Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

PROGRAM NYC KUATKAN SEMANGAT PELAJAR SERTAI BIDANG PILIHAN

Pengalaman sehari buka mata belia mengenai kerjaya diminati

Memilih laluan yang membawa kepada kerjaya impian bukan perkara mudah bagi sesetengah pelajar yang masih belum pasti arah tujuan mereka. Pelbagai pilihan tersedia untuk pelajar kini namun, ada kalanya tanpa pengetahuan atau pengalaman dalam bidang tersebut, membuat pilihan mendatangkan keraguan dan ketidakpastian. Demi membantu pelajar membuat pilihan yang baik, Majlis Belia Kebangsaan (NYC) telah mengaturkan
beberapa acara untuk mendekati belia. Antara program ini ialah ‘On My Way’ (OMW) di mana pelajar didedahkan dengan kerjaya yang berbeza, dan berpeluang mendapat lebih banyak maklumat serta bertemu dengan pakar dalam kerjaya yang diminati mereka. Dengan pendedahan ‘Micro Jobs Taster’di bawah OMW, belia dapat berhubung secara langsung dengan pakar dan mengalami pekerjaan itu sebelum membuat keputusan melanjutkan pelajaran dalam pengkhususan yang dipilih. Cik Fathona Jamaluddin, 18 tahun, dan Cik Nur Masyitah Hairodin, adalah dua antara pelajar yang telah mengikuti program OMW dan kini nekad ingin meneruskan perjalanan mereka dalam bidang pilihan masing-masing.
Mar 15, 2023 | 06:00 AM



PENGALAMAN hanya tiga jam bersama Majlis Belia Kebangsaan (NYC) dalam satu acara kerjaya ternyata memberi kesan besar kepada dua pelajar Madrasah Al-Maarif AlIslamiah yang baru saja lulus peperiksaan GCE Peringkat ‘A’ dan sedang mengorak langkah masa depan mereka.



Bermula melalui wadah online sejak 2020, program ‘On My Way’ (OMW) membantu golongan belia menemui minat dan laluan pendidikan ke arah kerjaya pilihan pada pelbagai peringkat kehidupan mereka. Lebih daripada 2,000 belia telah menghadiri program dengan belia merasai kehidupan bekerja, mencuba peranan pekerjaan yang berbeza (‘Job Tasters’) atau berinteraksi dengan pakar dan pelajar senior daripada sekolah agar lebih memahami cara mencapai kerjaya impian mereka. Ini adalah antara program dan usaha NYC untuk membantu belia mendekati sektor pilihan mereka.



Pelajar, Cik Fathona Jamaluddin, 18 tahun, dan Cik Nur Masyitah Hairodin, 19 tahun, adalah antara pelajar Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah yang diundang turut serta dalam usaha pendekatan dengan pelajar untuk menyokong penerokaan dan penemuan kerjaya bagi belia.



Pada September 2022 lalu, mereka menghadiri sesi OMW dan telah mendapat pendedahan kepada kerjaya idaman mereka. Cik Fathona, anak sulung daripada tiga beradik yang sedang menunggu keputusan bagi memasuki universiti dalam kursus pilihannya, iaitu dalam bidang kerja sosial atau psikologi, berkata sejurus menghadiri program bimbingan kerjaya itu, beliau teruja ingin menimba pengalaman dan mencari peluang untuk berbuat demikian.



Menyingkap sesi tiga jam di Pusat Pelbagai Perkhidmatan Loving Heart di Jurong, yang berdekatan dengan rumahnya, Cik Fathona teruja dapat pengalaman secara langsung di situ dan berjumpa dengan pakar daripada sektor Kerja Sosial bagi lebih memahami kerja di belakang tabir.



“Dengan cara ini, saya dapat lebih maklumat dan dapat membuat keputusan adakah ini jalan kerjaya yang saya akan pilih,” katanya. “Sejak Disember tahun lalu, saya



telah mendaftar diri dan terlibat sebagai seorang relawan yang aktif di tempat yang sama. Kerja utama saya ialah menghantar barang runcit ke rumah-rumah mereka yang terdaftar di bawah program ini – termasuk warga emas yang tinggal bersendirian, dan menjenguk mereka serta memastikan mereka dalam keadaan baik dan tidak berasa tertekan,” terang Cik Fathona yang juga mengajar pelajar sekolah rendah dan menengah sebagai guru tuisyen pada masa lapangnya. Tambahan lagi, semenjak menjadi relawan, beliau dapat turut serta dalam program berinteraksi bersama penduduk baru-baru ini pada Januari lalu.



Bagi Cik Masyitah pula, beliau memang bercita-cita mahu menjadi pakar psikologi sejak di bangku sekolah rendah lagi dan menyifatkan dirinya sebagai seorang yang spontan, peramah dan mempunyai sikap ingin tahu.



“Pada September 2022, saya dapat menghadiri program pertama di Pusat Loving Heart – dan pada waktu itu, fokusnya ialah terhadap kanak-kanak dan belia. Dari situ, kami diuji tentang pengetahuan kami dalam kerja sosial dan adakah kami berminat menceburi bidang itu. Tentu sekali saya sangat berminat!” jelasnya.



“Kami bekerja secara berkumpulan dengan pakar-pakar di situ, dan cuba menyelidik kes-kes palsu, menyemak borang permohonan untuk menjadi relawan, dan mengatur acara untuk kanak-kanak – kami diberi masa 30 minit untuk melaksanakan setiap tugas itu,” terang Cik Masyitah lagi.



Menurutnya, pengalaman dan pendedahan satu hari bersama NYC merupakan satu konsep yang menarik yang patut disertai oleh semua pelajar. “Ia seperti latihan amali ekspres satu-hari, tanpa stres dan memerlukan komitmen. Dalam sesi yang saya hadiri, saya mendapat pendedahan kepada tiga pekerjaan berbeza dalam sektor kerja sosial. Saya juga dapat peluang bekerja rapat dan bertanyakan soalan kepada pekerja sosial pada hari itu,” kata Cik Masyitah.



Pada waktu ini, beliau sedang mengikuti latihan amali di Pivotal Youth Pte Ltd, di bawah program Youth Corps Community Internship (YCCI), sebuah cabang pertubuhan di bawah payung NYC.



“Sementara menunggu keputusan daripada universiti, saya mahu perlahan-lahan beralih ke suasana kerja untuk mempersiap diri dan mendapat pengalaman supaya saya dapat pertingkatkan diri sebelum saya mulakan pengajian saya nanti. Ini hanyalah langkah pertama dan saya pasti akan belajar banyak daripada melihat dan mengambil bahagian dalam kerja yang mereka lakukan,” kata Cik Masyitah yang terlibat dalam jabatan latihan dan pembangunan.



 



NYC TINGKATKAN USAHA MENDEKATI BELIA



Dalam satu tinjauan oleh NYC, majlis itu mendapati hampir dua daripada lima belia menginginkan minda yang lebih terbuka dan fleksibel untuk mengambil peluang kerjaya



yang pelbagai namun mungkin tidak tahu cara mencari peluang ini sendiri. Kelompok belia yang sama ini juga tidak pasti tentang laluan kerjaya mereka dan inginkan bimbingan kerjaya yang lebih besar, serta sokongan semasa peralihan sekolah ke tempat kerja mereka.



Pada tahun ini, NYC telah pun melancarkan siri Program Pelajaran dan Kerjaya, atau dikenali sebagai Educational and Career Guidance (ECG) Programmes, dan dianggarkan lebih 7,000 pelajar akan meraih faedah daripada usaha itu.



Baru-baru ini, lebih daripada 120 belia menghadiri ‘Healthy World Connections NYC’ pada 11 Februari lalu dan menjalin rangkaian dengan lebih 20 pakar penjagaan kesihatan mengenai pelbagai peranan pekerjaan yang tersedia dalam sektor ini.



Dianjurkan bersama dengan The Astronaut Collective (TAC) dan MOH Holdings (MOHH), belia dapat berhubung dengan seorang radiografer, ahli farmasi, jururawat, ahli terapi pernafasan, pekerja sosial perubatan, dan ramai lagi, untuk mengetahui lebih lanjut tentang laluan pendidikan, perkembangan kerjaya dan struktur kehidupan kerja bagi mereka yang ingin memburu kerjaya dalam bidang perubatan. Sesi tersebut termasuk bengkel persediaan kerjaya untuk memberikan panduan temu duga kepada hadirin. Bagi sektor kreatif, program ‘Beautiful World’ pada 25 Februari



2023 mengajak belia berinteraksi dengan penerbit, pengurus, pengukir, pempamer galeri, komposer dan pemuzik, penerbit seni persembahan, pembuat wangian, pengarah artistik, arkitek dan pengarah filem.



Selain ceramah kerjaya, belia juga boleh melibatkan diri dengan rakan sebaya daripada laluan pendidikan yang berbeza dalam siri ‘Bilik No Cap’. Sesi pertama daripada empat sesi perkongsian rakan sebaya dijalankan pada 11 Mac 2023, dengan perkongsian daripada pelajar dalam laluan ‘Normal’ daripada sekolah menengah. Terdapat juga sesi perkongsian dengan pelajar yang pernah belajar di luar negara dan juga mereka yang telah lulus daripada universiti swasta tempatan. Kedua program 'Beautiful World' dan 'Bilik No Cap' telah dianjurkan oleh NYC dan TAC.



Untuk mendedahkan golongan belia kepada pelbagai peranan pekerjaan dalam pelbagai sektor, NYC dan ‘Bold at Work’ (BAW) telah memperbaharui program mikro ‘job taster’ bagi memenuhi keperluan pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti juga.



Pada tahun ini, NYC dan BAW akan bekerjasama rapat dengan sekolah untuk menempatkan 20 hingga 30 pelajar dalam peranan kerja sedia ada selama sehari. Belia akan dapat menyenaraikan dan meneroka sektor yang mereka minati sebelum memilih sektor pilihan untuk latihan amali.



Lebih banyak sektor akan ditawarkan pada permulaan suku tahun 2023, seperti kerja dalam sektor Peruncitan, Sumber Manusia dan Teknologi.



Pengasas bersama BAW, Cik Clarice Song, berkongsi: “Bold At Work membantu golongan muda merumuskan perkara yang penting bagi mereka berdasarkan nilai, kekuatan dan minat mereka, bersama-sama dengan kesedaran tentang konteks peribadi mereka. Dengan memikirkan perkara yang penting bagi mereka dan bagaimana mereka ingin diberi ganjaran, belia boleh membangunkan kompas kerjaya mereka sendiri.”



Keterangan lebih lanjut tentang program-program ini, boleh didapati di laman www.nyc.gov.sg/omw/home



------------------------------------------------------------------------------------



USAHA NYC BANTU BELIA BUAT PILIHAN LEBIH BAIK DAN TEPAT



Lebih ramai belia dapat peluang menimba pengalaman dan berhubung secara langsung dengan pakar sebelum membuat keputusan melanjutkan pelajaran dalam bidang-bidang yang mereka minati. Pendedahan ini adalah usaha NYC untuk membantu belia membuat pilihan yang lebih baik dan tepat untuk masa depan mereka.






 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >