Topic followed successfully
Go to BHkuSakit abdomen teruk disangka gastrik
Sakit abdomen teruk disangka gastrik
Disalah diagnosis, tapi mujur dapat tahu sakit sebenar
Sakit abdomen teruk disangka gastrik
CIK Siti Haiza Hamir mengalami sakit abdomen setiap hari terutama seminggu sebelum dan sewaktu haid.
"Rasanya seperti gabungan senggugut dan ketidakselesaan gastrik tetapi lebih melemahkan keranan saya tidak boleh berdiri selama lebih daripada 20 minit ke 30 minit.
"Sebagai contoh, jika saya berdiri lebih daripada 30 minit, saya perlu duduk dengan kaki saya terjulur lurus ke depan untuk melegakan kesakitan. Saya tidak boleh tidur kerana saya akan dikejutkan oleh kesakitan tanpa mengira posisi tidur saya. Malah buang air juga boleh menyebabkan sakit yang berterusan sepanjang hari," kongsi Cik Siti Haiza, 42 tahun, yang menghidapi Sindrom Kesesakan Pelvik (PCS) tetapi kini dikenali sebagai Gangguan Vena Pelvis (PeVD)
Cik Siti Haiza, seorang suri rumah dan ibu tiga anak, menambah beliau mengalami gejala PeVD yang melemahkan. Beliau secara amnya cergas dan sihat dan tidak mempunyai sejarah penyakit kronik, jarang berjumpa doktor, dan sangat jarang mengambil ubat untuk sakit dan demam.
Walaupun mengalami sedikit senggugut semasa haid, ia biasanya boleh ditanggung dan tidak memerlukan ubat penahan sakit untuk mengawalnya.
Apabila beliau mula mengalami sakit abdomen yang teruk pada Mac 2020 beliau berjumpa doktor dan diberikan ubat gastrik.
"Apabila ubat gastrik tidak berkesan, saya kembali ke kliniknya di mana saya diberi ubat pedih ulu hati - yang saya tidak fikir akan membantu kerana gejala saya tidak rasa seperti pedih ulu hati yang saya alami semasa mengandung.
"Saya kembali ke doktor yang sama seminggu kemudian kerana ubat tidak berkesan. Kali ini, dia mengarahkan agar ujian darah penuh dilakukan dan merujuk saya kepada klinik radiologi untuk imbasan perut bagi cuba mengenal pasti masalah.
"Oleh sebab keputusan ujian normal, beliau memutuskan gejala saya sebagai disebabkan oleh keletihan dan saya terlalu memikirkan kesakitan," kongsinya.
Beliau berasa sangat kecewa. Beliau mula mengambil ubat penahan sakit untuk kesakitan yang melemahkan, yang tidak pernah beliau lakukan sebelum ini dan kesihatan mentalnya terjejas oleh perasaan bahawa beliau menghadapi keadaan yang mungkin serius.
Akhirnya, pada pemeriksaan tahunan pada Julai 2020, beliau berkongsi kepada pakar sakit puannya tentang gejalanya yang kemudian menghantarnya untuk menjalani beberapa siri ujian.
Ujian tidak menunjukkan sesuatu yang mencurigakan, jadi beliau dihantar untuk imbasan CT (imbasan tomografi berkomputer).
Keputusan imbasan CT mendedahkan urat pelvisnya menonjol dan membesar. Pakar sakit puannya percaya bahawa kesakitan beliau mungkin disebabkan oleh keadaan yang dipanggil PeVD iaitu masalah vaskular, bukan sakit puan, dan kemudian telah dirujuk kepada perunding pakar bedah vaskular dan endovaskular.
Beliau diminta mengisi soal selidik penilaian kendiri yang dipanggil Ujian Skor PCS/PeVD dan menjalani imbasan ultrabunyi dupleks.
Setelah itu, beliau didiagnosis menghidapi PCS atau PeVD.
"Doktor menunjukkan pada imbasan saya urat saya telah mengembang kepada tiga hingga empat kali ganda saiz normal dan ini disebabkan oleh sesuatu yang dipanggil 'Nutcracker Syndrome', yang menyebabkan PCS/PeVD. Ini mengejutkan saya kerana selama ini saya menyangkakan saya mengalami keadaan ginekologi dan saya tidak pernah mendengar tentang PCS/PeVD sebelum ini, jadi ini semua sangat baru bagi saya," ceritanya apabila mendapat tahu penyakit sebenarnya.
Oleh sebab keadaan teruk, beliau disarankan menjalani prosedur embolisasi gegelung dalam urat renal kirinya serta skleroterapi pada Oktober 2020.
"Walaupun prosedur itu telah menyelesaikan sakit abdomen seakan gastrik saya, saya mengalami sisa gejala seperti sakit di sepanjang bahagian bawah abdomen dan groin/ selangkang saya selepas duduk atau berdiri untuk tempoh yang lama.
"Sisa ketidakselesaan ini berterusan selama kira-kira setahun selepas prosedur," ujar Cik Siti Haiza yang kemudian berjumpa ahli fisioterapi untuk membantu menguatkan otot-otot lantai pelvisnya yang dapat menyelesaikan sisa kesakitan itu.
Kini, beliau tidak mempunyai masalah untuk duduk atau berdiri bagi tempoh yang lama.
"Apabila ubat gastrik tidak berkesan, saya kembali ke kliniknya di mana saya diberi ubat pedih ulu hati - yang saya tidak fikir akan membantu kerana gejala saya tidak rasa seperti pedih ulu hati yang saya alami semasa mengandung.
Saya kembali ke doktor yang sama seminggu kemudian kerana ubat tidak berkesan. Kali ini, dia mengarahkan agar ujian darah penuh dilakukan dan merujuk saya kepada klinik radiologi untuk imbasan perut bagi cuba mengenal pasti masalah.
Oleh sebab keputusan ujian normal, beliau memutuskan gejala saya sebagai disebabkan oleh keletihan dan saya terlalu memikirkan kesakitan." - Cik Siti Haiza Hamir.

