SEDAR tidak sedar, sudah lebih dua minggu kita berpuasa. Kita bersyukur kepada Allah swt kerana kita masih diberikan kesempatan pada tahun ini untuk terus melaksanakan ibadah di bulan yang mulia ini.
Marilah sama-sama kita berharap agar dapat menyempurnakan amal ibadah puasa ini hingga ke penghujungnya dan berharap agar segala amal ibadah kita yang kita kerjakan diterima oleh Allah swt secara sempurna.
DITURUN KITAB SUCI
Ramadan menjadi bulan yang istimewa kerana pada bulan ini diturunnya kitab suci Al-Quran Nur Kareem dan bulan yang Allah swt melipat gandakan segala amal dan kebaikan yang kita kerjakan pada jumlah yang hanya diketahui oleh-Nya.
Rasulullah saw pernah berpesan setiap amalan baik anak Adam itu akan dilipat gandakan oleh Allah swt sehingga 10 kali ganda melainkan berpuasa.
Diriwayatkan oleh Bukhari, dan Muslim, dari Abu Hurairah ra yang berkata Rasulullah saw bersabda, "Allah berfirman 'Semua amal anak Adam untuknya kecuali puasa. Ia untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya."
Alangkah beruntungnya kita jika kita dapat meraih setiap ganjaran yang Istimewa yang ditawarkan oleh Allah swt pada bulan yang mulia ini dengan bersungguh-sungguh.
Sepertimana Rasulullah saw pernah berpesan, yang mana bermaksud:
"Siapa yang melaksanakan ibadah puasa dengan penuh keimanan dan bersungguh-sungguh yakni berusaha untuk tidak mencemarkan puasanya, nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu dan yang akan datang."
Pada setiap bulan Ramadan, kita dianjurkan untuk bersungguh-sungguh merai pahala sebanyak-banyaknya dan memohon keampunan daripada Allah swt yang maha kuasa.
Di bulan ini, bulan untuk memperbaiki diri.
Di bulan suci ini, sebagai orang Islam, kita dianjurkan untuk berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan.
MEMBERI MAKAN
Salah satunya bersifat pemurah ialah dengan memberi makan orang yang berpuasa.
Tradisi memberi makan kepada orang yang berbuka adalah amalan yang amat disukai Allah dan Rasulnya.
Rasulullah saw sendiri adalah seorang yang amat pemurah dan sifat pemurahnya amat menonjol dan amat terserlah sekali pada bulan Ramadan sehingga dikatakan bahawa Rasulullah melipat gandakan kebaikan yang dilakukan di bulan Ramadan seperti angin yang berhembus.
Rasulullah saw juga pernah bersabda yang mana bermaksud:
"Setiap makanan yang kita hidangkan, Allah letak berkah di dalam makanan itu."
Dalam sebuah hadis yang masyhur, Rasulullah saw berpesan lagi
"Barang siapa yang memberi makan bagi orang yang berbuka puasa, maka baginya pengampunan atas dosa-dosanya dan dibebaskan ia daripada azab api neraka serta baginya pahala berpuasa sama seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut."
Ketika mendengarkan hal itu, para sahabat bertanya kepada Rasulullah.
Ya Rasulullah, tidak semua dari kami memiliki sesuatu untuk memberi makan orang yang berpuasa.
Maka Nabi saw pun berkata: "Pahala ini diberikan oleh Allah kepada orang yang memberi makan untuk orang yang berpuasa walaupun dengan sebutir kurma atau seteguk air atau susu, sadaqah Rasulullah saw."
Alangkah beruntungnya jika budaya ini kita dapat jadikan amalan, satu hari berpuasa, dapat pahala lima, 10, 20 atau lebih pahala orang yang berpuasa dan berlipat-lipat kali ganda.
Oleh kerana itu, marilah sama-sama kita membudayakan sabda Rasulullah, siapa yang memberi makan orang yang berbuka, walaupun tradisi kita apabila datang Ramadan adalah berbuka bersama tetapi sebenarnya berbuka ini tidak semestinya dalam keadaan bersama kerana sabda Rasulullah memberi makan kepada orang yang berbuka.
SUASANA WABAK DAN SIFAT PEMURAH
Dalam suasana Covid-19 ini, banyak di antara kita tidak dapat menjalankan aktiviti berbuka puasa bersama seperti dahulu tetapi ini tidaklah hilangkan semangat berkongsi dan memberi makan antara kita dalam meraih pahala.
Ia masih dapat dilakukan dengan mengirim makanan berbuka melalui pesanan syarikat khidmat penghantaran makanan seperti GrabFood, Foodpanda atau lain-lain lagi.
Janganlah kerana sedikit cabaran dan halangan, cubaan untuk kita berkumpul membuat kita kurang bersemangat untuk meneruskan tradisi yang mulia ini.
Sifat pemurah adalah kunci bagi kedamaian dan keharmonian kehidupan kita.
Rumah tangga akan menjadi harmoni jika pasangan bersifat pemurah dalam pertemanan, juga persaudaraan.
Keharmonian hanya dapat dicapai sekiranya kita tidak lokek dan banyak bersifat pemurah.
Pokoknya orang yang pemurah disenangi oleh Allah, malaikat dan juga manusia. Dan orang yang lokek dibenci Allah, malaikat dan juga manusia.
Bahkan orang yang lokek juga tidak suka dengan orang yang pelokek.
Marilah kita meraih dan merebut sebanyak-banyaknya ganjaran dan kurniaan Allah swt yang dikhususkan dalam bulan yang mulia ini sebelum ia berlalu pergi.
- Penulis ialah Pengarah Pengurusan Jalaluddin Travel & Services.