Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

CATATAN WARTAWAN

Siapa lebih mencabar untuk dibesarkan - anak lelaki atau perempuan?

Jul 25, 2022 | 05:30 AM



APAKAH jawapan kepada perdebatan keibubapaan sejak berzaman - siapa yang lebih mencabar untuk dibesarkan? Anak lelaki atau perempuan?



Sebagai bapa kepada dua lelaki - seorang mempunyai autisme dan seorang neurotipikal - dan seorang perempuan, mungkin saya berada dalam kedudukan yang agak baik untuk memberi jawapannya.



Namun, sebagai seorang wartawan, haruslah saya mengamalkan due diligence atau usaha wajar dengan bertanyakan ibu bapa yang lain.



Berdasarkan 'tinjauan rambang' saya dengan beberapa rakan yang sudah bergelar ibu dan bapa, salah seorang daripada mereka mengatakan bahawa mereka perlu mengerahkan lebih banyak masa dan tenaga membesarkan seorang anak lelaki berbanding tiga anak perempuan!



Dapatan ini turut diakui seorang rakan yang mempunyai seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan.



Namun, bagi sebilangan lagi ibu bapa pula, mereka menyangkal dakwaan tersebut, ada yang menyangkalnya dengan agak keras.



Mereka berkata mereka perlu menangani keperluan fesyen anak-anak perempuan yang cerewet. Bukan itu sahaja, mereka berkata dalam menegur anak-anak ini, mereka harus memilih perkataan dengan lebih berhati-hati.



Malah, ada yang kata, anak perempuan lebih mudah "ambil hati" dengan teguran, ataupun gurauan, dan boleh mengambil masa yang panjang untuk mengatasi perasaan itu.



Hmm... nampaknya pencarian bagi jawapan semakin merumitkan keadaan.



Pakar terapi keluarga, Dr Michael Gurian, menerangkan bahawa siapa yang lebih mencabar untuk dibesarkan - lelaki atau perempuan - bergantung pada tahap emosi ibu dan bapa semasa berdepan dengan anak-anak mereka ketika pandangan itu diluahkan.



"Lelaki dan perempuan adalah mencabar dalam cara mereka sendiri, yang berbeza-beza," ujarnya, dalam bukunya 'Nurture the Nature'.



Dr David Stein pula, seorang profesor psikologi daripada Virginia State University, Petersburg, Amerika Syarikat, berkata:



"Setiap anak itu adalah individu. Personaliti anak lelaki atau wanita mencorak bagaimana dia menjalani kehidupannya. Sekitarannya juga memainkan peranan."



Namun, Dr Stein akur, terdapat cara yang berbeza ibu dan bapa menangani anak lelaki dan perempuan sejak lahir.



"Kita lebih cenderung berkata-kata lembut kepada anak perempuan dan kepada anak lelaki pula, kita lebih kasar sedikit," tambahnya.



Namun, apa yang jelas dan telah terbukti secara saintifik ialah pembangunan otak, fizikal bagi kanak-kanak lelaki berkembang pada kadar yang berbeza, sekali gus mempengaruhi tingkah laku dan personaliti.



Lantaran itu, sesetengah pakar berpendapat ibu bapa mengamalkan ciri-ciri keibubapaan yang berbeza dalam membesarkan anak lelaki dan perempuan kerana pembangunan mereka secara sosio-emosi yang berbeza.



Bagi saya, banyak yang telah dikongsi rakan-rakan dan pandangan yang saya baca daripada pakar, terkesan dengan apa yang saya lalui.



Yang jelas, bersama anak-anak lelaki saya, yang berusia 11 dan lapan tahun, saya meletakkan jangkaan tertentu kepada mereka berdasarkan pengalaman saya sendiri semasa membesar.



Antaranya, saya menggalakkan anak-anak lelaki saya agar bersikap "kuat", usah terlalu melayan rasa sedih dan sakit.



Bagi saya, sedikit kesakitan, kehampaan, kesukaran adalah baik, meskipun pada usia yang kecil, kerana ia sesuatu yang diperlukan sebagai sebahagian proses membesar bagi lelaki.



Dengan anak perempuan saya yang berusia 18 bulan, saya lebih bersikap "protective" atau amat melindungi dia, dan tidak mahu kalau boleh dia merasakan apa-apa kesakitan.



Bagaimanapun, ini tidak mencerminkan kasih sayang saya yang berbeza. Seperti ibu bapa lain, saya mengasihi semua anak-anak saya, sama rata. Dan perkara ini saya sering tekankan kepada mereka, terutama anak saya yang berusia lapan tahun, kerana dia seorang anak neurotipikal dan lebih peka serta sedar akan sekitarannya, berbanding abangnya yang mempunyai autisme.



Justeru, tidak kiralah lelaki atau perempuan, pendekatan yang kita amalkan dengan anak-anak harus berlandaskan kasih sayang, dengan tujuan mencipta sekitaran yang terbaik bagi mendorong pembangunan mereka secara positif.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >