Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:32
Maghrib
7:16
Isyak
8:28

Kesan Covid-19 jejas khidmat badal haji

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Rencana
33
0

HAJI SINGAPURA 2022

Kesan Covid-19 jejas khidmat badal haji

Ejen khidmat haji: Suasana tidak menentu dan bayaran tinggi jadikannya sukar ditawarkan tahun ini
Feb 08, 2022 | 05:30 AM

KETIDAKTENTUAN keadaan disebabkan pandemik Covid-19 yang menjejas seantero dunia dan kenaikan kos yang mencanak tinggi sejak dua tahun lalu menyaksikan beberapa agensi utama pengurusan ibadah umrah dan haji di sini menggantung sementara khidmat badal haji.

Hasil pemeriksaan Berita Harian menunjukkan, langkah kerajaan Arab Saudi menggantung ibadah haji bagi jemaah antarabangsa sejak dua tahun lalu - 2020 dan 2021 - turut mengakibatkan ejen penyedia pakej umrah dan haji (GSA) di sini berdepan soal tempahan khidmat badal haji yang tidak tertunai.

Ini ditambah pula dengan syarat ketat yang dilaksanakan kerajaan Saudi ke atas penduduknya yang menunaikan rukun Islam kelima sepanjang tempoh itu.

Pemilik Kumpulan Shahidah Travel & Tours Pte Ltd, Encik Ayoob Angullia, mengesahkan pihaknya "menutup pendaftaran badal haji sehingga diberitahu kelak".

"Kami tidak pasti tentang kebenaran bagi pelaksanaan haji tahun ini. Apatah lagi kami masih ada tempahan khidmat badal haji tahun lalu yang belum dapat dilaksanakan," ujarnya.

Hal serupa turut dinyatakan pihak Jalaluddin Travel & Services Pte Ltd dan BadalHaji.sg semasa dihubungi akhbar ini.

"Kami menjangkakan kerajaan Saudi akan maklumkan mengenai Haji 2022 pada Mac ini," kata pihak BadalHaji.sg

"Jadi, disebabkan hal ini, kami memutuskan untuk menggantung khidmat badal haji sehingga kedudukan lebih jelas dan kami sendiri berkeupayaan memenuhi permintaan," ujar Encik Ayoob lagi.

Kiraan kasar mendapati sekitar 700 hingga 1,000 tempahan badal haji dijalankan atas permintaan masyarakat Singapura setiap musim.

Dalam temu bualnya dengan Berita Harian, Encik Ayoob tidak menafikan kos ibadah haji yang tinggi yang dikenakan Kerajaan Saudi ke atas jemaah negara itu sendiri merupakan salah satu faktor keputusannya.

Laporan insidesaudi.com menunjukkan, harga bagi pelaksanaan ibadah haji untuk penduduk Saudi meningkat lebih seganda daripada kira-kira $1,000 hingga $2,800 pada 2005, kepada sekitar sekitar $2,000 hingga $5,500 pada 2020.

Tahun lalu kerajaan Saudi bukan sahaja menghendaki 60,000 jemaah tempatan mendaftar bagi mendapatkan permit sebelum menunaikan haji, malah diperlukan membeli salah satu daripada tiga pakej haji yang ditawarkan - setiap satu bernilai SR12,113 ($4,340), SR14,381 ($5,150) dan SR16,560 ($5,935).

Keadaan ini menambahkan kesukaran bagi GSA di sini menawarkan khidmat badal haji dengan harga rendah seperti tahun-tahun prapendamik koronavirus.

Disebabkan itu, syarikat TM Fouzy Travel & Tours Pte Ltd memutuskan untuk menyatakan secara terus terang kepada orang ramai akan duduk perkara menerusi laman rasminya.

"Untuk maklumat anda: Hanya orang yang berada di dalam negeri Saudi sahaja yang boleh melakukan badal Haji. Jumlah jemaah terhad kepada 60 ribu orang sahaja.

"Pendaftaran mesti dilakukan dengan Kementerian Haji. Harga yang kami akan ambil daripada jemaah melebihi $2,000. Anggaran harga sekarang ialah $7,500.

"Atas sebab-sebab di atas kami akan memulangkan bayaran upah Badal Haji," menurut kenyataannya.

Pengurus Besar Halijah Travels Pte Ltd, Encik Haffidz Abdul Hamid, semasa dihubungi, berkata jumlah badal haji yang boleh dilakukan pihaknya bergantung kepada dua faktor.

Pertama, jumlah pegawai haji yang boleh diterbangkan untuk melakukan haji. Ia bergantung kepada jumlah jemaah yang dibenarkan menunaikan haji dari Singapura pada tahun ini.

Kedua, penduduk tempatan di Saudi yang boleh melakukannya tetapi bergantung kepada kejayaan dipilih selepas membuat pendaftaran untuk menunaikan haji.

"Seperti yang berlaku sejak dua tahun lepas, sejumlah kecil sahaja antara 10,000 pada 2020 dan 60,000 jemaah pada 2021 yang dipilih untuk menunaikan haji dari lebih setengah juta pemohon yang diterima setiap tahun.

"Lebih daripada itu, keutamaan diberikan kepada pemohon kali pertama yang mahu menunaikan haji.

"Jadi disebabkan faktor-faktor ini dan keadaan yang tidak menentu dengan status jemaah haji antarabangsa, masyarakat perlu faham bahawa pelaksanaan badal haji adalah sangat terbatas," ujarnya.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3