SELAMA enam bulan Encik Muhammad Syafiq Sani menjalani program pelatih SGUnited sebagai penasihat penjagaan di Yayasan Mendaki, beliau telah berpeluang membantu masyarakat dari sudut pekerjaan dan pendidikan.

Teruja dengan peluang menyumbang semula kepada masyarakat, Encik Muhammad Syafiq, 31 tahun, memutuskan untuk kekal dalam peranan itu apabila ditawarkan jawatan sepenuh masa.

Ini meskipun beliau menerima beberapa tawaran pekerjaan lain, katanya, yang menyertai program itu selepas lulus daripada universiti.

Menurut Encik Muhammad Syafiq yang bertugas secara bergilir di pusat satelit Mendaki di Choa Chu Kan dan Jurong, beliau berasa beruntung menerima tawaran pekerjaan itu sejurus selepas tempoh program pelatih berakhir.

"Saya memutuskan untuk kekal dalam peranan ini kerana saya percaya Mendaki mempunyai peranan penting untuk dimainkan dalam memastikan khidmat benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat Melayu/Islam di samping tumpuan terhadap pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat.

"Dalam kajian saya mencari pekerjaan, saya sedar Mendaki menyediakan pengalaman kerja relevan dalam khidmat masyarakat, satu peluang untuk bekerjasama dengan pihak yang berkepentingan dan satu pemangkin perubahan dalam memperkasakan keluarga," ujar lulusan ijazah dalam bidang sosiologi itu.

Encik Muhammad Syafiq menjelaskan apa yang mendorongnya meneruskan pekerjaan itu ialah kerana peluang menyumbang semula kepada masyarakat.

"Ini dapat dijalankan dengan cara mudah seperti menghubungkan keluarga dengan sumber yang ada dalam dan menjangkaui persatuan yang akan membantu memenuhi keperluan individu atau keluarga.

"Motivasi terbesar saya ialah apabila melihat keluarga yang meraih manfaat daripada pengalaman ini," terang beliau.

Berkongsi tentang cabaran yang dihadapi semasa dalam tugasan, Encik Muhammad Syafiq berkata individu dan keluarga yang mendapatkan bantuan di pusat satelit itu mempunyai keperluan yang unik, jadi banyak kerja penyelarasan dengan pelbagai agensi perlu dibuat untuk menolong mereka.

"Disebabkan tidak semua keperluan mereka sama, kami tidak mempunyai satu pendekatan umum untuk semua.

"Jadi sebagai penasihat penjagaan, saya perlu mencari cara atau pendekatan khusus untuk menyediakan sokongan lebih tersasar dan menyeluruh kepada individu dan keluarga," ujar beliau.

Lantaran itu, Encik Muhammad Syafiq sentiasa mencari cara untuk menambah nilai dalam peranannya itu.

Ini dilakukan beliau dengan terus memastikan dirinya mendapat maklumat terkini mengenai perubahan dalam sistem sokongan sosial dan program oleh rakan masyarakat.

"Dalam peranan ini, penasihat penjagaan juga harus kreatif mencari huraian yang mungkin tidak tradisional atau boleh diperolehi secara meluas, bagi memastikan sesebuah keluarga atau individu tidak ketinggalan bantuan atau program sedemikian," tambahnya.

"Disebabkan tidak semua keperluan mereka sama, kami tidak mempunyai satu pendekatan umum untuk semua.Jadi sebagai penasihat penjagaan, saya perlu mencari cara atau pendekatan khusus untuk menyediakan sokongan lebih tersasar dan menyeluruh kepada individu dan keluarga... Dalam peranan ini, penasihat penjagaan juga harus kreatif mencari huraian yang mungkin tidak tradisional atau boleh diperolehi secara meluas, bagi memastikan sesebuah keluarga atau individu tidak ketinggalan bantuan atau program sedemikian." - Encik Muhammad Syafiq Sani, penasihat penjagaan Yayasan Mendaki.