Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Personaliti media Nurul Aini bangga, tumpang gembira pembantu rumah bijak kumpul wang

Aug 11, 2024 | 5:30 AM
Personaliti media setempat, Cik Nurul Aini (kanan), bersyukur ‘dijodohkan’ dengan Cik Dewi Yunita (kiri) yang sudah tujuh tahun bekerja dengannya.
Personaliti media setempat, Cik Nurul Aini (kanan), bersyukur ‘dijodohkan’ dengan Cik Dewi Yunita (kiri) yang sudah tujuh tahun bekerja dengannya. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Impiannya apabila mula bekerja di Singapura sama seperti para pembantu rumah lain, iaitu untuk mencari rezeki bagi kehidupan lebih baik apabila pulang ke negara asal kelak.

Setelah tujuh tahun berjauhan dengan keluarga, impian Cik Dewi Yunita, hampir menjadi kenyataan.

Beliau telah pun membina sebuah rumah di Malang, Jawa Timur, Indonesia dan kini sedang terus gigih mengumpul wang sebelum pulang ke negara asal.

Watch on YouTube

“Saya sudah tujuh tahun di sini. Saya ingin cukupkan 10 tahun. Saya sudah bikin rumah, sekarang saya mahu kumpul wang untuk beli kereta… dan kemudian baru saya pulang,” kata Cik Dewi, 30 tahun, yang membina rumah bagi keluarga dan dirinya di atas tanah milik nenek dan datuknya.

Majikan Cik Dewi, personaliti media setempat, Cik Nurul Aini Abdul Rahim, 42 tahun, tumpang gembira melihat bagaimana pembantunya itu mampu secara perlahan-lahan menyediakan kehidupan yang lebih baik bagi keluarganya di tanah air.

Ibu tiga orang anak berusia antara lima dan 13 tahun itu berkata beliau beruntung mempunyai pembantu seperti Cik Dewi, yang merupakan seorang pekerja yang baik dan amat membantu dalam beliau mengimbangi tuntutan sebagai wanita berkerjaya.

Cik Nurul, yang tinggal di sebuah rumah teres tiga tingkat di kawasan Timur Singapura, mempunyai empat pembantu rumah sebelum ini. Cik Dewi merupakan pembantu yang paling lama bekerja dengan beliau.

“Dewi sudah menjadi sebahagian daripada keluarga saya. Saya rasa sangat beruntung kerana Dewi merupakan pembantu yang sangat rajin, sangat prihatin dengan keperluan saya dan keluarga,” kata beliau.

Cik Dewi berkata beliau mengambil keputusan untuk bekerja sebagai pembantu rumah di Singapura kerana pendapatannya sebagai jurujual di Indonesia sebelum ini tidak mencukupi.

“Ibu saya, nenek saya juga, pernah jadi pembantu di Arab Saudi, jadi saya pun mahu bekerja di luar negara dan kumpul duit untuk masa depan seperti mereka,” ujar beliau.

Cik Dewi menganggap ia sebagai rezeki kerana ‘dijodohkan’ dengan majikan yang “pemurah dan baik hati”.

Beliau sering kali dibawa ke tempat-tempat percutian bersama keluarga itu. Bahkan, Cik Nurul pun sering memastikan Cik Dewi berpakaian sedondon apabila mereka bercuti atau pada hari perayaan.

Cik Nurul Aini (tiga dari kanan) memastikan beliau sekeluarga dan pembantu rumahnya, Cik Dewi Yunita (paling kanan), berpakaian sedondon semasa hari perayaan seperti Hari Raya. Bersama mereka ialah suami Cik Nurul Aini, Encik Sofian Roslan, dan tiga anak mereka (dari kiri) Shan Ehan, Shaista Eman dan Shania Eva.
Cik Nurul Aini (tiga dari kanan) memastikan beliau sekeluarga dan pembantu rumahnya, Cik Dewi Yunita (paling kanan), berpakaian sedondon semasa hari perayaan seperti Hari Raya. Bersama mereka ialah suami Cik Nurul Aini, Encik Sofian Roslan, dan tiga anak mereka (dari kiri) Shan Ehan, Shaista Eman dan Shania Eva. - Foto ihsan NURUL AINI ABDUL RAHIM

Cik Nurul menerangkan beliau rasa ia adalah penting untuk memastikan pembantu rumahnya rasa dirinya dihargai supaya beliau dapat tenang melakukan kerja di Singapura, lebih-lebih lagi berjauhan dengan keluarga.

Malah, hubungan mereka sangat rapat sehinggakan Cik Nurul berkata beliau tidak bersimpan rahsia dengan Cik Dewi kerana sangat mempercayainya.

“Saya rasa penting untuk beliau rasa dirinya dihargai dan salah satu caranya adalah untuk membuatnya berasa seperti sebahagian daripada keluarga kami.

“Dewi sudah bersama saya sebelum anak (bongsu) saya Shania baru lahir. Bayangkan berapa rapatnya Dewi dengan Shania dan juga anak-anak lain, ” kata Cik Nurul Aini lagi.

Cik Dewi menceritakan Cik Nurul bukanlah majikan pertamanya.

Justeru, beliau rasa ‘bernasib baik’ kerana khidmatnya tidak diperlukan oleh majikan pertama selepas hanya sebulan bekerja, yang kemudian memulangkannya kepada agensi pembantu rumah.

Cik Nurul, yang ketika itu dalam keadaan terdesak kerana baru menghantar pembantu rumahnya pulang kerana lalai dalam pekerjaan, mengambil Cik Dewi buat tempoh sementara.

Tidak disangka Cik Dewi terus bekerja untuk Cik Nurul sehingga sekarang.

Cik Nurul Aini membaca kad-kad yang ditulis oleh Cik Dewi pada ulang tahun hari lahirnya.
Cik Nurul Aini membaca kad-kad yang ditulis oleh Cik Dewi pada ulang tahun hari lahirnya. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Gambar rumah Cik Dewi di Malang, semasa pembinaan yang mengambil masa enam tahun untuk dibina.
Gambar rumah Cik Dewi di Malang, semasa pembinaan yang mengambil masa enam tahun untuk dibina. - Foto ihsan NURUL AINI ABDUL RAHIM
Gambar rumah Cik Dewi di Malang, selepas pembinaan yang mengambil masa enam tahun untuk dibina, selesai.
Gambar rumah Cik Dewi di Malang, selepas pembinaan yang mengambil masa enam tahun untuk dibina, selesai. - Foto ihsan NURUL AINI ABDUL RAHIM

Cik Nurul berkata beliau cuba menyokong pembantu rumahnya itu dalam usahanya mengumpul wang untuk keperluan diri dan keluarga di Indonesia.

“Untuk kira-kira tiga tahun, Dewi menghantar kesemua wangnya pulang, satu sen pun dia tidak simpan untuk dirinya sendiri.

“Pada mulanya saya rasa bimbang kerana pembantu rumah saya yang sebelum ini berbuat begitu, tetapi akhirnya beliau dapat tahu duit gajinya itu habis digunakan suaminya untuk berjudi. Jadi ketika itu saya selalu minta Dewi berhati-hati.

“Tapi melihat apa yang telah dilakukannya dengan duit hasil kerja di Singapura, saya amat bangga dan tumpang gembira,” kata beliau.

Rumah yang tersergam indah di Malang kini menunggu Cik Dewi yang buat masa ini hanya dapat ‘melepaskan rindu’ keluarga dan rumah di kampung halaman menerusi foto-foto yang dikirimkan kepadanya oleh anggota keluarga.

“Saya belum mahu pulang. Biarlah saya hantar wang saja, lagipun saya bisa omong (berbual) sama keluarga menerusi panggilan video.” kata Cik Dewi yang mahu mengingatkan pembantu rumah supaya rajin mengumpul wang demi masa depan.

Sementara itu, Cik Nurul akur beliau sering memikirkan tentang bagaimana keadaannya kelak apabila beliau dan pembantu rumahnya itu akan berpisah, bila tiba masanya Cik Dewi mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan pulang ke tanah air.

“Saya tahu Dewi juga punya keinginan untuk berkeluarga, punya anak sendiri... tetapi pasti saya dan anak-anak akan merinduinya,” katanya, sambil menambah pendekatan beliau dengan pembantu rumahnya ialah bersikap munasabah, tidak terlalu mendesak atau terlalu tegas, serta sentiasa mementingkan keharmonian antara pembantu rumah dan majikan.

Cik Dewi ingin kerja selama 10 tahun dengan Cik Nurul Aini sebelum pulang ke tanah airnya.
Cik Dewi ingin kerja selama 10 tahun dengan Cik Nurul Aini sebelum pulang ke tanah airnya. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

“Kalau malas, boleh dilentur; kalau tak pandai, boleh diajar; tetapi kalau sikapnya negatif dan tidak mahu bekerjasama, itu akan menyulitkan keadaan,” jelas Cik Nurul Aini, yang juga mengaku beliau sering membantu dengan kerja rumah untuk meringankan beban Cik Dewi.

“Majikan juga main peranan penting dan boleh membuat kehidupan pembantu lebih baik,” tambahnya lagi.

TIP PUPUK HUBUNGAN BAIK ANTARA MAJIKAN DAN PEMBANTU RUMAH

Hubungan baik dan harmoni antara pembantu rumah asing dan majikan boleh dipupuk dengan mengamalkan tip-tip yang dikongsikan oleh agensi pembantu rumah Bibik2GoSg Pte Ltd :

1. Komunikasi yang baik: Komunikasi sangat penting untuk memastikan pembantu faham apa yang dikehendaki darinya, dari segi keperluan, jangkaan dan peraturan rumah. Galakkan dialog terbuka supaya pembantu rumah anda berasa selesa berkongsi kebimbangan dan dengarkan cadangannya.

2. Senarai Kerja: Siapkan senarai kerja ataupun jadual pekerjaan yang akan pembantu biasakan diri dengan rutin seharian dan tidak perlu mengganggu majikan. Senarai boleh berubah mengikut keperluan.

3. Berikan masa untuk penyesuaian: Masa penyesuaian berbeza untuk setiap orang. Berikan pembantu waktu untuk belajar dan memahami rentak kerja dan sekitarnya. Mereka juga perlu bantuan dan dorongan.

4. Hormat dan Amanah: Layan pembantu sama seperti bagaimana anda mahu dilayan. Pembantu datang jauh dari kampung halaman untuk bekerja, mencari rezeki untuk keluarga mereka, jadi hormatilah pengorbanan mereka. Ingatkan anak-anak anda, untuk menghormati mereka juga. Pembantu anda pasti akan menghargai dan berterima kasih atas layanan yang baik oleh keluarga majikan.

5. Sokongan dan Galakan: Berikan sokongan emosi dan galakan untuk memupuk persekitaran kerja yang positif.

6. Hari rehat/cuti: Benarkan pembantu berehat dan berikan hari cuti juga. Walaupun Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mewajibkan pembantu mempunyai sekurang-kurangnya satu hari cuti, pastikan mereka mempunyai waktu rehat yang mencukupi pada waktu malam supaya mereka lebih produktif pada siang hari.

Ibu saya, nenek saya juga, pernah jadi pembantu di Arab Saudi, jadi saya pun mahu bekerja di luar negara dan kumpul duit untuk masa depan seperti mereka.
Cik Dewi Yunita.

Dewi sudah menjadi sebahagian daripada keluarga saya. Saya rasa sangat beruntung kerana Dewi merupakan pembantu yang sangat rajin, sangat prihatin dengan keperluan saya dan keluarga.
Cik Nurul Aini Abdul Rahim.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg