Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengalaman manis ziarah tanah suci ketiga Islam di Baitulmakdis

Oct 29, 2022 | 5:30 AM
PEMANDANGAN INDAH WAKTU MALAM: Kanak-kanak bermain di kawasan tanah suci di depan Kubah Al-Sakhrah. - Foto BH oleh HARITH MUSTAFFA
PEMANDANGAN INDAH WAKTU MALAM: Kanak-kanak bermain di kawasan tanah suci di depan Kubah Al-Sakhrah. - Foto BH oleh HARITH MUSTAFFA -

RAMAI telah menakut-nakutkan saya agar elak daripada membuat kunjungan ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmakdis, kerana ketegangan yang sering berlaku antara orang Palestin dengan pegawai Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

Ini termasuk isteri dan orang tua saya.

Namun, selepas mendarat di Tel Aviv dan meletak bagasi di hotel dekat tengah kota Baitulmakdis pada 17 Oktober lalu, saya dapat tahu, berdasarkan peta Google, masjid yang sering terpapar dalam warta berita dunia itu terletak hanya 20 minit sahaja dari hotel.

Saya fikir, saya sudah merentas separuh dunia - 8,000 kilometer dari Singapura. Naik pesawat lebih 15 jam. Jadi, apa lagi, saya menanamkan keberanian dan berjalan kaki seorang diri untuk solat Isyak.

Saya berada di kota penting bagi ketiga-tiga agama Nabi Ibrahim kerana ditugaskan untuk mengikut lawatan Menteri Kedua Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman, ke Israel, wilayah Palestin dan Jordan dua minggu lalu.

Percubaan pertama saya melawat kawasan tanah suci ketiga dalam Islam pada ketika itu menyaksikan saya hampir sesat, memandangkan papan tuju arah rasmi disediakan di kota lama Baitulmakdis sama dengan arah tuju ke Tembok Meratap, atau dikenali sebagai Tembok Barat Yahudi.

Apa yang membuat keadaan mengelirukan juga adalah ia malam terakhir perayaan tujuh hari agama Yahudi dipanggil Sukkot dan pelbagai pesta dan upacara sembahyang memenuhi seluruh kota Baitulmakdis.

Namun, mujur apabila azan Isyak berkumandang, saya memerhatikan beberapa orang yang saya mengesyaki beragama Islam kelihatan menuju ke arah panggilan solat itu dan seorang pak cik Arab sudi mengajak saya ke masjid.

Difahamkan, orang Muslim bebas memasuki tanah haram, namun perlu melepasi pemeriksaan oleh pegawai IDF.

Kami pun tiba di sebuah gerbang berwarna hijau di mana terdapat tiga pegawai IDF, lengkap dengan jaket, senapang M4, dan pistol di bahagian betis.

"Anda Muslim?" tanya pegawai dengan tegas.

"Iya, saya Muslim," kata saya sambil menunjukkan pasport.

Kami berjaya lepas.

Sejurus melepasi gerbang hijau itu, saya berada di kawasan Haram Al-Sharif, atau Temple Mount.

Suasananya aman, dingin dan tenang, dan saya rasa seolah berada di masjid kejiranan sendiri.

Jemaah kelihatan berbaju rumah atau baru habis kerja, dan beberapa kanak-kanak kecil juga kelihatan bermain sepak bola di premis sekeliling tanah haram yang merangkumi Masjid Al-Aqsa dan Kubah Al-Sakhrah; makam yang melindungi bekas batu dipercayai dijejak Nabi Muhammad sebelum naik ke syurga pada malam Israk dan Mikraj.

Memandangkan saya kira diri saya sudah expert berjalan kaki ke Masjid Al-Aqsa, saya memutuskan untuk solat Subuh berjemaah dua hari kemudian pada hari terakhir lawatan saya di Baitulmakdis.

Kali ini, tanpa sebarang pertolongan, saya tiba di kawasan tanah haram pada sekitar 5.30 pagi. Suhu cuaca pagi itu 14 darjah Celcius.

Saya berjaya mendirikan solat di barisan saf kelima dan kemudian saya menikmati pemandangan matahari terbit dari belakang bangunan masjid berusia ratusan tahun dengan ciri reka bina ala zaman Kesultanan Uthmaniyah itu.

Di situ, salah seorang jemaah memberitahu saya untuk pergi ke bawah sebuah pokok.

"Itu imam Masjid Al-Aqsa," kata lelaki yang saya tidak sempat mendapatkan namanya.

Saya kemudian pergi ke arah di mana seorang lelaki tua berjanggut putih dan berjubah hitam dengan sarban sedang duduk, di atas sejadah berwarna biru di bawah pokok.

"Saya benar-benar minta maaf sebab dia suruh awak datang ke mari. Saya sebenarnya tidak suruh awak datang ke sini. Maafkan saya jika awak diganggu," kata lelaki warga emas itu dengan sopan, yang dikenal pasti sebagai Sheikh Ali Omar Yacoub Abbasi, salah seorang imam Masjid Al-Aqsa.

Saya tidak berkata apa-apa. Saya senang sahaja dapat bertemu dan beliau menjemput saya meminum teh berperisa epal dan halia - diinfakkan seorang jemaah - bersamanya.

Kemudian seorang pelancong dari Manchester bernama Abdul Rahman, 31 tahun, datang ke tempat kami kerana ingin tahu kekecohan sedang berlaku di bawah pokok itu.

Sheikh Abassi, 62 tahun, memberitahu kami dengan berseloroh, beliau gemar duduk di bawah pokok itu sebab selain menikmati pemandangan matahari terbit di situ, jaraknya sama antara Masjid Al-Aqsa dan Kubah Al-Sakhrah.

"Saya duduk di sini sebab bila syif saya datang untuk imamkan solat di masjid-masjid itu, saya tak perlu jalan jauh," kata imam dengan pengalaman 37 tahun itu.

Kemudian, seorang lelaki bertubuh tegap dan besar bernama Abu Ibrahim, 50 tahun, yang berketurunan Arab Badwi dari wilayah Naqab, datang ke tempat kami dan menambah teh ke dalam cawan kertas kecil.

Beliaulah yang telah menyediakan teh yang kami minum itu.

"Dia berasal 100 kilometer selatan dari sini. Hari-hari dia datang ke sini untuk infakkan teh ini kepada jemaah. Hari-hari!" kata Sheikh Abassi dengan berterima kasih.

Namun, tiba-tiba, Sheikh Abassi kelihatan melipat sejadahnya.

Beberapa kakitangan masjid memberi isyarat kepadanya untuk beredar dari situ.

Encik Abdul Rahman pula memberitahu saya untuk menoleh ke belakang.

Hinggap bak langau, titik bak hujan. Pengalaman manis dan indah menjadi seram dan segan.

Di gerbang masuk bahagian selatan tanah haram dekat masjid, sekumpulan 10 hingga 15 orang Yahudi kelihatan memasuki premis kawasan sekeliling masjid diiringi beberapa pasukan IDF lengkap dengan senjata.

Waktu sekitar 7 pagi. Sudah mula waktu kunjungan bagi orang bukan Islam hingga 11 pagi.

Sheikh Abassi kemudian menyarankan kami beredar juga, dan saya dan Encik Abdul Rahman memutuskan untuk melawat Kubah As-Sakhrah sebelum meninggalkan tanah suci itu.

Kemudian terdengar salah seorang pekerja pembersihan berkata dengan penuh perasaan kepada kami: "Mereka datang sebab nak hancurkan masjid kami!

Keamanan dan ketenangan dinikmati lebih kurang sejam sebelum itu diganti dengan ketegangan.

Sesudah keluar dari Kubah As-Sakhrah, semua gerbang kawasan Tanah Haram dikepung pegawai IDF.

Meskipun mereka tidak mengganggu kami, mereka memerhatikan pergerakan kami.

Salah seorang pegawai bersenjata senapang mengucapkan selamat pagi dan kami membalasnya.

Mujur kami dapat beredar dari kawasan itu dan tiada apa-apa terjadi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg