Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Pengerusi baru Nahdlatul Ulama cendekiawan progresif

Jan 01, 2022 | 05:30 AM



SEORANG cendekiawan Islam yang dihormati dan dianggap sebagai "simbol generasi baru" telah dipilih sebagai pengerusi Nahdlatul Ulama (NU), kumpulan Muslim berpengaruh di Indonesia dan pertubuhan Islam terbesar di dunia.



Encik Yahya Cholil Staquf, 55 tahun, menewaskan penyandang jawatan dan pengerusi dua penggal, Encik Said Aqil Siradj, dan tiga calon lain dalam satu pertandingan sengit baru-baru ini sempena kongres nasional NU.



Allahyarham bapanya, Encik Cholil Bisri, mengasaskan bersama parti politik Islam utama Indonesia, Parti Kebangkitan Nasional (PKB), dan adik lelakinya pula merupakan Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia, Encik Yaqut Cholil Qoumas.



"Bukan sahaja beliau lebih muda (daripada Encik Said), pemikirannya juga lebih progresif.



"Ahli NU bosan dengan pentadbiran semasa dan mahu melihat perubahan," kata Encik Muh Taufiqurrohman, penyelidik kanan di Pusat Kajian Radikalisme dan Deradikalisasi yang berpangkalan di Jakarta, lapor The Straits Times.



"Tumpuan Encik Yahya ialah bagaimana memperkasa ahli NU dan menyediakan kebajikan, manakala Encik Said lebih tertumpu untuk melibatkan NU dalam politik negara," katanya lagi.



Pemilihan Encik Yahya menimbulkan persoalan sama ada pertubuhan dengan lebih 90 juta pengikut itu akan terlibat lebih aktif dalam politik negara dan menggunakan pengaruhnya ke atas dasar luar.



Lagipun, beliau bukan orang asing dalam pemerintah.



Sebagai ahli Majlis Penasihat Presiden pada 2018, beliau telah menasihati pemimpin Indonesia, Encik Joko Widodo, mengenai isu agama, domestik dan antarabangsa.



Encik Said, 68 tahun, pula sebelum ini dianggap sebagai pemain utama dalam membawa NU lebih dekat dengan politik.



Kecuali pada 1999 apabila bekas pengerusi NU, Allahyarham Abdurrahman Wahid, menjadi presiden Indonesia, pemimpin NU lain secara amnya tidak memainkan peranan utama dalam politik negara sepanjang dua dekad lalu.



Namun pada 2019, Presiden Widodo memilih bekas pemimpin NU, Encik Ma'ruf Amin, sebagai calon naib presidennya dalam pilihan raya, bukan sahaja dalam usaha untuk meraih kemenangan, tetapi juga menandakan kembalinya NU ke dalam politik negara.



PKB, kenderaan politik NU, kini mempunyai 58 kerusi di Dewan Rakyat yang mempunyai 575 kerusi, di samping mempunyai empat menteri.



Encik Yahya sebelum ini mengasaskan satu pertubuhan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Bayt ar-Rahmah, atau Rumah Rahmat Ilahi, yang bertujuan mengembangkan operasi NU di Amerika Utara, Eropah dan Timur Tengah.



Pada 2018, Encik Yahya menerima kecaman di negaranya apabila beliau melawat Israel atas undangan Forum Global Jawatankuasa Yahudi Amerika.



Indonesia tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Israel dan telah lama menentang pendudukannya di wilayah Palestin.



Sementara itu, NU, di bawah Encik Said, telah sering dikritik kerana kelihatan kurang lantang mengenai dakwaan penindasan China terhadap masyarakat Muslim Uighur di Xinjiang.



Penganalisis percaya Encik Yahya mempunyai pengetahuan politik cukup luas untuk tidak memihak, sejajar dengan dasar luar Indonesia, dan akan mengekalkan hubungan baik dengan China.



Malah, reformis ini dilihat sebagai lebih suka menyelesaikan pertikaian melalui dialog, tidak seperti Encik Said, yang cenderung lantang menentang kumpulan radikal atau ekstrem, kata Encik Taufiqurrohman, dan hubungan dekatnya dengan Amerika bermakna beliau akan dapat bekerjasama dengan baik dalam memerangi ancaman pengganasan.



Namun satu kepastian, kata penganalisis, ialah NU akan menganjurkan toleransi agama dan pluralisme di bawah kepimpinan Encik Yahya, meneruskan pendekatan yang diambil Encik Said.



Ia juga akan mempromosikan "Islam Nusantara", jenama Islam sederhana NU yang menggabungkan adat dan tradisi tempatan dalam memahami akidah.



Encik Robi Sugara, pengarah eksekutif pertubuhan bukan pemerintah (NGO) Pusat Krisis Muslim Indonesia, berkata:



"Tetapi ada kemungkinan beliau mungkin kurang memberi perhatian kepada isu di China seperti Muslim Uighur, berbanding Taliban di Afghanistan."



Encik Robi berkata cabaran bagi pengerusi baru itu ialah mencari jalan untuk mereplikakan kejayaan NU di Indonesia kepada masyarakat Islam di tempat lain.



"Keprihatinan NU bukan lagi hanya mengenai Indonesia, tetapi dunia.



"NU sentiasa mempromosi jalan tengah, jalan sederhana, dan cabarannya ialah bagaimana untuk memasarkan cara ini di peringkat sejagat," tambah Encik Robi.




"Bukan sahaja beliau lebih muda (daripada Encik Said), pemikirannya juga lebih progresif. Ahli NU bosan dengan pentadbiran semasa dan mahu melihat perubahan. Tumpuan Encik Yahya ialah bagaimana memperkasa ahli NU dan menyediakan kebajikan, manakala Encik Said lebih tertumpu untuk melibatkan NU dalam politik negara."
- Encik Muh Taufiqurrohman, penyelidik kanan di Pusat Kajian Radikalisme dan Deradikalisasi yang berpangkalan di Jakarta.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >