Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

ANUGERAH JAUHARI BERITA HARIAN

Semangat menyumbang sudah jadi fitrah

Penerima Anugerah Jauhari kongsi tempoh hidup mencabar waktu kecil, pelbagai bantuan yang diterima dan usaha sumbang semula kepada masyarakat
Nov 19, 2020 | 05:30 AM



KALAU hendak memberi dan menyumbang, tidak usah tunggu hingga kaya.



Sesiapa sahaja boleh menyumbang untuk mempertingkat masyarakat dan meninggalkan kesan dengan cara mereka sendiri.



TIDAK PERLU KAYA UNTUK BANTU



Sikap suka membantu orang ini sudah dipupuk dalam diri Encik Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir oleh ibu bapanya sejak beliau kecil.



Semasa beliau membesar di sebuah flat tiga bilik di Bedok North, anak ketiga daripada keluarga empat beradik itu sering melihat ibu bapanya menghulurkan bantuan kepada jiran tetangga.



Ini meskipun mereka bukan orang berada dan keadaan kewangan mereka sekeluarga agak mencabar.



Namun, menurut Encik Faizal, mereka tidak pernah menganggapnya sebagai alasan untuk tidak membantu masyarakat di sekeliling mereka dengan apa cara pun dan bantuan yang diberikan tidak semestinya dalam bentuk kewangan.



"Bapa saya (Encik Mohamed Abdul Kadir Syed Ali) membawa orang ke Sesi Bertemu Penduduk (MPS) dan menghubungkan mereka dengan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) atau agensi pemerintah lain jika mereka perlukan bantuan.



"Ibu saya (Cik Fawziah Abdullah) pula membantu jiran kami membaca surat yang dikirimkan kepada mereka dalam bahasa Inggeris dan menerangkan kepada mereka kesan surat itu serta tindakan susulan yang boleh diambil.



"Bagi saya, mereka adalah contoh amat baik bagaimana kita boleh menyumbang dan kita tidak boleh memberi alasan tidak cukup masa atau sumber kerana sama ada kita dapat tinggalkan kesan pada masyarakat atau tidak, itu bergantung pada diri kita sendiri," kata Encik Faizal, yang ibunya seorang suri rumah manakala bapanya bertugas sebagai pemandu teksi semasa beliau membesar.



GIAT SUMBANG KEPADA PENDIDIKAN



Nilai suka membantu orang demi mempertingkat masyarakat ini sudah cukup sebati dalam diri bapa seorang bayi perempuan berumur empat bulan itu hingga beliau juga terdorong menyumbang kepada masyarakat, khususnya dalam bidang pendidikan, meskipun beliau kini sibuk dengan kerjaya dan keluarga sendiri.



Selepas tamat pengajian di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 2005, Timbalan Ketua Pendakwa dan Penasihat Undang-Undang Negara Kanan di Pejabat Peguam Negara (AGC) itu memulakan biasiswa di sekolah menengahnya, Sekolah Menengah Bedok View, dan ini telah disampaikan kepada pelajar sekolah itu sejak sekitar 14 tahun lalu.



Beliau juga menyumbang kepada biasiswa bagi pelajar di bekas maktab rendahnya, Maktab Rendah Tampines (kini Maktab Rendah Tampines Meridian), sejak enam tahun lalu.



Encik Mohamed Faizal, 40 tahun, turut memulakan satu program di Sekolah Undang-Undang NUS dua tahun lalu, memberi geran buku kepada pelajar yang mengalami kesukaran kewangan selain membantu bagi program seni visual di sekolah Persatuan Golongan Keperluan Khas (APSN) Katong sejak tahun lalu dan memberi biasiswa kepada pelajar berpotensi tinggi dalam bidang seni visual di sekolah tersebut.



"Bagi saya, kita tidak boleh sekadar berpeluk tubuh dan mengharapkan yang terbaik. Sebaliknya, kita harus cuba sebaik mungkin untuk membantu apa yang kita mampu.



"Kisah saya dan bagaimana ramai orang telah menyumbang kepada pembangunan saya menekankan pentingnya saya menyumbang semula kepada masyarakat," katanya.



Menurut Encik Mohamed Faizal, beliau juga bersyukur keluarganya sentiasa menyokong usahanya menyumbang semula kepada masyarakat.



"Kalau kita lakukan kerja masyarakat yang kita minati... ia sebenarnya satu penghormatan walaupun ia memakan masa selepas kerja dan pada hujung minggu," ujarnya, yang turut menganggotai beberapa jawatankuasa dan lembaga termasuk Jawatankuasa Semakan ElderShield yang dilantik pemerintah pada 2016 serta Lembaga Rayuan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dari 2012 hingga kini.



PENASIHAT UNDANG-UNDANG KANAN



Meskipun keadaan kewangan keluarganya mencabar dahulu, ibu bapanya sering mengingatkan beliau dan adik-beradiknya supaya tidak menjadikannya sebagai alasan untuk tidak mengejar kejayaan.



Selain bekerja keras, Encik Mohamed Faizal berkata pelbagai peluang yang diberikan kepadanya menerusi biasiswa, dermasiswa, pinjaman, anugerah dan sebagainya turut membantunya selama ini.



Kini, Encik Mohamed Faizal merupakan antara 88 Penasihat Undang-Undang Kanan di Singapura.



Beliau menyertai kumpulan peguam elit yang diiktiraf atas keupayaan cemerlang mereka sebagai peguam bela, pengetahuan luas mengenai undang-undang dan kedudukan profesional tertinggi selepas dilantik sebagai Penasihat Undang-Undang Kanan oleh Ketua Hakim Sundaresh Menon Januari lalu.



Menyifatkan pelantikan itu sebagai satu penghormatan yang amat besar, Encik Mohamed Faizal yang sudah menceburi bidang undang-undang selama 15 tahun, berkata ini adalah hasil dedikasi dan kerja baik semua rakan kerjanya di AGC serta bimbingan yang diterimanya selama ini.



"Generasi peguam akan datang dan peguam muda hari ini mempunyai banyak potensi.



"Saya pasti akan ada lebih ramai Penasihat Undang-Undang Kanan Melayu/Islam pada masa akan datang," ujarnya.



Selepas tamat pengajiannya di NUS, beliau berkhidmat sebagai Pegawai Pembantu Hakim di Mahkamah Agung.



Encik Mohamed Faizal, yang turut melanjutkan pengajiannya di peringkat Sarjana di Universiti Harvard di Amerika Syarikat, kemudian berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya (DPP) di AGC dan pernah dipinjamkan untuk berkhidmat dengan Majlis Perubatan Singapura (SMC) selama 18 bulan.



BINA GENERASI AKAN DATANG LEBIH BERJAYA



Encik Mohamed Faizal, yang menerima Anugerah Kesukarelawanan dan Kedermawanan Presiden (Belia) pada 2015, juga pernah diiktiraf sebagai Pemimpin Global Muda oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) pada 2016.



Beliau turut dinamakan dalam senarai 500 Muslim paling berpengaruh di dunia, yang disusun oleh Pusat Kajian Strategik Islam Diraja di Jordan, selama lima tahun berturut-turut bagi tahun 2017 hingga 2021.



Namun, baginya, usaha mengecapi kejayaan bukan tentang destinasinya, tetapi perjalanannya.



Beliau juga berharap dapat menjadi sumber inspirasi kepada golongan muda untuk turut mengejar kecemerlangan.



"Dalam masa 15, 20 tahun akan datang, saya harap bukan saya yang perlu diwawancara (media), tetapi seorang pelajar hari ini yang sudah dewasa dan mengatakan bahawa 15, 20 tahun lalu, beliau mendapat dorongan daripada seseorang untuk turut berjaya.



"Saya harap dapat menjadi sumber inspirasi bagi mereka untuk melakukan lebih baik nanti kerana setiap generasi harus menyumbang untuk memastikan generasi seterusnya dapat melakukan lebih baik," ujar Encik Mohamed Faizal.




... kita tidak boleh sekadar berpeluk tubuh dan mengharapkan yang terbaik. Sebaliknya, kita harus cuba sebaik mungkin untuk membantu apa yang kita mampu. Kisah saya dan bagaimana ramai orang telah menyumbang kepada pembangunan saya menekankan pentingnya saya menyumbang semula kepada masyarakat...



Dalam masa 15, 20 tahun akan datang, saya harap bukan saya yang perlu diwawancara (media), tetapi seorang pelajar hari ini yang sudah dewasa dan mengatakan bahawa 15, 20 tahun lalu, beliau mendapat dorongan daripada seseorang untuk turut berjaya.
- Encik Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >