Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rai kejayaan dalam erti kata lebih luas

Jul 14, 2024 | 5:30 AM
Cef Akmal Anuar membuka beberapa restoran di Dubai dan Singapura. Beliau mengukir nama sebagai cef yang disegani di timur tengah dan meraih Bintang Michelin, yang dianggap paling terbilang dalam arena kulinari, bagi restorannya 11 Wood-fire.
Cef Akmal Anuar membuka beberapa restoran di Dubai dan Singapura. Beliau mengukir nama sebagai cef yang disegani di timur tengah dan meraih Bintang Michelin, yang dianggap paling terbilang dalam arena kulinari, bagi restorannya 11 Wood-fire. - Foto fail

Semasa zaman sekolah rendah puluhan tahun lalu, apabila ditanya guru tentang cita-cita – ramai rakan sedarjah ketika itu menjawab: mahu jadi polis, jadi askar, jadi bomba, jadi kerani, jadi guru, jadi jururawat dan tinggi sikit nak jadi doktor.

Ia adalah pekerjaan yang lazim diketahui.

Pada zaman itu, apatah lagi ketika sekolah rendah, murid-murid tidak tahu ada kerja yang namanya arkitek, teknisyen, jurutera, juruwang, akauntan, lantas tidak terfikir bercita-cita menyandang jawatan serupa itu.

Langsung tidak terbayang kerja dalam bidang teknologi dan komputer kerana zaman itu memang tidak ada komputer pun!

Dan tidak ada murid yang menyatakan cita-cita untuk menjadi tukang masak, kerana gambarannya ialah kerja memasak seperti kaum ibu memasak di rumah – tidak glamor, lantas tidak menjadi satu cita-cita.

Dan cita-cita itu, apabila dicapai, dianggap satu kejayaan.

Masa beredar. Meluncur 50 tahun ke depan, keadaan sudah sangat berubah.

Pilihan kerja jauh lebih rencam dan dalam pelbagai bidang – pendidikan, kejuruteraan, kewangan, perakaunan dan perbankan, kesihatan, perubatan, farmaseutikal, aeroangkasa, bioteknologi, pentadbiran, pelayanan, perhubungan, komputer, maklumat dan teknologi, dan 1,001 macam pekerjaan.

Pekerjaan seperti kerani tidak lagi menjadi kerja yang dicita-citakan.

Dan ada juga kerja yang dahulu kurang dipandang, kini berubah menjadi kerjaya yang bermakna, termasuk menjadi cita-cita – seperti tukang masak, atau kini lebih glamor disebut sebagai cef – kerana boleh boleh bawa kejayaan, boleh hasilkan pendapatan lumayan.

Contohnya, terdapat dua cef asal Singapura yang mengukir nama mereka dalam bidang makanan dan minuman (F&B) di Dubai – Cef Reif Othman, 46 tahun, pemilik restoran Reif Japanese Kushiyaki; dan Cef Akmal Anuar, 40 tahun, pemilik restoran 11 Woodfire, Cef Akmal Anuar, 40 tahun.

Cef Akmal misalnya telah menetap di Dubai selama lebih 11 tahun, membuka beberapa restoran dan mengukir nama sebagai cef yang disegani di timur tengah; dan meraih Bintang Michelin, yang dianggap paling terbilang dalam arena kulinari, bagi restorannya 11 Wood-fire.

Perubahan dan kerencaman pekerjaan dan kerjaya itu adalah sejajar dengan keadaan hidup sudah jauh berubah, bersama berkembangnya tahap pendidikan, pembangunan, ekonomi, kerjaya dan pelbagai implikasi sosial termasuk perubahan pada cita rasa, gaya dan mutu hidup.

Ia sekali gus merubah dan meluaskan takrif kejayaan dalam kehidupan.

Ini menepati soal kejayaan dibincangkan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, baru-baru ini.

Dalam satu video yang dimuat naik dan disiarkan di YouTube pada 22 Jun, beliau menggesa supaya takrif kejayaan diperluas, melebihi kelayakan akademik.

Tidak lama dahulu, kejayaan pernah dikaitkan dengan kemampuan mencapai lima ‘C’ iaitu cash (wang tunai), car (kereta), credit card (kad kredit), condominium (kondo) dan country club (keanggotaan kelab).

Ukuran kejayaan serupa itu bersifat kebendaan dan amat berkait dengan pencapaian akademik. Ia antara lain telah menimbulkan tekanan.

Encik Wong akur bahawa takrif kejayaan serupa itu adalah sempit dan boleh membawa kepada akibat negatif dan menjadikan masyarakat menjadi lebih mementingkan diri sendiri dan persaingan lebih toksik.

“Kita menjadi lebih cemas dan tertekan dan lebih buruk lagi, kita mewariskan sikap ini kepada anak-anak kita,” kata beliau dalam video berkenaan.

Lantaran itu, takrif kejayaan wajar diluaskan, dan tidak terbatas pada kebendaan sahaja.

Bangkit daripada kegagalan adalah kejayaan.

Meraih kemahiran baru yang memberi ruang dan peluang terus ‘laku’ dalam pasaran pekerjaan, apatah lagi jika dapat menyandang jawatan dan pendapatan lebih tinggi, adalah kejayaan.

Melepaskan diri daripada masalah yang sekian lama membelenggu, seperti penagih dadah yang benar-benar berubah dan kembali ke pangkal jalan, adalah kejayaan.

Kejayaan ibu tunggal membesarkan anak sehingga berjaya adalah kejayaan.

Keupayaan ibu bapa membina keluarga sakinah dan mawaddah, melahirkan anak berakhlak, adalah kejayaan.

Keupayaan menghafaz seluruh Al-Quran adalah kejayaan.

Ringkasnya, keupayaan mengubah daripada keadaan buruk kepada baik, mengekalkan keadaan baik, apatah lagi menjadikan keadaan baik kepada lebih baik. Semua itu adalah kejayaan.

Sejajar dengan ini, pemerintah telah melahirkan kesediaan melakukan lebih banyak lagi untuk menyokong rakyat Singapura mencapai kejayaan dalam kehidupan.

Itulah antara sebab pemerintah melabur dalam SkillsFuture... mendorong rakyat, walaupun semakin beranjak usia, mendapatkan suntikan kemahiran baru.

Seperti kata Encik Wong, “takrif kejayaan adalah tentang kecemerlangan dalam apa jua yang kita lakukan, bertahan dengannya dan melakukannya dengan bangga dan bukannya bimbang tentang status atau ganjaran. Kita semua mempunyai aspirasi dan harapan kita sendiri”.

Pendeknya, apabila aspirasi dan harapan dapat dicapai, ia adalah satu kejayaan.

Dan setiap kejayaan wajar dihargai dan dirai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg