Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Pertingkat usaha wujudkan sekitaran inklusif bagi pesakit mental

Baru-baru ini, satu kajian menunjukkan bahawa gejala keresahan dan kemurungan dalam kalangan penduduk di sini boleh menelan kos yang ditanggung negara hampir $16 bilion dalam setahun, atau kira-kira 2.9 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) negara. Apa yang perlu dilakukan supaya jurang dalam sokongan mental yang dihulurkan dapat dirapatkan? Ikuti sorotan Berita Harian.
Jul 07, 2023 | 03:52 PM
File



Lebih banyak sokongan boleh dihulurkan bagi membantu individu yang mengalami keadaan kesihatan mental supaya dapat terus menyumbang kepada tenaga kerja, kata beberapa pakar yang dihubungi Berita Harian (BH).


Ini boleh dilakukan, antara lain, dengan memperkenalkan aturan kerja fleksibel, menggalakkan keseimbangan kerja dan kehidupan ataupun sistem sokongan rakan sebaya.

Malah, mereka juga mencadangkan beberapa langkah, termasuk menimbangkan perundangan atau memberi insentif kepada majikan supaya tidak menyisih pekerja yang mengalami isu kesihatan mental.

Satu kajian yang dijalankan Sekolah Perubatan Duke-NUS dan Institut Kesihatan Mental (IMH) baru-baru ini menunjukkan bahawa gejala keresahan dan kemurungan dalam kalangan penduduk di sini boleh menelan kos yang ditanggung negara hampir $16 bilion dalam setahun, atau kira-kira 2.9 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) negara.

Ini disebabkan ketidakhadiran, produktiviti yang berkurangan dan penggunaan sumber penjagaan kesihatan.

Presiden Kelab Heal, Dr Radiah Salim, berkata: “Kita mempunyai banyak program dan sokongan nasional, namun kita perlu mempertingkat program berorientasikan pemulihan yang memberi tumpuan terhadap pemulihan daripada sekadar merawat episod akut.”

Beliau menambah bahawa lebih banyak usaha yang perlu dilakukan melebihi tempoh di mana keadaan pesakit menjadi stabil supaya keadaan kesihatan mental mereka tidak kembali berulang.

Dapatan juga menunjukkan bahawa antara mereka yang dikenal pasti mengalami keadaan ini, hanya 32 peratus melaporkan bahawa mereka mendapatkan penjagaan kesihatan bagi merawat keadaan mental mereka dan hanya 24 peratus berjumpa dengan penyedia kesihatan mental.

Profesor Madya Emily Ortega, Ketua Program (Psikologi) di Sekolah Kemanusiaan dan Sains Tingkah Laku di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (Suss), berkata ini disebabkan beberapa faktor, contohnya ada yang tidak tahu akan khidmat yang tersedia selain stigma terkait yang mencegah orang ramai daripada mendapatkan bantuan.

Dalam pada itu, pengarah eksekutif Persatuan Kesihatan Mental Singapura (SAMH), Cik Ngo Lee Yian, berkata pekerja mungkin risau tentang kesan jika mendedahkan keadaan mental mereka, seperti tidak dipilih untuk dinaikkan pangkat, menghadapi tindakan disiplin, atau dipandang sebagai tidak boleh diharapkan.

“Budaya tempat kerja yang tidak mengutamakan kesihatan mental atau gagal menyediakan sokongan yang mencukupi boleh mematahkan semangat individu untuk mendapatkan bantuan. Sekiranya pekerja mendapati sekitaran kerja mereka sebagai tidak menyokong atau tidak bersimpati, mereka mungkin ragu-ragu untuk mendedahkan kesukaran mereka atau mendapatkan bantuan, kerana takut dilihat sebagai lemah atau membebankan,” katanya.

Dr Radiah berkata bahawa perundangan untuk menetapkan peruntukan bagi golongan yang mengalami keadaan mental supaya pulih boleh dipertimbangkan.

Contohnya, mereka yang terikat kepada majikan dan menghadapi kesukaran memenuhi penunjuk prestasi utama (KPI) tidak patut dibandingkan dengan kakitangan lain, sebaliknya beliau boleh memilih menerima gaji yang lebih rendah tetapi tekanan ke atas dirinya untuk memenuhi KPI dikurangkan, kata Dr Radiah.

Dalam pada itu, pengarah eksekutif Silver Ribbon (Singapura), Cik Porsche Poh, menukil contoh nasihat Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan yang Adil dan Progresif (Tafep) pada Januari 2020 yang meminta majikan meniadakan pertanyaan tentang kesihatan mental dalam borang permohonan pekerjaan merupakan langkah yang membantu.

“Kita lihat perlunya melakukan lebih lagi dalam pendidikan awam supaya masyarakat akan mempunyai pemahaman lebih baik tentang isu kesihatan mental dan sumber kesihatan mental yang tersedia,” tambahnya.

Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, yang turut memperjuangkan isu kesihatan mental, berkata bahawa perundangan yang melindungi pesakit mental daripada diskriminasi memerlukan kajian yang lebih mendalam.

Beliau prihatin sekiranya langkah tersebut akan membuatkan golongan ini lebih terdedah.

“Sebaliknya, apa yang saya rasa lebih penting adalah untuk menjadikan perbincangan mengenai kesihatan mental satu norma, mengurangkan stigma, dan memastikan bahawa individu menerima sokongan dan penyesuaian yang mereka perlukan,” ujarnya.

Kesihatan mental, tambah beliau, patut disepadukan ke dalam semua dasar kesihatan dan keselamatan, selain memupuk perhubungan terbuka tentang topik tersebut, dan menyediakan sumber untuk penjagaan diri serta daya tahan.

Cik Poh juga menyarankan agar golongan yang mengalami penyakit mental dapat diberi kelonggaran seperti diberikan cuti sementara atau ‘time off’ supaya mereka dapat menghadiri janji temu perubatan mereka.

Cik Ngo berkata pendekatan holistik patut dipertimbangkan dengan langkah di tempat kerja memberi tumpuan terhadap kesejahteraan mental pekerja secara keseluruhan, contohnya dalam menangani tekanan.

Walaupun stres bukan keadaan perubatan, ia boleh membawa kepada isu kesihatan mental seperti kemurungan dan keresahan jika tidak ditangani dengan betul.

“Justeru, ia penting bahawa usaha kesihatan mental di tempat kerja bukan sahaja tertumpu ke atas mereka yang mengalami keadaan kesihatan mental (didiagnos atau tidak didiagnos), tetapi juga mereka yang mempunyai risiko atau bergelut dengan kesihatan mental mereka, dan mereka yang sihat.

“Ini memberi dorongan bukan hanya untuk tindakan tetapi juga sokongan pencegahan,” jelas beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >