Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Pesta papar gerakan penulis wanita galak kaum Hawa bebas berkarya

Pesta Penulis Singapura (SWF) kembali lagi dalam edisi ke-25 antara 4 hingga 20 November ini dengan meraikan kemungkinan yang boleh terjadi hanya dengan satu perkataan, 'Jika'. Lebih 200 program dalam skala fizikal sepenuhnya disajikan dengan paparan karya penulis wanita dan bakti mereka dalam dunia kesusasteraan Melayu turut menjadi antara teras pesta kali ini. Bagaimana puisi sasterawan mapan dilagukan serta lirik puitis mekar dengan bunga-bunga bahasanya sebagai santapan halwa telinga turut disajikan. BERITA HARIAN melaporkan.
Oct 28, 2022 | 05:30 AM



TANPA dirancang pada usia 44 tahun, Cik Rohani Din mula mengorak langkah menulis pengalaman peribadinya menjaga anak yang koma di kala suaminya diserang penyakit jantung.



Segala yang terbuku di hati dan minda menjadi bahan bagi buku Diari Bonda yang diterbitkan pada 1997.



Buku ini dilanjutkan sebagai siri susulan dengan empat bahagian, bahkan kini diubah suai dengan judul baru untuk memenuhi cita rasa generasi muda yang dikhuatiri enggan membaca karya tebal.



Onak duri perjalanan kesusasteraan Cik Rohani, kini 69 tahun, yang mempunyai empat anak dan enam cucu itu membuahkan minat menggerakkan kolektif penulisan Kumpulan Bebas Melata sekitar 2013.



Ia menyatukan lebih 200 pemuisi dan penulis wanita daripada enam negara Asia Tenggara - Singapura, Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand dan Vietnam.



Pergerakan yang turut disertai penulis wanita Singapura, Cik Kamaria Buang, Cik Faridah Taib, Cik Nordita Taib dan Cik Khaziah Yem, menjadi rangkaian sokongan untuk mereka saling menggalakkan dan melepas bebaskan diri daripada rasa takut atau malu menulis.



Kisah pergerakan ini yang bakal menerbitkan antologi puisi mereka yang ke-18 adalah antara yang dipaparkan dalam pameran mengenai sasterawan wanita, Bukan Mungkin Lagi, Mesti!: Penulis-Penulis Perintis Wanita Melayu Membalas Balik.



Pameran percuma sempena Pesta Penulis Singapura (SWF) anjuran The Arts House Limited dan dikomisyen Majlis Seni Kebangsaan (NAC) itu berlangsung di Blue Room, The Arts House pada 4 November (8 hingga 9 malam) dan 5 hingga 20 November (11 pagi hingga 9 malam).



Ia turut mengetengahkan hasil karya generasi keempat dan terakhir Riau-Lingga, Raja Aisyah Sulaiman; penulis dan pelakon Malaysia, Adibah Amin; serta penggiat sastera Singapura, Cik Rasiah Halil, Profesor Madya Hadijah Rahmat dan Dr Sa'eda Buang.



Ketika ditemui, Cik Rohani yang dikenali dengan panggilan 'Bonda' berkata:



"Pameran sebegini baik bagi menggalakkan kaum wanita yang biasanya malu-malu kucing untuk menulis atau berkongsi tentang karya mereka.



"Kumpulan Bebas Melata ini ditubuhkan untuk memberi pendedahan kepada penulis wanita yang perlu ditarik keluar dari kepompong mereka dan berkongsi luahan rasa mereka. Mereka malahan saya ajak keluar dari Singapura dan ikut saya ke Jakarta untuk deklamasikan karya mereka.



"Karya mereka kemudian 'dibedah' di Jakarta, Kelantan dan Kuala Lumpur oleh masyarakat yang peka dan lebih menghargai penulisan. Sebilangan daripada mereka suri rumah dan ada juga wanita berkerjaya.



"Saya bermula pun lambat dalam bidang penulisan. Gerak hati itu datang tiba-tiba ketika saya langsung tak fikir untuk terbitkan catatan pilu saya sebagai seorang ibu."



Cik Rohani akui penulisan banyak membuka minda dan membawanya ke tempat-tempat yang tidak dibayangkan dapat kunjungi.



"Apabila Kumpulan Bebas Melata ditubuhkan, niat saya hanyalah untuk membina rangkaian kenalan penulis wanita yang boleh saling menyokong, beri kata perangsang dan pererat silaturahim. Kalau kita ke Indonesia, Brunei, Malaysia, Vietnam atau Thailand, kita ada kawan.



"Saya selalu berpesan kepada penulis, dalam kita mengemukakan karya kita, tak perlu sibuk tonjolkan diri sangat. Kita buat dengan ikhlas. Akan ada yang buka pintu rezeki.



"Kita juga harus mengkaji trend. Saya lihat budak-budak sekarang tak suka membaca dan gerun lihat buku tebal. Empat buku Diari Bonda sudah mula saya pecahkan dan akan ada 15 bahagian kecil.



"Saya gunakan nama asal Kemelut Hati. Nanti akan ada 'Kalut', 'Kelabut' dan 'Serabut' untuk susulan. Kita harus pandai cipta semula karya kita sendiri mengikut tuntutan sezaman," tambahnya.




"Kumpulan Bebas Melata ini ditubuhkan untuk memberi pendedahan kepada penulis wanita yang perlu ditarik keluar dari kepompong mereka dan berkongsi luahan rasa mereka.

Mereka malahan saya ajak keluar dari Singapura dan ikut saya ke Jakarta untuk deklamasikan karya mereka."

- Cik Rohani Din, yang menggerakkan kolektif penulisan Kumpulan Bebas Melata.




ACARA LAIN



Jika Kalau (Bersama Hidayah Amin, Khairool Haque and Syazwan Majid)



Bila: 13 November

Masa: 4 hingga 4.30 petang

Tempat: Blue Room, Arts House



Mengambil ilham daripada tema Pesta Penulis Singapura (SWF), acara bersiri ini mengundang penulis-penulis dan pemikir-pemikir daripada latar belakang yang pelbagai untuk menghurai dan memberi takrifan pada perkataan 'jika' dan 'kalau'.



Salam Perkenalan bersama Penulis-Penulis Perintis Wanita Melayu dari SWF 2022



Bila: 4 November

Masa: 8 malam

Tempat: Play Den, The Arts House



Penghargaan diberi kepada penulis-penulis wanita yang telah memberi kesan kepada dunia persuratan Melayu Singapura.



Dalam sesi yang dikendalikan penggiat seni Cik Aidli Mosbit, anda berpeluang mengenali lebih dalam lagi mengenai penulis wanita Singapura dan perjuangan mereka.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >