Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Pernah lima hari tak tidur dek pukulan Ice

Perangkaan Biro Narkotik Pusat (CNB) menunjukkan 60 peratus pesalah dadah kali pertama yang diberkas pada tahun lalu berusia bawah 30 tahun - trend yang membimbangkan. Dalam wawancara bersama Berita Harian, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri) Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkongsi keprihatinannya tentang trend itu.
Apr 04, 2022 | 05:30 AM



MENGIMBAS detik hitam dalam hidupnya bukan mudah bagi Cik Aida (bukan nama sebenar).



Biarpun kejadian itu berlaku lima tahun lalu, pengalaman tangannya digari oleh pegawai CNB di kediaman orang tuanya, sambil disaksikan oleh abang dan kedua-dua ibu bapa, masih segar dalam ingatan dan adakala menyentak sanubarinya.



Cik Aida yang pada kini berusia 32 tahun, mula berjinak-jinak dengan dadah atas pujukan teman lelakinya ketika itu.



Aida cuma diberitahu tentang penangkapan bekas teman lakinya itu beberapa bulan kemudian, bak enau dalam belukar, teman lelakinya itu telah menghilangkan diri hingga ke saat ini.



Atas desakan dan pengaruh dari bekas teman lelaki itu, Cik Aida terjerat dan selama enam bulan menjadi penagih methamphetamine hydrochloride lebih dikenali dengan nama 'Ice'.



Menceritakan pengalaman pahit itu kepada Berita Harian, beliau berkata jerat Ice amat menyengkam.



"Sebelum menggunakan dadah ni, saya seorang yang ceria, aktif dan lebih rapat dengan keluarga.



"Tapi dalam masa yang singkat gunakan 'benda' ni, saya menjadi seorang yang berbeza, seolah saya bukan diri saya yang semua orang kenal, saya selalu stress, antara banyak tidur atau tak tidur langsung, yang paling teruk pada ketika itu, saya pernah tak tidur selama lima hari," kata Cik Aida.



Cik Aida turut berkongsi perasaannya yang tidak menentu pada malam beliau diberkas, dek kerana kesan sampingan dadah yang digunakan, perasaan sedih, takut dan keliru bercampur menjadikan beliau tidak pasti apa yang dirasai.



"Saya kalau boleh tak mahu rasa lagi perasaan malam itu. Bayangkan, saya yang dahulunya 'Daddy's Girl'.



Jadi remuk hati saya melihat ibu bapa dan abang saya, remuk lagi lah jiwa mereka melihat saya dalam situasi sedemikian, saya betul-betul serik," kata anak bongsu kepada dua beradik itu.



Cik Aida menambah beliau tidak berupaya berfungsi macam manusia lagi. "Saya bukan hanya kehilangan berat badan bahkan sampai dah tak serapat seperti dulu bersama keluarga".



Selepas diberkas, Cik Aida dijatuhkan hukuman empat bulan di pusat pemulihan.



Selepas itu beliau menjalani program pemulihan di sebuah rumah peralihan dan baki enam bulan beliau dikehendaki memakai alat pantauan elektronik atau 'tagging'.



Mujur pada ketika itu, abang serta kedua ibu bapa kepada Cik Aida memberi sokongan pada Cik Aida yang sedang dalam proses pemulihan.



Setiap pagi beliau akan dijemput dan dihantar pulang setelah tamat kerja oleh mereka.



Demi meluangkan sedikit masa dan pada masa yang sama memantau pergaulannya, ahli keluarga Aida telah korbankan waktu rehat dan hari cuti mereka.



Usaha dan pengorbanan keluarga Cik Aida ini menguatkan lagi semangat beliau untuk tepis semua hasutan dan pengaruh yang negatif.



Setelah lima tahun berusaha membina semula hidupnya, Aida kini sudah mendirikan rumah tangga hampir dua tahun dan menjalani kehidupan lebih bahagia dan positif, walaupun mereka belum lagi dikurniakan cahaya mata.



Mujur beliau mendapat sokongan suaminya.



"Suami saya adalah kekuatan saya, dalam pada masa yang sama, saya juga adalah kekuatan untuk diri beliau".



Suaminya, 32 tahun, yang juga bekas penagih, memahami cabaran yang Cik Aida lalui.



"Mungkin kerana pengalaman kami agak sama, itu menjadikan kami mudah rapat dan justeru menjadi sumber kekuatan agar kami tidak lagi terjebak dalam kancah dadah," kata Cik Aida.



"Dengan adanya beliau dalam hidup saya sekarang, kami sering mengingati satu sama lain tentang betapa besarnya kehilangan yang akan kami berdua lalui jika antara kami mula untuk gunakan dadah sekali lagi,"ujar beliau.



Mengenai langkah kembali ke pangkuan masyarakat, Cik Aida berkata sokongan keluarga dan orang tersayang amat penting.



"Nak mulakan hidup kembali selepas jatuh tidak mudah, ia mengambil masa, duit dan sokongan yang banyak dan tentu sekali masa yang adakalanya panjang.



"Tak semua orang bernasib baik seperti kami, tak semua ada tempat berteduh selepas keluar, tak semua yang keluarga terima mereka kembali," kata-kata semangat dari Cik Aida.



- HANS ASHRIE DAUD




"Sebelum menggunakan dadah ni, saya seorang yang ceria, aktif dan lebih rapat dengan keluarga. Tapi dalam masa yang singkat gunakan 'benda' ni, saya menjadi seorang yang berbeza, seolah saya bukan diri saya yang semua orang kenal, saya selalu stress, antara banyak tidur atau tak tidur lansung, yang paling teruk pada ketika itu, saya pernah tak tidur selama lima hari."
- Bekas penagih Aida, 32 tahun








ICE BERBAHAYA



 



Methamphetamine yang sering didapati dalam bentuk kristal dikenali sebagai methamphetamine hydrochloride. Ia juga dikenali dengan nama seperti 'Ice', 'Glass', 'Crystal', 'Speed', 'Quartz', 'Ice Cream', 'Hirropon', 'Ya ba', Shabu atau Syabu.



Ia biasanya berbentuk kristal tidak berwarna dan tidak berbau yang menyerupai serpihan kaca atau "batu" biru-putih berkilat pelbagai saiz. Ini menjelaskan mengapa ia lebih dikenali sebagai Ice di Singapura. Methamphetamine juga terdapat dalam bentuk tablet. Dalam bentuk ini, ia juga dikenali sebagai 'Pil Kuda Gila' atau 'Ya ba'. Kebanyakan tablet 'Ya ba' yang ditemui di Singapura timbul dengan logo 'WY' dan berwarna hijau atau oren.



Methamphetamine merupakan perangsang kuat yang mempunyai kesan kuat pada sistem saraf pusat. Ia juga bahan yang boleh menyebabkan kerosakan kekal pada saluran darah jantung dan otak, tekanan darah tinggi yang membawa kepada serangan jantung, strok dan kematian.



SIMPTOM KETAGIHAN



  • Kekeliruan, sikap tidak peduli, keletihan

  • Kebergantungan psikologi yang kuat

  • Psikosis

  • Kemurungan

  • Kerosakan otak sama seperti penyakit Alzheimer, strok, epilepsi

  • Tingkah laku ganas, agresif

  • Kebimbangan

  • Insomnia

  • Halusinasi pendengaran

KESAN NEGATIF (FIZIKAL)



  • Kerosakan kekal pada saluran darah jantung dan otak, tekanan darah tinggi yang membawa kepada serangan jantung, strok dan kematian

  • Kerosakan hati, buah pinggang dan paru-paru

  • Kemusnahan tisu dalam hidung jika dihidu

  • Masalah pernafasan (pernafasan) jika dihisap

  • Penyakit berjangkit dan abses jika disuntik

  • Malnutrisi, penurunan berat badan

  • Kerosakan gigi yang teruk

Sumber: CNB




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >