Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Pertingkat kepakaran asatizah jangkau ilmu agama

Jan 02, 2022 | 05:30 AM



Singapura mempunyai visi jangka panjang membangunkan asatizah sebagai tokoh agama yang dihormati di dalam dan di luar negara. Sebagai profesional, asatizah wajar mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat, memperoleh pengetahuan dan kemahiran dalam membimbing umat Islam di Singapura untuk membantu masyarakat menagani pelbagai cabaran kontemporari. Dalam siri Pembangunan Asatizah bermula minggu ini BERITA MINGGU melaporkan usaha yang dilaksana bagi membangunkan golongan asatizah.



SATU ketika dahulu gelaran ustaz atau ustazah lazimnya diberikan kepada guru agama atau 'guru ngaji'. Kini peranan asatizah sudah banyak berubah seiring keperluan dunia yang lebih mencabar, lebih rumit dan tidak menentu.



Asatizah mempunyai peranan penting membentuk keperibadian masyarakat, memberikan bimbingan kerohanian dan moral. Golongan itu juga mempunyai tanggungjawab penting membantu masyarakat mencari huraian pada isu-isu baru agama yang muncul dari masa ke masa.



Contoh terkini ialah pandemik Covid-19 yang melanda dunia yang meningkatkan peranan asatizah membimbing masyarakat Islam menyesuaikan diri dan mengamalkan pendekatan fleksibel dalam menjalani kehidupan beragama bagi membendung wabak itu.



Oleh demikian adalah penting bagi umat Islam memberi tumpuan kepada pembangunan asatizah kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad..



"Mereka (asatizah) menjadi nadi dalam menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat, tatkala banyak unsur-unsur baru alam sistem keagamaan yang muncul seiring dengan perubahan konteks kehidupan kita pada hari ini.



"Dengan golongan asatizah yang tinggi ilmunya dan penuh berwibawa, masyarakat akan mendapat pencerahan yang lebih padat dan lengkap tentang panduan-panduan agama yang kontemporar," kata Encik Masagos semasa berucap di Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (Mabims) baru-baru ini.



Pelbagai usaha telah dilaburkan untuk membantu asatizah meraih ilmu dan kepakaran untuk membimbing masyarakat.



PRASARANA PENDIDIKAN AGAMA



Bak kata pepatah melentur buluh biar dari rebung, pembentukan golongan asatizah setempat boleh disusur dari sistem madrasah di negara ini.



Jika dahulu, belajar pondok membawa makna menuntut ilmu agama, madrasah setempat yang menjadi penjana golongan bijak pandai agama kini lebih canggih dan dilengkapi kemudahan terkini.



Lihat sahaja bangunan Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah (MAI) Madrasah Arabiah.



Bangunan baru lima tingkat yang dirasmikan baru-baru ini, menyediakan kemudahan dan prasarana terkini bagi melengkapi kurikulum berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem).



Prasarana itu menelan belanja $17.5 juta yang dibiayai melalui sokongan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan sumbangan masyarakat.



Kemudahan baru itu merupakan antara hasil Sistem Madrasah Bersama (JMS), yang diperkenalkan pada 2008 untuk membantu madrasah setempat memperbaiki sistem dan keupayaan di samping membangunkan golongan asatizah dan cendekiawan Islam.



Turut menyertai JMS ialah Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah dan, Madrasah Aljunied Al-Islamiah.



Selain menikmati sokongan sumber, madrasah di bawah JMS juga menyediakan pendedahan yang menyeluruh dan seimbang kepada kedua-dua sains Islam dan moden.



Pelajar madrasah kini juga mempunyai pilihan laluan pendidikan yang lebih luas.



Selain saluran tradisional peringkat menengah ke prauniversiti ke universiti, pelajar madrasah kini mempunyai pilihan menyertai laluan Progam Diploma International Baccalaureate (IBDP). Program itu buat masa ini disediakan di Madrasah Aljunied.



PERTINGKAT PROFESIONALISME



Terdapat juga pelbagai usaha mempertingkat profesionalisme asatizah.



Antara usaha ketara ialah perlaksanaan Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).



Diperkenalkan pada 2005, asatizah yang ingin mengajar ajaran Islam di Singapura perlu mendapatkan pengiktirafan ARS.



Biarpun usaha membina golongan asatizah telah berjalan secara berterusan, antara detik bersejarah dalam pembangunan asatizah berlaku pada Mac 2019 dengan penubuhan Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (Cofa).



Jawatankuasa itu dipengerusikan Dr Mohamad Maliki Osman, yang ketika itu Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pertahanan).



Cofa antara lain telah melakar pelan strategik untuk terus membangunkan golongan asatizah.



Antara tunggak pelan itu ialah meningkatkan tahap profesionalisme golongan asatizah, memperkukuh institusi dan membimbing siswazah asatizah yang berinspirasi.



Mengulas tentang pembangunan asatizah setempat, Ustaz Dr Mohamed Ali, berkata pelbagai inisiatif sedang dilaksana bagi membantu golongan asatizah.



"Ini termasuk program Sijil Possiswazah Islam Dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS).



"Ia bertujuan membantu golongan asatizah khususnya graduan pusat pengajian luar negara, mengamalkan ilmu serta kemahiran relevan dalam konteks Singapura," kata Ustaz Dr Mohamed yang juga Penolong Profesor di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS).



Program sepenuh masa selama setahun itu juga merupakan salah satu syarat bagi asatizah yang mahu mendapatkan pengiktirafan di bawah ARS.



Menjawab pertanyaan Berita Minggu, Muis berkata sehingga kini 162 pelajar telah mendaftar menyertai PCICS dalam empat kohort.



"Kira-kira separuh (kohort pertama dan kedua) telah menamatkan program tersebut manakala bakinya masih menjalaninya," kata Muis.



Pembelajaran Berterusan



Bagi asatizah yang berminat mempertingkat diri mereka dalam isu-isu baru muncul, Muis turut menganjurkan pelbagai kursus lain seperti yang berkaitan pendigitalan dan penggunaan media sosial.



Terdapat juga skim Kredit Latihan Asatizah (ATC) yang dilancarkan pada 2020. Setiap asatizah ARS diperuntukkan kredit latihan bernilai $200 untuk mengimbangi kos kursus pendidikan berterusan selepas mengambil kira subsidi SkillsFuture.



"Bagi ATC, 585 asatizah telah mendapat manfaat daripadanya dan sejumlah $60,000 telah diagihkan sejak inisiatif itu dilancarkan," tambah Muis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >