KEMERIAHAN sudah pun terasa sehari sebelum majlis persandingannya berlangsung.
Meskipun sibuk berinai dan membuat persiapan pada malam itu, kekecohan 'bawah kolong'- dengan teriakan kanak-kanak dan juga saudara-mara yang sudah mula berkaraoke - kedengaran melalui tingkap rumah Cik Siti Sharmila Mohamed Salleh di Sumang Lane.
Memandangkan dekor dan kerusi meja sudah tersedia di dewan serbaguna di hadapan flatnya, anggota keluarganya sibuk di bawah membuat persiapan sambil menghiburkan diri dan bersembang-sembang.
Suasana kecoh itu meyakinkan Cik Sharmila bahawa pilihannya - mengadakan majlis persandingan 'kolong blok'- terbaik untuk beliau, suami dan seisi keluarga.
"Suasana seperti inilah yang kami inginkan, dan akan terus terpahat dalam memori.
"Kami menghargai peluang untuk adakan majlis seperti ini, kerana sedar semasa tempoh pandemik nak adakan majlis persandingan bawah blok ini memang tak ada 'chance' lah," kata Cik Sharmila, sambil menambah kesemua lima orang anaknya juga gembira menikmati kemeriahan suasana majlis tersebut.
Ini merupakan perkahwinan kedua bagi Cik Sharmila, 36 tahun, dan suami, Encik Muhammad Yuswira Hussain, 37 tahun.
Majlis pasangan tersebut berlangsung pada 1 Disember lalu dan mereka sekadar menjemput keluarga dan kenalan terdekat - hampir 100 orang secara keseluruhan - bagi menyambut hari bahagia mereka dalam suasana intim.
Meskipun biasanya pasangan akan memilih untuk mengadakan majlis walimah mereka di dewan hotel atau dewan acara - terutama sekali dengan jumlah tetamu yang kecil - Cik Sharmila berkata beliau rasa agak terkongkong dengan peraturan yang ditetapkan di tempat-tempat tersebut.
"Saya rasa saya ini masih suka yang 'old school', saya suka dengan cara yang lama.
"Lagipun, tetamu saya tak dapat nak lepak-lepak, berkaraoke, bersembang mengikut masa dan cita rasa mereka jika majlis kami diadakan di dewan hotel, kalau di bawah blok ini ada kebebasan," katanya,
Secara keseluruhannya, Cik Sharmila dan Encik Yuswira telah membelanjakan sekitar $5,000 bagi majlisnya itu, termasuk makanan, pakaian, dekor, dan lokasi.
Lokasi dewan serbaguna berdekatan rumah juga menjadi pilihan pasangan Cik Shehnaz Begum Mohamed Aiyoob dan Encik Ahmad Aalif Nixon Arun yang mengalu-alukan 'semangat kampung' yang dilihat semasa majlisnya itu.
Mereka telah menjemput seramai 300 tetamu bagi majlis makan malam tersebut yang diadakan dari 7 malam hingga 10.30 malam.
"Ini merupakan kali pertama semua tetamu kami menghadiri majlis walimah di bawah blok sejak pandemik dan semua tetamu yang kami jemput hadir.
"Mereka semua teruja dan ada yang meminta untuk membawa anggota keluarga atau teman mereka, sebab mereka rindu dengan suasana majlis seperti ini.
"Suasana cukup meriah, dan ada juga di kalangan tetamu kami yang sudah lebih dua tahun tak berjumpa jadi ia seolah 'reunion' untuk mereka," ujarnya.
Majlis walimah di dewan serbaguna seperti itu juga memberikan ruang untuk tetamu bergerak di keliling kawasan tersebut, tidak hanya terhad pada meja mereka, tambah Cik Shehnaz.
Katanya, tetamu juga tidak tergesa-gesa untuk meninggalkan majlis kerana mereka masih boleh berehat dan bersembang di kawasan itu.
Cik Shehnaz menambah: "Saya rasa lebih ramai yang akan memilih mengadakan walimah mereka di kolong blok atau dewan serbaguna kerana selain ruang untuk majlis, kawasan itu juga biasanya tersedia taman permainan untuk kanak-kanak yang hadir dan ruang meletak kereta juga banyak dan mudah."


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg