Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Prihatin agih $10,000 lega beban 11 penggiat seni S'pura

Sep 30, 2022 | 06:47 AM



USAHA Prihatin (Penggiat Seni Melayu Singapura) membantu artis dan penggiat seni tempatan yang kurang bernasib baik diteruskan dengan agihan sumbangan $10,000 kepada 11 penerima, baru-baru ini.



Menurut presiden Prihatin, pelakon veteran Jasmi Md Nor, yang lebih dikenali sebagai 'Joe Jasmi', setiap penerima menerima antara $500 hingga $1,000.



"Kami menerima maklum balas daripada rakan-rakan seni tentang mereka yang sakit dan memerlukan bantuan. Ada mengalami penyakit barah, kencing manis, serangan jantung, kerosakan ginjal atau penyakit saraf. Ada pula anak mereka masih kecil mengalami sakit kronik dan perlu membiayai kos rawatan sangat besar.



"Jadi kami mengumpulkan nama-nama mereka dan mengagihkan sumbangan ini," ujarnya semasa dihubungi minggu lalu.



Timbalan presiden Prihatin, Moliano Rasmadi, yang lebih mesra dengan panggilan Pa'Mol, menyerahkan derma itu kepada penerima - pelakon Raffi Khan, Halimah Ismail, Norsiah Kardi dan Mahfudz Majid; penyanyi Jun Abdullah dan Yusman Umar; pemuzik Olly Maguire, pemain bes kumpulan Rusty Blade Man Karen dan ahli kumpulan The Sallys M. Izwan Khuzair; dan bekas ahli dikir barat Mohamad Tahar Jumaat.



"Kalau diikutkan, bantuan yang diberi memang tidak mencukupi kerana mereka berdepan kos rawatan yang besar. Tetapi dengan jumlah sumbangan yang ada, Prihatin cuba menghulurkan bantuan sewajarnya. Bagi Prihatin, sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan beban kewangan yang ditanggung mereka dan memberi keceriaan kepada rakan-rakan yang dahulu aktif di persada seni menghiburkan masyarakat.



"Ada antara mereka pencari nafkah tunggal dan ada pula bergantung pada bantuan pemerintah," kata Pa'Mol, pemuzik mapan kumpulan Lovehunters.



"Bila ditemui, kesemua mereka berbesar hati dengan sumbangan wang yang dihulurkan dan menghargai sokongan dan sumbangan masyarakat yang peduli akan keadaan hidup mereka yang sangat mencabar," tambah Pa'Mol lagi.



Beliau juga mendedahkan, Prihatin menziarahi mantan penyiar Riz Sunawan, 43 tahun, di rumahnya awal bulan ini bagi menghiburkan beliau menerusi terapi muzik.



"Saya bersama penyanyi Asiyah Sinnan dan suaminya dan anak mereka membuat persembahan sejam bagi menghiburkan Riz dengan lagu-lagu malar segar. Kami lakukan ini kerana memahami cabaran yang beliau hadapi dan cuba menghiburkannya," ujarnya.



Sejak penubuhannya pada September 2021, Prihatin telah menganjurkan pelbagai kegiatan amal bagi menghulurkan bantuan kewangan kepada lebih 50 artis dan penggiat seni Melayu Singapura yang kurang berkemampuan dan berpenyakit kronik.



"Projek kami yang terakhir adalah pelaksanaan ibadah korban dan aqiqah di Lombok, Indonesia, pada Julai lalu. Selain bertujuan membantu golongan artis kita yang memerlukan bantuan di sini, ia juga membantu masyarakat memerlukan di Lombok menambah rezeki.



"Alhamdulillah, projek korban sulung kami yang dipimpin dua anggota Prihatin, Ustaz Shariff Mohd Shahar dan Nurijah Sahat, mendapat sokongan baik daripada orang ramai dengan tempahan lebih 30 kambing dan tiga lembu," kata Joe Jasmi, yang memimpin delegasi Prihatin ke pulau terletak di Nusa Tenggara Barat berdekatan pulau Bali itu.



Mengongsi perkembangan terbaru Prihatin pula, Pa'Mol berkata mereka bercadang mengadakan persembahan muzik secara santai semasa acara jualan serbaneka 'Bou@Filloz Flea Mart' pada 20, 21 dan 22 Oktober ini di Wisma Geylang Serai (WGS).



"Kami bersyukur kerana diberi peluang memeriahkan acara jualan lambak ini yang akan mengetengahkan sekitar 50 peniaga kecil-kecilan yang selalunya menjaja dari rumah.



"Menerusi acara ini, saya dan beberapa rakan artis akan membuat persembahan secara santai dan pada masa yang sama berharap orang ramai menghulurkan derma sebagai menyokong usaha Prihatin membantu artis dan penggiat seni yang sakit, uzur dan kurang berkemampuan. InsyaAllah kami juga akan menyiarkan sebahagian acara ini menerusi FB Live," ujarnya yang mendedahkan pelakon Khairudin Samsudin, juga ahli Prihatin, antara pendukung utama acara jualan lambak itu.




Kalau diikutkan, bantuan yang diberi memang tidak mencukupi kerana mereka berdepan kos rawatan yang besar. Tetapi dengan jumlah sumbangan yang ada, Prihatin cuba menghulurkan bantuan sewajarnya. Bagi Prihatin, sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan beban kewangan yang ditanggung mereka dan memberi keceriaan kepada rakan-rakan yang dahulu aktif di persada seni menghiburkan masyarakat. Ada antara mereka pencari nafkah tunggal dan ada pula bergantung pada bantuan pemerintah.
- Timbalan presiden Prihatin, Moliano Rasmadi, yang lebih mesra dengan panggilan Pa'Mol.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >