Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peranan pemimpin masyarakat dalam tangani cabaran belia radikal

Aug 4, 2024 | 5:30 AM
Menurut satu kajian setempat, pendorong utama bagi belia menjadi radikal ialah keinginan menjadi lebih taat kepada agama setelah berasa hidup mereka “berdosa” ataupun terjadi tekanan mendadak seperti perceraian ibu bapa, kemalangan dan sebagainya.
Menurut satu kajian setempat, pendorong utama bagi belia menjadi radikal ialah keinginan menjadi lebih taat kepada agama setelah berasa hidup mereka “berdosa” ataupun terjadi tekanan mendadak seperti perceraian ibu bapa, kemalangan dan sebagainya. - Foto fail

Pada 2023, saya berkesempatan bertemu dan menemu ramah Febri Ramdani, seorang belia dari Indonesia yang pernah ke Syria untuk bertempur bersama kelompok pengganas, ISIS.

Mendengar kisah bagaimana beliau terjebak ke dalam pengganasan memberi sudut pandang yang berguna.

Pengalaman beliau telah dirakam di dalam memoir yang ditulis berjudul 300 Hari di Bumi Syam: Perjalanan Seorang Mantan Pengikut ISIS.

Menurut Febri, antara perkara yang membuat beliau berangkat ke Syria ialah kekacauan minda yang dihadapi kerana berasa tidak senang dengan situasi sekelilingnya dan mahukan jawapan.

Walaupun dilahirkan di dalam sebuah keluarga asal Madura yang hidup bertoleransi dengan perbezaan, beliau berasa mahu mencari sesuatu yang lain.

Akhirnya, beliau terjebak dengan propaganda kelompok ekstremis di dalam talian.

Masalah radikalisasi belia

Pengalaman Febri selari dengan penemuan satu kajian yang dilakukan oleh Bridget Robert. Beliau telah menemu duga secara bersemuka dengan 40 belia yang berisiko dan yang sudah menjadi radikal. Umur mereka secara purata ialah 23 tahun.

Kajian serupa sudah dilakukan di negara Barat yang mendapati pengasingan sosial dan peminggiran ekonomi masyarakat Muslim hijrahan sebagai antara faktor utama yang mendorong ke arah pengganasan.

Namun, faktor-faktor ini tidak kelihatan di dalam kajian setempat.

Yang menjadi pendorong utama ialah keinginan belia untuk menjadi lebih taat kepada agama setelah berasa hidup mereka “berdosa” ataupun terjadi tekanan mendadak seperti perceraian ibu bapa, kemalangan, dan sebagainya.

Secara umum, golongan ini tidak buta agama. Sebanyak 81 peratus daripada mereka pernah mendapat didikan agama secara formal dari umur lapan tahun.

Walaupun ada yang kemudian tidak menyambung kelas agama secara formal, 60 peratus mendapat pendidikan agama secara tidak formal di zaman remaja.

Namun, golongan ini lebih senang dengan pendakwah dari luar negara berbanding dengan asatizah setempat.

Ini kerana mereka berbahasa Inggeris, lebih berkarisma dan kelihatan yakin di dalam penyampaian mereka.

Sebaliknya, para pendidik agama setempat didapati sukar memberi jawapan yang meyakinkan, tidak begitu faham dengan isu-isu semasa, hanya menyentuh isu-isu yang ‘selamat’ (yakni, menjauhi isu-isu sensitif) dan tidak menyampaikan pengajaran dengan menarik.

Kajian ini juga mendapati para belia yang ditemu duga terdedah kepada penderitaan umat Islam di bahagian dunia lain (seperti isu di Palestin dan Israel) sehingga membuat mereka bersimpati dan mahu melakukan sesuatu.

Walaupun perasaan ini sah dan wajar, belia ini didorong ke arah merendah-rendahkan agama atau masyarakat lain, didesak untuk menarik diri daripada bergaul dengan masyarakat bukan Islam (menjadi eksklusif) dan ditekankan aspek keunggulan hukum syariah berbanding sekular.

Semangat juang yang terpesong

Corak pandang seperti ini kemudiannya disatukan dengan keinginan mereka untuk mendalami sejarah umat Islam yang pernah menjadi hebat dahulu.

Namun, aspek “akhir zaman” telah membuat Islam terperosok dan inilah yang membuat mereka ingin berjuang untuk Islam.

Yang menjadikan ini bermasalah ialah ketika mereka mengabsahkan penggunaan kekerasan dan mendukung keganasan seperti yang didiayah oleh kelompok pelampau agama.

Inilah yang terjadi kepada seorang belia berumur 14 tahun yang diberikan Arahan Sekatan pada Jun 2024.

Menurut laporan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), belia tersebut menjadi radikal dalam talian dengan pemahaman “akhir zaman” dan mahu berjuang di bawah Tentera Bendera Hitam dan melakukan serangan terhadap orang bukan Islam di Singapura.

Lebih membimbangkan, sebanyak 13 belia telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Perintah Sekatan semenjak 2015.

Selain umur yang semakin muda, kesemuanya, kecuali dua orang, ialah belia Muslim yang terjebak dengan ekstremisme ganas.

Tidak dinafikan, ada semacam kompleks wira yang wujud di kalangan belia ini.

Mungkin ini disebabkan kebosanan kehidupan rutin masyarakat moden. Mungkin juga belia-belia ini sedang mencari identiti yang dapat memberi semacam kepuasan yang diri mereka berupaya melakukan sesuatu yang membawa perubahan yang bermakna di keliling mereka.

Atau mungkin hubungan belia-belia ini dengan institusi-institusi masyarakat dan kehidupan bermasyarakat sudah menjadi lemah sehingga mereka perlu mencari alternatif di dunia maya.

Tanggungjawab pemimpin masyarakat

Melihat perkembangan seperti ini, sudah tiba masanya untuk para pemimpin masyarakat di akar umbi mengambil perhatian yang lebih.

Antara yang perlu kita lakukan bersama adalah mendekati belia-belia yang mencari panduan dan jawapan yang meyakinkan terhadap isu-isu semasa.

Belia-belia ini terdedah kepada pelbagai isu yang bergejolak di dalam masyarakat dan dunia melalui media-media sosial.

Jika pemimpin masyarakat tidak memberi ruang kepada belia-belia berdiskusi secara terbuka, mereka akan mencari wadah lain, termasuk mengikuti pendakwah-pendakwah yang kelihatan yakin tetapi membawa pemikiran yang ekstrem, keras dan tidak selari dengan konteks kehidupan bermasyarakat yang berbilang kaum, agama dan keyakinan di Singapura.

Ini juga bermakna para pemimpin masyarakat harus mendidik diri mereka sendiri dengan perkembangan terkini, terutama apa yang menjadi minat golongan belia.

Namun, persoalannya, adakah kita bersedia untuk mendengar tanpa panik moral yang cenderung menghukum?

Dapatkah pemimpin masyarakat “turun padang” dan bergaul dengan belia dari segenap masyarakat, termasuk golongan terpinggir dan yang tidak diwakili di platform-platform arus perdana?

Mahukah kita mendengar pandangan mereka demi memahami, bukan menyalahi?

Akhir sekali, para pemimpin masyarakat juga harus berani mengatakan masyarakat kita mempunyai masalah yang perlu diselesaikan.

Sumber-sumber yang ada harus disalurkan ke arah penyelesaian masalah sosial dan memupuk jalinan antara kelas masyarakat berbeza dan juga antara generasi.

Membahaskan masalah lebih genting daripada meraikan kejayaan di hotel-hotel mewah.

Isu belia yang terjebak ke dalam pengganasan hanyalah satu di antara masalah-masalah sosial yang lain.

Bagi pemimpin masyarakat, sudah tiba masanya untuk mencari akar masalah yang menyebabkan kegelisahan di kalangan belia.

Akar ini bukanlah keinginan untuk menjadi lebih taat kepada agama. Jawapannya juga bukan hanya melalui jalan agama.

Akarnya terletak pada siapa dan apa yang dapat meyakinkan mereka. Dan ini terkait dengan kepercayaan mereka terhadap kepimpinan dan institusi yang sedia ada.

Kepercayaan ini akan wujud jika para belia berasa didengari, pengalaman mereka mendapat pengesahan dan mereka mempunyai ruang untuk bersuara secara jujur dan terbuka.

Ini menjadi cabaran kepada para pemimpin masyarakat di akar umbi.

Tanggungjawab ini harus dipikul bersama dengan kelompok belia yang prihatin terhadap isu-isu semasa.

Penulis ialah pengarah Dialogue Centre Limited, organisasi bukan pemerintah yang menggerakkan dialog dan program yang menyentuh soal hubungan antara agama, kaum dan perbezaan keyakinan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg