Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Poly semakin jadi pilihan pelajar

* Lebih faham apa yang ditawar di poly sejajar aspirasi kerjaya * Rekod 52 peratus masuk ke lima politeknik melalui Pendaftaran Kemasukan Bersama (JAE) 2020
Jan 26, 2021 | 05:30 AM



DENGAN pemahaman yang lebih baik tentang pembelajaran dan aspirasi kerjaya mereka serta didorong jumlah lulusan politeknik di universiti tempatan yang semakin meningkat, lebih ramai remaja yang tamat peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat 'O' memilih laluan politeknik.



Kementerian Pendidikan (MOE) berkata di antara 20,300 calon yang lanjut ke institusi pendidikan posmenengah tahun lalu menerusi Pendaftaran Kemasukan Bersama (JAE), 52 peratus masuk ke lima politeknik di sini.



Ini merupakan rekod dalam tahun-tahun kebelakangan ini.



Lagi 38 peratus diberi tempat di maktab rendah (JC) dan Institut Millennia - tidak termasuk mereka yang mengikuti Program Bersepadu (IP) selama enam tahun, di mana pelajar tidak mengambil GCE 'O' dan terus ke tahun pertama JC.



Lagi 10 peratus masuk ke Institut Pendidikan Teknikal (ITE).



MOE berkata sekitar 45 peratus pelajar peringkat 'O' yang masuk ke politeknik tahun lalu layak ke JC, yang memerlukan keputusan lebih baik untuk masuk.



Ini berbanding 40 peratus pada 2014.



Untuk layak bagi tempat di JC, skor L1R5 seorang pelajar - berdasarkan subjek Bahasa Inggeris dan lima subjek relevan - tidak boleh melebihi 20 mata.



Politeknik memerlukan gred Bahasa Inggeris dan empat subjek lain yang tidak melebihi 26 mata.



Bagi kursus yang lebih popular, pemohon yang berjaya perlu mempunyai skor di bawah 12 mata.



Muhammad Irfan Mustafa, 16 tahun, yang bakal menuntut jurusan Elektronik di Politeknik Temasek berkata bahawa dengan keputusan GCE 'O', dia layak untuk ke maktab rendah, namun memilih ke politeknik kerana sudah tahu apa kerjaya yang dia mahukan.



"Saya rasa politeknik boleh membantu saya meraih kemahiran relevan dan pendedahan industri. Saya rasa asas saya dapat diperkukuh. Lagipun, saya akan dapat mengurangkan modul yang saya perlu ambil sekiranya saya mengambil ijazah dalam sesuatu berkaitan dengan diploma saya," ujarnya ketika dihubungi Berita Harian (BH).



Pengetua Politeknik Temasek Peter Lam yang ditukil akhbar The Straits Times berkata dalam tahun-tahun kebelakangan ini, politeknik itu melihat semakin ramai ramai pelajar yang layak ke JC yang memilih program diplomanya.



"Saya melihat ini sebagai hasil program bimbingan kerjaya dan pendidikan MOE, yang telah berjaya memberikan pelajar maklumat menyeluruh mengenai pilihan pendidikan dan kerjaya mereka," katanya.



Sekolah telah mempertingkat kaunseling kerjaya dan pendidikan supaya mereka yang ingin memburu pendidikan lanjut boleh membuat keputusan berdasarkan maklumat yang diberi.



"Terdapat lebih kesedaran tentang pendidikan politeknik dan laluan yang banyak melebihi diploma selain pekerjaan, seperti pengajian lebih lanjut di universiti dan program bekerja sambil belajar," tambahnya.



Apabila pemerintah mengumumkan peluasan tempat universiti pada 2012, hanya 20 peratus lulusan politeknik dapat ke universiti tempatan. Menjelang 2019, 30 peratus lulusan politeknik berjaya ke salah satu daripada enam universiti tempatan.



Kebanyakan tempat universiti baru yang diwujudkan, termasuk di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dan Institut Teknologi Singapura (SIT), diisi oleh pemegang diploma politeknik.



Mahasiswi tahun pertama mengambil Sarjana Muda dalam Sosiologi di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Cik Nurul Liyana Wahid, 21 tahun, menepis tanggapan orang ramai bahawa ia sukar bagi pelajar laluan politeknik melanjutkan pengajian ke universiti.



"Ia mungkin berbeza bagi setiap individu tetapi saya fikir selagi pelajar politeknik bekerja keras, ia lebih mudah untuk mendapat tempat di universiti pada masa kini," kata lulusan Diploma dalam Pengurusan Komunikasi dan Media di Politeknik Temasek.



Cik Liyana menambah sekitaran pembelajaran di politeknik menjadikan ia mudah bagi lulusan politeknik menyesuaikan diri apabila melangkah ke universiti.



Kededua institusi pengajian memberi penekanan terhadap pembelajaran bebas dalam kurikulum dan menggunakan wadah dalam talian serta menguat kuasa peraturan plagarisme dan ketidakhadiran yang sama, jelasnya.



"Justeru, ia membantu saya mempersiapkan diri secara mental mengenai apa yang patut saya jangkakan dan bagaimana untuk lalui pembelajaran di universiti," katanya lagi.



Bagaimanapun, ramai pelajar lain yang tetap yakin dengan keputusan mereka ke maktab rendah.



Nur Yusrina Yusni, 16 tahun, berkata keputusan itu dibuat sebelum dia menerima keputusan peperiksaan GCE 'O' memandangkan dia lebih suka mempelajari teori daripada melakukan kerja amali.



Dia pernah mempertimbangkan laluan politeknik dan pelbagai kursus sewaktu di sekolah menengah.



Namun, cita-citanya berubah daripada perakaunan dan kewangan kepada undang-undang dan pengurusan dan kini kejuruteraan aeroangkasa.



"Saya bimbang sekiranya minat saya akan tukar lagi dalam masa terdekat ini dan saya tidak lagi minat terhadap kejuruteraan aeroangkasa apabila dimasukkan ke kursus itu. Justeru, saya rasa JC adalah laluan terbaik buat saya," tambahnya yang bakal melanjutkan pelajaran ke maktab rendah Anderson Serangoon.




APA KATA...



"Saya rasa politeknik boleh membantu saya meraih kemahiran relevan dan pendedahan industri. Saya rasa asas saya dapat diperkukuh. Lagipun, saya akan dapat mengurangkan modul yang saya perlu ambil sekiranya saya mengambil ijazah dalam sesuatu berkaitan dengan diploma saya."
- Muhammad Irfan Mustafa, 16 tahun, yang bakal menuntut jurusan Elektronik di Politeknik Temasek.



"Ia mungkin berbeza untuk setiap individu tetapi saya fikir selagi pelajar politeknik bekerja keras, ia lebih mudah untuk mendapat tempat di universiti pada masa kini."
- Cik Nurul Liyana Wahid, Mahasiswi tahun pertama mengambil Sarjana Muda dalam Sosiologi di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), menepis tanggapan bahawa ia sukar bagi pelajar laluan politeknik melanjutkan pengajian ke universiti.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >