkan dirinya menjadi seorang yang lebih berkeyakinan.

"Semasa membesar, saya tidak mempunyai keyakinan untuk berucap di hadapan khalayak ramai, dan apabila Mendaki memberi saya peluang untuk mengetuai sesi perkongsian, saya perlahan-lahan belajar cara untuk berucap di hadapan sekumpulan kecil orang dan tidak lama kemudian, kepada kumpulan yang lebih besar," ujarnya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg