Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

TEROKA ALAM KEHIJAUAN SINGAPURA

Seronok masuk hutan, keselamatan harus dijaga... jangan main terjah saja

Jan 02, 2022 | 05:30 AM



Usaha pemerintah untuk membangunkan semula kawasan-kawasan yang kaya dengan flora dan fauna secara tidak langsung telah menarik masyarakat untuk lebih menghargai alam sekitar. Kian ramai yang kini memberi tumpuan meneroka pelbagai pelosok taman-taman kehijauan di seluruh pulau. Kumpulan-kumpulan pendaki atau 'hikers', sama ada kumpulan sosial, sahabat atau anggota keluarga, saban minggu, dengan berpakaian sukan atau kembara, dilihat meredah kawasan hutan Singapura dan meneroka tempat-tempat peninggalan sejarah yang tersembunyi di celah-celah timbunan pokok dan bukit bukau. BERITA MINGGU, yang telah menyiarkan siri destinasi alam semula jadi Singapura sejak lima minggu lalu, kali ini mengetengahkan perkongsian penggiat 'trekking' berpengalaman, Encik Zainal Zack. Beliau berkongsi pengalaman dan panduan bagaimana menikmati alam kehijauan di Singapura dalam keadaan yang selamat.



MENEROKA alam kehijauan termasuk melalui laluan hutan di Singapura, memang menyeronokkan, bahkan kini semakin menjadi trend dalam kalangan masyarakat tempatan.



Namun, pengembara terutama yang baru berjinak-jinak dengan kegiatan trekking atau meredah laluan sukar, disarankan agar membuat kajian terlebih dahulu trek-trek yang ingin dilalui agar dapat menjangkakan tahap kesukarannya dan dapat menilai sendiri sama ada mereka mampu untuk mengatasinya.



Cakap mudah, jangan main terjah saja masuk hutan!



Nasihat ini dikongsi penggiat trekking berpengalaman, Encik Zainal Zack, yang dalam kalangan para pengembara Singapura, juga dikenali sebagai Null Mastermind berusia 40-an tahun.



Beliau, yang mempunyai pekerjaan sepenuh masa di syarikat Penerbangan Singapura (SIA) di bahagian kejuruteraan, juga berpengalaman selama dua tahun sebagai anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).



Beliau gembira melihat semakin ramai orang Singapura menikmati keindahan alam dengan melakukan aktiviti seperti hiking atau meredah laluan rata, trekking (laluan berbukit dan berbelantara) dan penerokaan ke tempat-tempat bersejarah dan kampung lama, terutama sejak pandemik melanda, yang sekali gus menyekat orang ramai daripada keluar negara untuk bercuti.



"Secara amnya, laluan-laluan hiking dan trekking di Singapura adalah selamat. Tetapi, ada juga tempat-tempat yang perlu diberi perhatian terutama jika keadaannya berlumpur, ada pokok-pokok tumbang dan tanah curam.



"Kalau tak biasa, jangan masuk laluan hutan yang tidak ditentukan. Selain kemungkinan akan sesat, mungkin juga kita menyalahi undang-undang jika laluan itu tempat terlarang," pesan beliau, yang pernah mendapat latihan khusus penakatan dalam hutan semasa menjadi anggota tentera.



TEROKA TREK BARU



Encik Zainal, yang menceburi kegiatan trekking sejak 2005, berkata beliau pernah mengalami kecederaan di tempat kerja sehingga separuh badannya tidak boleh bergerak. Setelah melalui terapi secara intensif, beliau memaksa diri untuk melakukan semula aktiviti pendakian sejak lima tahun lalu.



"Sebelum cedera dulu, saya biasa mendaki dan trekking, jadi saya tahu aktiviti ini boleh cepat hidupkan semula sendi dan otot-otot serta ketahanan stamina.



"Terus terang, dulu saya jarang nampak orang Melayu lakukan kegiatan ini. Tetapi sekarang, sudah begitu ramai menceburinya terutama kaum ibu termasuk warga emas," kata Encik Zainal.



Memandangkan ramai kenalan dan peminat trekking tempatan meminta nasihatnya tentang kegiatan itu, Encik Zainal telah membentuk program penerokaan sendiri, yang merangka laluan-laluan trekking dan penerokaan, disesuaikan untuk kumpulan-kumpulan atau individu berdasarkan usia dan kemampuan stamina.



Beliau juga menekankan aspek teknik pernafasan dan cara pendakian yang betul dan selamat berdasarkan rupa bumi dan agar dapat menahan stamina.



Beliau hanya melaksanakan program ini pada hari beliau tidak bekerja.



Beliau dan ranger lain yang berpengalaman juga sering bertukar-tukar maklumat mengenai trek baru yang boleh diterokai dan kemas kini informasi mengenai trek yang ditutup atau berbahaya.



Selain itu beliau juga memimpin kumpulan amal pengembara berbilang bangsa, Lost Together, yang banyak melakukan kegiatan amal sambil melakukan hiking atau trekking.



KESELAMATAN HARUS DIUTAMA



Sebagai perancangan laluan pengembaraan, kata Encik Zainal, beliau sering recce atau meninjau trek-trek menarik di kawasan-kawasan kehijauan termasuk hutan dan destinasi popular, dan mencari laluan dan ada "cabaran selamat" sebagai menyuntik keseronokan.



Penting juga mencari laluan yang menawarkan pemandangan yang menarik untuk dirakamkan gambarnya.



"Orang kita suka rakam gambar di tempat-tempat yang jauh dari hiruk-pikuk kota. Mereka sangat seronok kalau dapat bergambar di tempat-tempat yang seperti bukan Singapura... sanggup panjat pokok, masuk longkang, masuk semak dan bekas-bekas bangunan yang ditinggalkan.



"Tetapi, dalam mencari keseronokan, kita harus pentingkan soal keselamatan. Sebab itu saya selalu pastikan laluan yang kami pilih selamat untuk peserta. Saya juga akan rakamkan video dan kaji semula perjalanan kami untuk melihat risiko dan potensi-potensi bahaya dan bagaimana boleh diperbaiki laluan yang dipilih," ujar beliau.



Pada Februari lalu ada laporan pengembara yang cedera selepas sesat di Hutan Clementi, menggunakan laluan yang tidak ditentukan.



TREK SAUJANA MATA MEMANDANG



Apabila ditanya tentang trek yang dianggap paling sesuai untuk pengembara yang baru berjinak-jinak dengan kegiatan ini, Encik Zainal menyebut Hutan Simpanan Bukit Timah.



"Hutan Bukit Timah mempunyai trek yang sudah ditentukan, ada tanda-tanda jalan dan kemudahan-kemudahan asas. Bagi saya, cabaran dan keseronokan di hutan Bukit Timah sudah mencukupi untuk treker baru," ujar beliau.



Untuk pengembaraan yang menawarkan pemandangan cantik pula dan saujana mata memandang, beliau menyarankan trek ke Mount Faber melalui Southern Ridge, Hot Park, Kent Ridge, Labrador, Bukit Chermin dan Seah Im atau teruskan perjalanan ke Sentosa.



Bagaimana pula laluan yang paling mencabar tetapi menyeronokkan?



Untuk laluan ini, kata beliau, kebanyakannya merupakan laluan yang tidak ditentukan, bahkan kemungkinan dilarang.



"Ada satu tempat di kawasan Admiralty. Banyak turun naik bukit. Ramai yang tersesat sebab signal GPS boleh hilang di tengah-tengah hutan.



"Nasihat saya, jangan cari pasal. Seronok-seronok juga, tetapi lebih baik fikirkan soal keselamatan dan undang-undang. Jarang main terjah saja masuk hutan," beliau mengingatkan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >