Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Rumah seperti toko, jadi tempat kumpul barang terpakai

Sukarelawan suami isteri bantu agih bantuan kepada golongan pembantu rumah dan keluarga mereka
Dec 25, 2022 | 05:30 AM



SETIAP hujung minggu, flat eksekutif milik Cik Lili Suriani Selamat dan Encik Isro Asmon, sepasang suami isteri yang mempunyai seorang anak di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), akan menjadi bilik stor sementara bagi barang-barang terpakai.



Barang-barang terpakai tersebut, antaranya terdiri daripada pelbagai jenis pakaian, kasut, beg, atau perkakas rumah, akan dikumpulkan di rumah pasangan itu untuk diagihkan kepada para pembantu rumah di Singapura. Para pembantu rumah lalu akan menghantar barang-barang tersebut ke kampung halaman mereka di Indonesia.



Selain barang terpakai, ada juga anggota masyarakat yang menyumbang wang atau barang-barang baru untuk diagihkan kepada golongan tersebut, menurut Cik Lili.



"Ada satu kali itu, kami menerima sekitar 30 kotak barangan terpakai, dan memang tak mudah kerana kami juga perlu menyemak dan membahagi-bahagikan barang-barang yang diterima itu mengikut kategori seperti pakaian, perkakas rumah dan sebagainya.



"Ada juga barang-barang yang mungkin tak sesuai nak diberikan," kata Cik Lili, 54 tahun.



Idea bagi inisiatif itu tercetus dua tahun lalu setelah beliau mendengar tentang kisah pembantu rumah yang ke Singapura untuk bekerja, dan keluarga mereka yang ditinggalkan hidup dalam kedaifan di kampung.



Meskipun tidak mempunyai pembantu rumah, cerita-cerita itu didengarnya melalui interaksi dengan pembantu rumah yang berkhidmat untuk anggota keluarganya yang lain ketika berkunjung ke rumah saudara-mara.



Dari situ, timbul keinginan untuk membantu dan Cik Lili telah mewarwarkan usaha beliau itu di Facebook dan juga dalam kalangan teman-temannya yang ingin membantu.



Cik Lili kini mengendalikan satu kumpulan sembang yang dianggotai oleh lebih 100 pembantu rumah berasal dari Indonesia. Mereka akan dimaklumkan setiap kali Cik Lili menerima sumbangan dari masyarakat yang perlu diagih-agihkan.



Rangkaian pembantu rumah ini juga menjadi 'mata dan telinga' Cik Lili untuk mendekati pembantu rumah lain yang memerlukan atau menjadi sumber maklumat mengenai kampung-kampung di Indonesia yang boleh dibantu.



Buat masa ini, barang-barang yang disumbang itu telah dihantarkan ke empat kawasan di Indonesia termasuk Ngawi di Jawa Timur dan Banyumas di Jawa Tengah.



"Biasanya bila ada barang-barang yang sampai, saya akan hubungi mereka (pembantu rumah) supaya mereka boleh datang dan pilih apa yang mereka inginkan untuk diri mereka dan juga yang ingin dihantar pulang ke kampung.



"Kami juga akan aturkan khidmat penghantaran untuk hantar barang-barang mereka ke kampung," katanya, sambil menambah kos khidmat penghantaran tersebut ada kalanya dibiayai beliau atau pembantu rumah itu sendiri.



Ada juga sesetengah majikan pembantu rumah terlibat yang bersedia membantu dari segi pembiayaan kos penghantaran, tambah Cik Lili.



Selain menyampaikan sumbangan masyarakat kepada golongan pembantu rumah dan keluarga mereka di kampung, Cik Lili turut menganjurkan program agama serta sesi perkongsian bagi golongan tersebut.



"Kami harap ini dapat membantu mereka mendapat sokongan emosi dan mental supaya mereka dapat sesuaikan diri bekerja di sini. Sesi sebegini juga dapat menyedari mereka bahawa ada orang lain yang boleh menjadi teman mendengar keluhan hati mereka dan cuba memahaminya. Malah ada juga rakan mereka di dalam sesi ini yang melalui perkara yang sama," katanya.



Cik Lili akui segala yang dilakukan itu tidak mungkin terlaksana tanpa bantuan dan sokongan suaminya Encik Isro, 57 tahun, yang kini sudah bersara.



Malah, Encik Isro "lebih pandai mengemas" berbanding beliau sendiri, kata Cik Lili.



"Barang yang kami terima biasa bertimbun-timbun, sampai pening kepala saya.



"Jadi suami saya yang lebih pandai mengemas dan mengatur barang supaya rumah tak nampak berselerak meskipun barang banyak," kata Cik Lili.



Di samping melaksanakan inisiatif tersebut, Cik Lili juga mengendalikan kelas tuisyen secara sepenuh masa untuk pelajar dari peringkat pra-sekolah hingga sekolah menengah untuk subjek seperti Inggeris dan matematik sejak 17 tahun lalu.



Khidmat tuisyen tersebut turut disasarkan bagi anak-anak keluarga yang kurang bernasib baik. Golongan ini akan diberikan diskaun atau khidmat secara percuma.



Meskipun tidak mempunyai pengalaman sebagai guru, Cik Lili berkata beliau berminat mengajar dan memastikan beliau terus menimba ilmu yang relevan.



"Saya harap usaha ini dapat membantu anak-anak Melayu kita berasa lebih yakin dan bersedia untuk melakukan semampu mereka untuk mencapai cita-cita," ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >