Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

PANDANGAN

Segeralah rebut bantuan pendidikan bagi anak anda

Jun 30, 2021 | 05:30 AM



BARU-BARU ini, ibu yang amat saya sayangi meninggalkan kami, tujuh tahun selepas berpulangnya ayah ke rahmatullah. Ibu berusia 93 tahun.



Dalam bersedih dengan pemergian ibu dan ayah, jauh di lubuk hati, saya berasa rendah diri dan bangga menjadi anak mereka.



Ibu bapa saya banyak berkorban untuk membesarkan kami adik-beradik.



Ketika kami berpindah dari sebuah rumah kampung berdindingkan kayu di Coronation Road ke sebuah flat satu bilik yang disewa di Toa Payoh, saya masih ingat akan perasaan saya yang bercampur-aduk ketika itu.



Kami tidak lagi mempunyai ruang besar untuk berlari ke sana ke mari. Flat sewa satu bilik juga digelar rumah 'L' kerana reka bentuk kecilnya ibarat huruf 'L'.



Pada waktu tidur, saya dan adik-beradik lelaki yang lain terpaksa membentang tikar mengkuang di koridor flat kerana rumah sewa satu bilik itu tidak dapat menampung kesemua 11 orang ahli keluarga kami.



Perkara yang amat saya hargai daripada pengalaman itu ialah sikap terbuka ibu bapa saya yang sentiasa bersedia mengikut peredaran yang berlaku di sekeliling mereka.



Mereka akur bahawa dengan berhijrah ke flat HDB, kami akan menikmati keadaan tempat tinggal lebih baik, air bersih, lampu elektrik, dan terdapat banyak kemudahan dan tawaran pekerjaan, termasuk sekolah aliran Inggeris, di estet baru itu.



Ayah saya bekerja keras sebagai seorang konduktor bas sementara ibu pula suri rumah yang mengambil upah menjahit baju buat pendapatan tambahan keluarga.



Akur akan kekurangan sendiri, ayah dengan rendah diri menerima bantuan kawan-kawannya yang memberi baju dan buku-buku terpakai untuk kami. Dengan bantuan ini, ayah tidak perlu berbelanja untuk keperluan-keperluan tersebut.



Ibu sering juga mengingatkan saya tentang lawatan kami ke pejabat kebajikan untuk mendapatkan agihan susu formula semasa saya kecil.



Walaupun kami menerima ihsan masyarakat, ibu bapa saya tetap menunjukkan sikap bekerja keras dan bertekad kuat. Mereka sentiasa menekankan pentingnya pendidikan baik kepada kami untuk kami berjaya dalam hidup.



Apa sahaja yang dilakukan ibu bapa saya didorong usaha dan semangat mereka untuk menjadikan kehidupan kami sekeluarga lebih baik dan inilah yang mempengaruhi saya.



Kini, giliran saya menyumbang kepada orang lain dan saya cuba menawarkan pelbagai khidmat kepada mereka yang memerlukan bantuan untuk mengatasi cabaran atau meningkatkan mutu kehidupan keluarga mereka.



Namun, setelah bertahun-tahun berkhidmat sebagai pekerja sosial dan ahli politik, saya sedar kejayaan sistem dan struktur sokongan sosial bergantung kuat pada sikap keluarga yang ingin dibantu.



Mereka harus bersikap terbuka untuk menerima bantuan dan harus bersedia bekerja rapat dengan agensi-agensi yang memberi sokongan, kadang-kadang mereka terpaksa mengambil langkah sukar atau perlu keluar daripada zon selesa mereka demi mencapai matlamat menikmati kehidupan lebih baik bagi mereka dan anak-anak mereka, ibarat kata pepatah, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.



Kami sedia menghulurkan bantuan dan sokongan kepada keluarga muda yang memerlukan, yang penting ialah pelibatan dan kesediaan ibu bapa muda ini bekerjasama dengan kami.



MENGHUBUNGKAN PELAJAR KURANG BERNASIB BAIK DENGAN SOKONGAN PENJAGAAN SELEPAS SEKOLAH



Pada 2018, Kementerian Pendidikan (MOE) memulakan program UPLIFT, sebuah pasukan bertindak silang agensi yang menampilkan pelbagai inisiatif untuk mempertingkat mobiliti sosial dengan memberi sokongan kepada pelajar kurang bernasib baik dan keluarga mereka.



Satu matlamat UPLIFT ialah sekolah mengenal pasti dan menyokong pelajar yang mungkin tidak dapat mencapai potensi sepenuh mereka baik di sekolah mahupun dalam kehidupan.



Bagi murid daripada sekolah rendah, ibu bapa mereka akan dibantu untuk mendaftar anak-anak mereka dalam program sokongan dan penjagaan khusus selepas waktu sekolah yang disediakan oleh sekolah.



Kami memastikan yuran yang dikenakan berpatutan dan boleh dimampui.



Manfaatnya - anak-anak akan berdisiplin menghabiskan kerja rumah (homework), meningkatkan kemahiran sosial mereka menerusi kegiatan berkumpulan dan memperkuat keyakinan diri mereka.



Dengan sokongan penjagaan selepas sekolah ini, ibu bapa dapat terus bekerja dan meningkatkan pendapatan dan menstabilkan sumber ekonomi keluarga.



Bagi pelajar sekolah menengah pula, kami kenalkan mereka kepada mentor, atau pendamping dewasa, dari sekolah atau dalam kalangan kumpulan masyarakat semasa mereka menjalani aktiviti selepas waktu sekolah.



Kami harap ini dapat meningkatkan motivasi mereka untuk belajar, memperkukuh hubungan dengan sekolah, dan memupuk daya bingkas mereka.



Dengan semangat gotong-royong seperti di kampung dahulu, kumpulan masyarakat juga tampil bagi melengkapi aktiviti sokongan yang dianjurkan di sekolah.



Kini kami lihat kerjasama lebih kuat antara sekolah dengan rakan kerja masyarakat seperti Mendaki, AMP dan Agensi-agensi Khidmat Sosial untuk memahami keperluan setiap keluarga secara holistik, baik dari segi kewangan, sosio-emosi mahupun perkara berhubung pekerjaan.



Kami akur keluarga sedemikian menghadapi cabaran kehidupan rumit dan perlukan sokongan menyeluruh. Melalui Program Perintis Masyarakat UPLIFT yang kini beroperasi di Boon Lay, Kreta Ayer, Woodlands dan Bukit Merah, pelajar kurang bernasib baik dan mempunyai masalah ponteng sekolah akan dirujuk kepada Penyelaras Peringkat Bandar UPLIFT (TLC) yang akan menyelaras sokongan dalam masyarakat bagi pelajar dan keluarga mereka.



Kami juga memperkenal relawan sebagai pendamping kepada keluarga-keluarga ini untuk memberi sokongan emosi dan praktikal supaya mereka berasa cabaran yang mereka hadapi boleh diharungi bersama.



Saya gembira akan sambutan dan dapatan awal yang menggalakkan sejauh ini. Sebanyak 80 peratus pelajar yang telah mengikuti Program Perintis Masyarakat UPLIFT sejak 2020 sudah kembali ke sekolah.



Guru sering mengingatkan kami bahawa apabila pelajar hadir di sekolah setiap hari, pencapaian akademik mereka meningkat. Ini yang ingin kami pastikan menerusi UPLIFT.



Kami akan terus menggalak lebih ramai pelajar dan lebih banyak sekolah terlibat dalam program perintis ini. Kami berharap dapat melepasi sasaran awal, iaitu lebih 300 murid pada akhir tahun ini, setahun lebih awal dar yang dirancang.



Projek perintis ini telah menunjukkan hasil memberangsangkan. Maka kami akan memperluas program perintis ini ke semua estet perumahan dan menyokong lebih ramai pelajar bagi jangka masa dua tahun akan datang.



Matlamat kami ialah meningkatkan kehadiran pelajar di sekolah dan menjaga kesejahteraan mereka, terutama mereka daripada keluarga kurang bernasib baik dan mengurangkan rintangan sebanyak mungkin.



Kami beriltizam memberi setiap pelajar keupayaan berjaya dalam kehidupan melalui asas pendidikan yang kukuh.



JANGAN TANGGUH BERI MASA DEPAN TERBAIK UNTUK ANAK ANDA



Dalam melaksana usaha Program Perintis Masyarakat UPLIFT, saya mendapati ada keluarga, secara langsung atau tidak, menolak sokongan yang ingin kami berikan.



Guru-guru sering mengeluh kepada saya kerana kesukaran mereka mendekati ibu bapa ini dan menekankan pentingnya anak-anak mereka datang ke sekolah.



Saya faham keadaan ibu bapa ini agak mencabar. Ada keluarga menghadapi masalah untuk memastikan kehidupan mereka stabil. Kami ingin membantu anda dan anak anda.



Kami tidak berniat merendahkan harga diri anda dengan menghulurkan bantuan. Kami mahu bekerjasama dengan anda dan memberi bantuan dan sokongan sebaik mungkin kepada anda dan anak-anak anda.



Jadikanlah sekolah anak anda rakan akrab anda. Kepada ibu bapa ini, saya berharap mereka tidak mengambil masa terlalu lama untuk membuat keputusan.



Setiap hari anak anda tidak ke sekolah atau terlepas peluang belajar melalui program sokongan dan pengayaan selepas sekolah, mereka terlepas peluang mendapatkan pendidikan baik serta masa depan lebih cerah.



Terdapat juga ibu bapa yang tidak mahu menerima bantuan atau mereka berasa anak mereka tidak mengalami cabaran atau kesulitan, dan mereka mengelak daripada berjumpa guru atau pegawai agensi yang cuba menghubungi mereka.



Guru-guru memberitahu saya ada ibu bapa menyuruh anak mereka yang lebih dewasa ponteng sekolah atau tidak mengikuti aktiviti selepas sekolah untuk menjaga adik-adik di rumah. Sedih sekali setiap kali saya mendengar kisah sedemikian.



Khidmat penjagaan anak, baik di peringkat prasekolah mahupun sekolah rendah, sentiasa ada dan siap dengan subsidi daripada pemerintah serta yuran yang amat dimampui. Marilah gunakan bantuan ini jika anda sayangkan anak anda.



Kepada mereka yang menolak sebarang bantuan, saya merayu agar mereka mengubah pendirian. Ini tanggungjawab kita sebagai sebuah masyarakat - bergotong-royong membantu satu sama lain, lebih-lebih lagi mereka yang memerlukan.



Dalam kalangan generasi saya, ramai telah meraih manfaat daripada sokongan yang diberi oleh masyarakat dan mempunyai ibu bapa berpandangan jauh dan mementingkan pendidikan. Dan ini ditambah pula dengan tekad kuat dan ketabahan mencapai matlamat mereka.



Saya berkongsi pengalaman peribadi saya kerana saya sudah menikmati manfaat fikiran terbuka untuk menerima bantuan atau sokongan.



Marilah sama-sama kita mengatasi rintangan dan membantu anak-anak kita menuju ke arah kejayaan. Kebajikan anak-anak ini amanah kita bersama.



  • Penulis Menteri di Pejabat Perdana Menteri serta Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >