SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Senarai peribahasa kaitan 'wanita'

Senarai peribahasa kaitan 'wanita'

Mar 12, 2023 | 5:30 AM

Senarai peribahasa kaitan 'wanita'

89bdcfd7-63f8-48e6-a6f7-ec732b009983
-

SENARAI peribahasa mengenai wanita agak panjang dan pelbagai.

Mengenai paras rupa, sikap wanita:

Seperti emas baru disepuh; seperti kelopak pandan; serupa burak; bagai bulan empat belas; serupa bulan penuh; laksana janda baru bangun tidur - semua adalah mengenai keelokan paras muka wanita.

Bagai bulan penuh mengambang di kaki awan adalah mengenai wanita cantik yang keluar dari rumahnya kerana hendak berjalan; bau malaikat terhempas, harum sekali adalah mengenai wanita muda yang memakai wangi-wangian; dan batik Semarang, makin dicuci makin terang adalah mengenai wanita janda yang lebih cantik daripada semasa gadisnya.

Bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor adalah pernyataan bahawa wanita dan lelaki bukan seorang sahaja di dunia, lantas jangan kecewa jika wanita atau jejaka idaman tidak dapat dimiliki.

Bulan mengambang dikandung awan adalah gambaran lelaki yang rindukan seorang perempuan tetapi telah diambil oleh orang lain.

Laksana kumbang menyeri bunga, kumbang terbang bunga pun layu menggambarkan keadaan lelaki yang mempermain-mainkan wanita, menyebabkan wanita merana apabila ditinggalkan.

Ibarat bunga, segar dipakai layu dibuang adalah gambaran tentang wanita yang dikasihi sementara masih muda, tetapi setelah tua dicerai atau ditinggalkan.

Bunga kembang menanti layu bermakna kecantikan dan keelokan seorang perempuan tidak kekal.

Bagai perempuan bunting bertemu idamannya adalah gambaran kegembiraan kerana mendapat barang kesukaannya.

Ladang yang berpunya pula adalah gambaran wanita yang sudah kahwin.

Gundahkan buah dimakan burung adalah perasaan susah hati terhadap wanita yang sudah menjadi isteri orang.

Mengenai suami isteri:

Asam di darat ikan di laut, bertemu dalam belanga juga adalah mengenai wanita dan lelaki, kalau sudah jodoh, bertemu juga akhirnya.

Telaga di bawah gunung bermakna isteri yang membawa untung dan bahagia kepada suaminya.

Kasihkan padi, buangkan rumput bermakna jika kasihan anak isteri, hendaklah berhenti daripada mengasihi perempuan lain.

Seperti permata baik tak kena ikatannya adalah gambaran wanita terpelajar bersuamikan lelaki yang rendah budi pekertinya.

Hilang pelanduk berganti kijang emas bermaksud perempuan yang bercerai daripada suaminya yang hina kemudian kahwin dengan seorang lelaki yang mulia.

Sebaliknya, terlepas daripada rahang harimau, termasuk ke dalam rahang buaya adalah mengenai perempuan yang bernasib malang - bercerai daripada suami hartawan yang hina dan kahwin dengan seorang hamba yang miskin.

Hampir serupa ialah terlepas daripada babi gemuk, terpeluk anjing kurap - perempuan yang bernasib malang, bercerai daripada suami hartawan yang hina dan kahwin dengan seorang hamba yang miskin.

Mengenai gaya dan sikap wanita:

Seperti kapal tiga tiang adalah mengenai gaya jalan seorang perempuan yang amat menarik; sementara bagai itik pulang petang ialah gambaran wanita gemuk berjalan lambat.

Bagai bunyi perempuan di air, riuh sekali; bagai murai dicabut ekor menggambarkan wanita yang suka bercakap banyak.

Perigi mencari timba; rumput mencari kuda; ulam mencari sambal; enau mencari sigai; lesung mencari antan - memberi maksud serupa iaitu mengenai wanita yang mencari lelaki.

Terjerit-jerit seperti kucing biang adalah gambaran wanita yang bercakap-cakap terlalu keras, sementara bagai harimau beranak muda bermakna orang perempuan yang terlalu bengis.

Sungguh bersubang tidak berdara adalah gambaran wanita yang berpakaian elok tetapi buruk kelakuannya.

Bagai cacing gila ialah perempuan yang suka berpergian, bertandang dan sebagainya; pinang tua merah ekor bermaksud perempuan yang sudah berumur, tetapi kelakuannya masih seperti gadis; dan rumah buruk disapu cat adalah mengenai perempuan tua yang suka bersolek.

Kain dalam lipatan adalah mengenai perempuan yang melakukan kejahatan dalam diam-diam.

Bersalai tidak berapi bermaksud perempuan yang belum bersuami tetapi sudah mengandung; putik mendului bunga, buahnya mabuk dimakan adalah gambaran perempuan hamil sebelum nikah; sementara mengerami telur orang adalah gambaran lelaki yang mengahwini perempuan yang sudah mengandung.

Mengenai hubungan lelaki dan wanita:

Satu sangkar dua burung bermaksud dua perempuan yang menyukai seorang lelaki; balam dua sesangkar bermakna seorang perempuan dicintai oleh dua orang lelaki; keli dua selubang mengenai seorang perempuan yang mempunyai kekasih dua orang; sementara perahu satu, nakhoda dua adalah mengenai wanita yang menduakan suaminya.

Tiada dapat dua keris dalam satu sarung adalah gambaran tidak mungkin seorang perempuan bersuami sampai dua orang dalam satu waktu.

Mata tidur, bantal berjaga adalah mengenai perempuan yang membuat kejahatan ketika suaminya lengah. Peribahasa lain dengan makna serupa ialah kepala rebah mata melayang, bantal bangkit main wayang; mata kejam, bantal buat ragam.

Juadah sudah dijilat cicak adalah gambaran perempuan yang sudah melakukan kejahatan dalam diam-diam.

Hendak mengayuhkan perahu tertambat gambaran keinginan kahwin dengan perempuan yang masih dalam edahnya.

Putus timba tinggal tali, putus tali tinggal timba adalah mengenai perempuan yang kematian suaminya atau seseorang yang berpisah daripada sahabat yang diharapkan olehnya.

Seperti pungguk merindukan bulan adalah mengenai alam percintaan lelaki rindukan kekasihnya.

Lain-lain:

Seperti lebah, mulut bawa madu, pantat bawa sengat adalah gambaran seorang perempuan yang elok parasnya dan manis tutur katanya, tetapi kelakuannya jahat.

Kasihkan padi, buangkan rumput bermakna jika kasihan anak isteri, hendaklah berhenti daripada mengasihi perempuan lain.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg