Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

UNDANG-UNDANG DAN ANDA

Tak mampu peguam? Ada tersedia skim bantuan guaman

Apr 24, 2022 | 05:30 AM



Parlimen baru-baru ini mengumumkan penubuhan Pejabat Peguam Bela Awam (PDO) yang baru yang akan menyediakan bantuan guaman untuk tertuduh yang menghadapi pertuduhan yang tidak membawa kepada hukuman gantung/mati untuk prosiding jenayah. Buat masa ini, terdapat beberapa skim bantuan guaman berbeza yang tersedia untuk orang ramai yang tidak mampu membayar yuran guaman.




BIRO BANTUAN GUAMAN



Di bawah Biro Bantuan Guaman (LAB), pemohon yang lulus ujian aset dan ujian kemampuan atau 'means test' layak untuk mendapat bantuan guaman.



Bagaimanapun, kes mereka perlu dinilai oleh peguam cara berdasarkan merit mereka.



Sekiranya tiada merit untuk kes tersebut, atau jika tertuduh tidak bersikap munasabah dan tidak bekerjasama, bantuan akan ditolak.



LAB menyediakan perkhidmatan kepada pemohon yang menghadapi kes sivil seperti perceraian, penjagaan, probet, kes kemalangan dan sebagainya.



Bagi prosiding jenayah, kelayakan untuk mendapatkan bantuan terbahagi kepada dua kategori, sama ada tertuduh menghadapi pertuduhan berat atau pertuduhan yang tidak membawa kepada hukuman gantung/mati.



Rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) yang mengalami kesulitan kewangan boleh memohon bagi pelbagai khidmat yang disediakan oleh LAB termasuk perwakilan di mahkamah, nasihat lisan mengenai perkara sivil dan membuat draf wasiat serta dokumen pemisahan.



SKIM BANTUAN GUAMAN BAGI JENAYAH BERAT



Bagi pertuduhan berat, di bawah Skim Bantuan Guaman bagi Jenayah Berat (Lasco), dua peguam pembelaan secara automatik ditugaskan oleh Pendaftar Mahkamah Tinggi kepada tertuduh.



Tiada ujian merit atau ujian kemampuan yang diperlukan untuk layak.



Bagi pertuduhan yang tidak membawa kepada hukuman gantung/mati, buat masa ini skim itu hanya terbuka kepada isi rumah setempat dengan pendapatan 25 peratus paling rendah.



Ini bersamaan dengan pendapatan isi rumah per kapita bulanan sehingga $950 di bawah Skim Bantuan Guaman Jenayah (Clas).



Ia akan naik kepada 35 persentil isi rumah dengan had pendapatan per kapita isi rumah dinaikkan daripada $950 kepada $1,500.



Hampir kesemua kesalahan layak untuk menerima bantuan guaman kecuali kesalahan seperti saman trafik



Sama seperti kes sivil di bawah LAB, ujian kelayakan dan merit diperlukan untuk pemohon layak mendapat bantuan guaman. Skim ini terbuka kepada semua warganegara.



Sejak 1985, bantuan guaman jenayah telah disediakan melalui Clas yang dimulakan oleh Persatuan Undang-Undang dan peguam kanan.



Skim itu, yang kini ditadbir oleh Perkhidmatan Pro Bono Persatuan Undang-Undang, dibiayai secara privet melalui sumbangan pertubuhan dan derma.



Pada 2015, pemerintah mula membiayai bersama Clas, membayar 75 peratus daripada kos operasinya, dengan baki 25 peratus dibiayai melalui derma swasta dan Persatuan Undang-Undang.



Clas memberikan bantuan guaman jenayah kepada golongan miskin dan golongan yang memerlukan tetapi tidak mampu untuk membayar seorang peguam.



Kementerian Undang-Undang kemudian mula mempertimbangkan sokongan lanjutan untuk bantuan guaman jenayah.



PEJABAT PEGUAM BELA AWAM



Pejabat Peguam Bela Awam (PDO) baru ini bertujuan untuk merapatkan jurang dan menyediakan akses yang lebih besar untuk mereka yang tertuduh berpendapatan sederhana yang mungkin tidak lulus ujian kemampuan di bawah Clas dan juga tidak mampu membayar peguam swasta untuk mewakili mereka.



PDO juga bertujuan untuk memberi manfaat kepada rakyat Singapura dan PR kerana ia akan diletakkan di bawah perbelanjaan Kementerian Undang-Undang.



Pemohon layak mendapat bantuan di bawah PDO jika mereka adalah daripada 35 peratus paling rendah pendapatan, bersamaan dengan pendapatan isi rumah per kapita bulanan sehingga $1,500.



Sekali lagi, ujian kemampuan dan merit diperlukan untuk pemohon melayakkan diri untuk skim tersebut.



PDO meliputi semua jenis kesalahan kecuali kesalahan kawal selia seperti saman trafik dan caj jabatan seperti kesalahan membuang sampah di bawah Akta Kesihatan Awam Alam Sekitar dan kesalahan tempat letak kereta di bawah Peraturan Tempat Letak Kereta di bawah Akta Tempat Letak Kereta.



Ia juga tidak termasuk beberapa kesalahan seperti perjudian, jenayah terancang dan keganasan.



Dengan penubuhan PDO, pemerintah berhasrat untuk menyediakan akses keadilan yang lebih besar untuk semua.



Ini bermakna bahawa setiap orang berhak mendapat peluang untuk mempertahankan diri mereka dan membenarkan sisi cerita mereka didengar.



Dalam setiap pendakwaan jenayah, tertuduh mungkin berasa tertekan dan takut semasa prosiding Mahkamah berhadapan dengan Pendakwa Raya.



Orang awam mungkin tidak memahami prosiding jenayah, ditambah dengan pertuduhan dan hukuman yang dihadapinya. Mereka mungkin menghadapi tekanan dan ketidakpastian yang melampau.



Oleh kerana mereka tidak mampu membayar yuran guaman, mereka terpaksa menjadi seorang litigan.



Semoga dengan PDO yang baru, lebih ramai orang yang menghadapi pertuduhan jenayah akan diberi peluang yang lebih baik untuk membela diri dan akan dibimbing melalui prosiding dan proses mahkamah.



Terdapat kebimbangan bahawa akan wujud konflik kepentingan antara PDO dengan Pejabat Peguam Negara (AGC) yang bertanggungjawab ke atas Pendakwa Raya kerana kedua-dua badan adalah sebahagian daripada cabang eksekutif pemerintah.



Bagaimanapun, ini boleh ditangani kerana PDO akan ditadbir oleh Kementerian Undang-Undang.



Secara keseluruhannya, PDO adalah tambahan dan inisiatif yang dialu-alukan oleh pemerintah.



Semoga dalam masa terdekat ini, orang ramai dapat melihat hasil usaha penubuhan pejabat ini.




  • Penulis seorang peguam dan pemilik firma guaman A. Rohim Noor Lila LLP. Antara bidang undang-undang yang beliau amalkan adalah unsur Pemindahan Hak, Undang-Undang Komersial dan Litigasi, Undang-Undang Korporat, Wasiat, Probet dan Pentadbiran Estet, Undang-Undang Keluarga, Adopsi dan Syariah, Surat Kuasa Wakil bagi flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan lain-lain.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >