Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Pengalaman perih tagih dadah jadi dorongan bantu bekas banduan

Nov 28, 2021 | 05:30 AM



SELAIN sibuk menguruskan seorang anak dan bertugas sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan, Cik Susanty Yaakop yang dimasukkan ke Pusat Pemulihan Dadah (DRC) pada 2011, kini juga kerap membantu bekas banduan serta ahli keluarga yang terjejas gejala penyalahgunaan dadah agar mereka dapat cegah diri daripada tabiat buruk itu.



Cik Susanty, 42 tahun, yang menampilkan dirinya sebagai relawan 'befriender' dengan Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah) sejak sekitar tiga tahun lalu, kini membantu sekurang-kurangnya dua kes setiap bulan dengan menawarkan bimbingan, nasihat serta panduan agar mereka membuang tabiat penyalahgunaan dadah sepenuhnya.



Menurutnya, beliau ingin membantu kerana tahu betapa susahnya bekas penagih dadah ingin benar-benar membuang tabiat itu.



Ini termasuk membuat banyak pengorbanan dari segi memutuskan hubungan dengan kenalan rapat yang terlibat dalam gejala itu serta memastikan diri mereka langsung tidak terdedah dengan apa jua jenis dadah ataupun melihat bahan-bahan itu lagi.



Dalam pada itu, Cik Susanty juga berkata, niatnya menjadi relawan adalah kerana beliau tahu betapa pentingnya bekas penagih dadah dapat menerima bimbingan daripada orang yang memahami keadaan mereka.



Bercerita semasa acara Dadah Itu Haram di Masjid Maarof Ahad lalu, sebagai antara panelis sesi perbincangan yang disiarkan kepada peserta belia, Cik Susanty yang membesar daripada keluarga pincang, memberitahu beliau terdedah kepada dadah 'ice' kerana pengaruh daripada teman dan kenalan rapatnya.



Beliau yang pada 2011 sudah digelar ibu kepada seorang anak lelaki berusia 10 tahun pada ketika itu, ditangkap dan dimasukkan ke dalam DRC selama enam bulan.



"Terus terang saya tak suka tempat itu dan saya nak berubah," katanya.



"Saya kata kepada diri saya sendiri, selepas saya keluar daripada DRC, saya tak nak masuk lagi tempat itu."



Namun perjalanannya ke arah pemulihan pada ketika itu masih panjang lagi.



Cik Susanty menjelaskan, setelah sekian lama tidak mengambil dadah, beliau pernah diajak menghadiri satu pesta dengan teman-temannya namun tanpa pengetahuannya pesta itu adalah untuk mengambil dadah.



"Ia mengambil sekitar enam hingga tujuh tahun untuk saya betul-betul buang tabiat itu," katanya.



Selepas kejadian itu, beliau dipenuhi kesesalan hinggakan terpaksa mengundurkan diri daripada beberapa kenalannya yang sehingga kini masih kuat mengambil dadah.



"Dan bayangkan, semasa itu, saya sudah banyak putuskan hubungan saya dengan ramai kenalan saya yang buat benda-benda macam ni, jadi walaupun saya nak berubah, saya berasa keseorangan dan seolah tiada orang yang dapat menyokong saya," katanya ketika ditemui Berita Minggu Ahad lalu.



Cik Susanty berkata apa yang telah membuatnya berubah adalah apabila terdapat satu detik selepas beliau bebas daripada penjara, anaknya memaafkannya atas segala kesilapan yang beliau telah melakukan.



Hatinya hancur berderai, katanya.



Beliau melihat anaknya, yang pada ketika itu belum lagi menjejak usia remaja merayu kepadanya agar berubah dengan pemikiran dan kata-kata yang matang.



"Dia terkejut melihat saya, badan susut, rambut pendek sebab masih baru lagi keluar daripada penjara. Dia berkata, 'jangan pedulikan apa orang lain cakap kerana setiap orang membuat kesilapan.' Dan dia berkata dia tak nak lagi melihat saya berada dalam keadaan itu lagi," kata Cik Susanty yang tinggal bersama anaknya di sebuah flat sewa dua bilik di Sengkang.



Selain peristiwa itu, sokongan daripada ibunya serta bimbingan agama turut membantunya menjauhi dadah selepas pulang kepada pangkuan masyarakat.



Sokongan tanpa lelah dan kemaafan yang beliau terima daripada orang tersayang meskipun setelah melakukan kesalahan seperti itu membuka hatinya untuk berubah, dengan beliau belajar menggariskan batasan untuk dirinya sendiri supaya tidak terpengaruh dengan dadah lagi.



Sokongan yang diterima Cik Susanty itu juga merupakan sokongan yang beliau ingin tawarkan kepada orang lain.



Selain mengadakan sesi rundingan bersama kes kendaliannya, beliau sering diundang berkongsi perjalanan hidupnya dalam acara cegah dadah anjuran Pertubuhan Masyarakat Melayu/Islam dan masjid tempatan.



"Niat nak berubah itu tetap datang daripada diri sendiri. Kalau boleh, elakkanlah. Sejauh mungkin elakkan diri daripada dadah," tegasnya, sambil menambah keprihatinannya terhadap golongan belia yang semakin terdedah dengan kandungan penggunaan dadah di serata dunia yang lebih liberal.



"Anak saya pun, walaupun dia sudah dewasa dan matang, saya jaga dengan teliti. Saya make sure, sebanyak mungkin dia tak lihat pun benda-benda itu (dadah dan alat penggunaannya)."



Pada masa yang sama, beliau turut menampilkan diri sebagai relawan kerana sedar, tidak ramai daripada kaum Hawa yang menampilkan diri untuk menghulurkan bantuan sedemikian kepada bekas banduan.




"Niat nak berubah itu tetap datang daripada diri sendiri. Kalau boleh, elakkanlah. Sejauh mungkin elakkan diri daripada dadah.

Anak saya pun, walaupun dia sudah dewasa dan matang, saya jaga dengan teliti. Saya make sure, sebanyak mungkin dia tak lihat pun benda-benda itu (dadah dan alat penggunaannya)."

- Cik Susanty Yaakop, relawan 'befriender' dengan Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >