Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penulis Watan

May 28, 2023 | 5:30 AM
 Aman Samat, retired teacher and short story writer
Source: Courtesy of Aman Samat
Aman Samat, retired teacher and short story writer Source: Courtesy of Aman Samat - Aman Smaat

Oleh Aman Samat

BUKAN mudah untuk menyiapkan sebuah novel yang baik. Roslan terpaksa menghabiskan masanya selama tiga tahun mengumpul, menyemak, menambah, membetulkan dan membuang mana yang sudah tidak sesuai. Apa yang dilakukannya itu semata-mata untuk memastikan hasil tulisannya itu dapat diterima oleh pembaca. Bukan seorang pembaca tetapi ramai pembaca.

Tulisan itu dibaca berkali-kali. Semasa makan, berbaring, mundar-mandir di dewan rumah, dan pernah juga dibawa ke bilik air semasa melepaskan hajat besar. Beginilah yang dilakukan demi memastikan hasil tulisan itu benar-benar memberi makna kepada dirinya.

Semasa berjumpa kawan-kawan di kedai kopi atau di mana saja, lebih banyak perkara tulisannya itu menjadi sorotan utama perbualannya. Dia berharap, dengan cara itu akan tercetus idea daripada kawan-kawannya yang boleh dijadikan bahan untuk tokok tambah dalam tulisannya itu. Sering juga kawan-kawannya jadikan gurauan apabila dia ketengahkan cebisan dari cerita yang sedang dikumpulkan itu. Satu sikap bagus yang terdapat pada dirinya, semua gurauan itu diterima dan dijadikan suatu gurauan demi untuk menghambat hati kawan-kawannya. Memang menyedihkan juga jika difikirkan. Perkara yang diusahakan bermati-matian dijadikan bahan gurauan yang mirip dengan ejekan.

Dia cuba seberapa baik yang boleh untuk menghasilkan sebuah novel yang benar-benar memberi kesan kepada pembaca. Dia mahu semua kandungan cerita yang terhasil dapat mengubah cara pemikiran semua manusia yang membacanya. Perubahan daripada yang salah kepada yang benar demi kebaikan semua. Satu perubahan yang besar kepada seluruh dunia kalau boleh.

“Aku menghasilkan buku ini bukan untuk mencari untung. Aku mahu menyebarkan pesanan kepada semua yang membacanya.” Ini yang dikatakannya kepada aku dua minggu lalu semasa kami bersarapan di kedai kopi di bawah blok tempat kediamannya.

“Biar yang benar Lan,” singkatan panggilan dari namanya yang sebenar, Roslan. “Setahu aku, orang menulis untuk cari keuntungan. Ada yang bergantung daripada hasil penjual buku-bukunya untuk sara hidup. Kau hanya untuk sebar pandangan. Aneh juga aku fikirkan,” sambung aku.

“Aku tengok, ada kawan sealiran aku yang terkilan dengan hasil tulisan mereka. Mencetak kena bayar. Banyak buku dicetak, ditentukan. Kalau sikit kena bayar mahal. Cetak banyak, tersimpan berabuk di rumah. Itulah buku pertama dan yang terakhir ditulisnya,” keluh Roslan.

“Jadi, kau kesallah jadi penulis?”

“Aku tidak kata yang aku menyesal. Tapi aku punya tujuan untuk menulis. Sampaikan pesanan. Aku percaya, semua orang yang sihat ada sesuatu yang mahu disampaikan. Tapi bukan senang untuk mereka menyampaikan apa yang mereka fikirkan itu. Mereka tidak mempunyai saluran yang ideal untuk menyampaikan ideanya itu. Satu caranya ialah menulis.”

“Tadi kau baru kata, hasil tulisan itu akan berabuk di rumah,” celahku.

“Itu kalau penulis yang mahu mencari keuntungan. Tapi kalau hanya untuk sampaikan idea yang terpendam, kita boleh edarkan dengan harga yang murah. Asal balik modal, ok apa. Bukankah menulis ini suatu ibadah?”

“Untuk jual harga murah, kita perlu belanja murah untuk menghasil buku itu. Tapi tidak pernah aku dengar ada pihak yang mahu rugi,” kataku untuk membetulkan.

“Kerana semua pihak tidak mahu rugilah yang menyebabkan ramai penulis seperti peminta sedekah.”

“Apa maksud kau?” tanyaku kehairanan.

Dia membetulkan duduknya. Tubuhnya dirapatkan ke meja. Mukanya mendekati aku seakan-akan ada perkara rahsia yang hendak disampaikan kepada aku. Orang lain tidak patut mendengarnya.

“Memang sedih kalau aku nak cakap. Ada kawan aku ini sampai merayu orang supaya beli bukunya. Orang yang membeli buku itu macam terpaksa membelinya. Mungkin kerana kawan. Mungkin juga kerana kasihan. Kalau sudah macam itu, di mana letak nilai tulisan itu? Aku percaya, pembeli itu tentu akan mencampakkan buku itu bila tiba di rumahnya. Entah-entah dibuang ke dalam tong sampah sebelum sampai rumah,” katanya dengan suara separuh marah bercampur sedih.

Aku terdiam sebentar. Memikirkan apa yang baru disampaikan Roslan itu. Macam tidak masuk akal kisah itu. Memang sedih kalau benar apa yang dikatakan Roslan itu.

“Di mana salahnya? Tidak cukup buku di pasaran, disuruh banyak hasilkan buku. Bila sudah banyak dihasilkan, tidak ada yang berminat untuk membacanya. Tidak hairanlah kata Roslan, tentang penulis mengemis,” kata hatiku.

Aku berdoa agar semangat Roslan tidak mudah hancur dengan kisah pengemisan itu. Sejauh ini dia telah menghasilkan lima buku -- empat novel dan sebuah kumpulan cerpen. Semua lima buah jenis bukunya itu ada dalam simpanan aku yang diberinya secara percuma. Aku dengar ada banyak lagi di rumahnya. Tidak tahu aku, bila tarikh luputnya dan mungkin sudah banyak angkut abuk.

Terlintas pada fikiranku tentang Haji Karim. Pandangan Haji Karim itu elok juga dipertimbangakan. Semasa bertemu dengannya sebulan lalu, beliau ada suarakan agar ada sebuah badan yang patut memberi perhatian terhadap penulis dan penerbitan buku-buku Melayu.

“Saya berasa tidak senang bercampur sedih melihat nasib penulis dan hasil tulisan yang mereka hasilkan,” kata Haji Karim, pemilik kedai buku yang menjual buku-buku Melayu. “Terus terang saya katakan, masyarakat Melayu sendiri yang membunuh mereka,” suaranya yang bercampur geram.

“Buku Melayu hanya dibaca oleh mereka yang tahu bahasa Melayu. Di sini, nampaknya hanya orang Melayu yang tahu bahasa itu. Tapi mereka tidak menghargai dan menghayati bahasa itu. Ini membuat mereka tidak mahu membaca buku bahasa Melayu itu. Sedangkan mereka akui dirinya bangsa Melayu,” beliau jelaskan. “Kalau lembu tidak mahu minum air, tidak guna kita merayu atau memaksanya minum air,” beliau mengakhiri kata-katanya.

Aku juga dapat rasakan bagaimana terjejasnya hasil penjualan beliau yang menjurus kepada menjual buku-buku Melayu. Beliau terpaksa menambah hasil pendapatannya dengan jualan barangan lain seperti pakaian, alatan ibadah, buku-buku agama dan kuih-muih kering juga menyewakan sebahagian kecil kedainya untuk penjual minyak wangi. Memang perit dan sedih difikirkan tentang nasib apa sahaja yang berhubung dengan bahasa Melayu.

Semalam, aku terima pesanan ringkas daripada seorang sahabat. Salihin namanya. Dia menulis, “Ramai penulis Melayu kita, menulis apa saja yang mereka suka.”

Pada pandangan aku, sahabat aku ini berfikir yang penulis Melayu tidak mempunyai matlamat untuk menulis. Tidak seperti apa yang menjadi pendirian Roslan tentang menghasilkan buku.

“Setelah siap, mereka kena cari penerbit untuk menerbitkan hasil tulisan mereka. Jika hasil tulisan hendak dicetak jadikan buku, kena keluar modal.” Ini sudah semestinyalah. Mana ada percuma di Singapura ini. Kecuali ada pihak yang mahu sponsor.

“Paling sedikit seribu dolar. Setelah buku siap dicetak, penulis terpaksa menjualnya sendiri.” Mungkin ini yang dimaksudkan Roslan, penulis mengemis. Anehnya apabila dia menambah, “Saudara-mara dan sahabat jadi mangsa.” Maksudnya, dijual kepada mereka dan mereka beli kerana terpaksa.

Apa yang dikatakan oleh Tuan Haji Karim pada pertemuan hari itu ada benarnya.

“Perlu adanya sebuah badan untuk membela nasib penulis Melayu ini. Kita punya pihak yang mendokong untuk memperbanyakkan penerbitan buku Melayu. Penulis punya kewangan yang cukup untuk mengatasi dalam soal penerbitan. Tapi kita tidak punya kekuatan dalam soal pasaran. Jadi badan ini perlu memenuhi kekosongan yang ada itu. Pasaran tidak semestinya dalam negara sahaja tetapi tersebar di negara-negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia,” jelas beliau.

Penulis kita pula haruslah mempunyai kemampuan untuk menghasilkan idea yang baik.

“Menulis dengan mempunyai tujuan yang bermatlamat, memang seharusnya,” jelas Roslan. “Kita patut mempunyai sasaran. Masyarakat kita penuh dengan masalah dan kelemahan. Ini perlu diperbetulkan. Kita perbetulkan dengan penulisan. Walau tulisan dalam bentuk biografi, pasti ada sesuatu yang dapat dijadikan pengajaran. Antara diterima atau tidak, terpulanglah kepada mereka fikirkan.Yang penting, kita telah sampaikan,” tambahnya.

“Kepada penulis yang punya mata pencarian dan menulis ini sebagai suatu hobi, menjual bukunya dengan tidak mahukan keuntungan memang tidak jadi masalah. Tapi kepada mereka yang menjadikan penjualan buku mereka sebagai sara hidup, mereka ini patut dikasihani,” jelas aku kepada Roslan.

“Dalam dunia yang serba maju ini, penulis tempatan kita masih hidup segan mati tidak mahu. Ada yang merantau ke negara-negara jiran untuk memperlakukan buku-buku tulisan mereka. Pulang dengan keadaan yang tidak berubah. Masih terkial-kial untuk hidup. Sampai bila nasib mereka mesti begini?” ujar Roslan.

“Betul juga. Sampai bila?” kata hati kecilku.

Aman Samat

Biodata:

Seorang guru bersara dan masih mengajar Bahasa Melayu secara sambilan.

Banyak menulis sajak dan cerpen yang pernah diterbitkan di Berita Minggu.

Suatu masa lalu pernah melibatkan diri dalam kegiatan masjid sebagai Naib Pengerusi LPM.

Pernah bergiat dalam badan akar umbi RC, CCMC dan CCC.

Pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Guru-guru Zon Utara yang berfungsi untuk menyelaraskan kegiatan Bahasa Melayu di antara sekolah-sekolah Zon Utara.

Telah menghasilkan sebuah buku kumpulan cerpen bertajuk “GEMPAR” dan sebuah novel bertajuk “BAUDURI PENUH KEPALSUAN”.

Biodata penulis

Aman Samat adalah Seorang guru bersara dan masih mengajar Bahasa Melayu secara sambilan. Banyak menulis sajak dan cerpen yang pernah diterbitkan di Berita Minggu. Suatu masa lalu pernah melibatkan diri dalam kegiatan masjid sebagai Naib Pengerusi LPM. Pernah bergiat dalam badan akar umbi RC, CCMC dan CCC. Pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Guru-guru Zon Utara yang berfungsi untuk menyelaraskan kegiatan Bahasa Melayu di antara sekolah-sekolah Zon Utara. Telah menghasilkan sebuah buku kumpulan cerpen bertajuk “GEMPAR” dan sebuah novel bertajuk “BAUDURI PENUH KEPALSUAN”.

Laporan berkaitan
HarapanJan 23, 2022 | 10:40 AM
Kasihan senasib Mdm LowApr 18, 2021 | 6:03 AM
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg