Topic followed successfully
Go to BHkuSistem tuai air hujan diperluas ke Jurong dan Yishun mulai 2027
Sistem tuai air hujan diperluas ke Jurong dan Yishun mulai 2027
Air yang dikumpul dari satu sistem boleh penuhi keperluan air yang tidak boleh diminum bagi 12 blok kediaman
Sistem tuai air hujan diperluas ke Jurong dan Yishun mulai 2027

MULAI 2027, lebih 80 blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Jurong dan Yishun akan dapat menjimatkan lebih banyak air dengan sistem penuaian air hujan yang dipasang di estet-estet tersebut.
Ini kali pertama estet perumahan sedia ada akan mempunyai kemudahan penuaian air hujan, di bawah daya usaha Sistem Penuaian UrbanWater HDB, yang telah dipasang di estet perumahan Bina Ikut Tempahan (BTO) baru sejak 2018.
HDB menganggarkan sekitar 15 Sistem Penuaian UrbanWater akan dipasang di 89 blok di kedua-dua bandar itu, dan air hujan yang dikumpul boleh digunakan untuk mencuci kawasan umum dan menyiram pokok di estet-estet tersebut, antara kegunaan bukan untuk diminum lain.
Sistem-sistem itu berpotensi menjimatkan sekitar 17,500 meter padu air setahun, yang bersamaan dengan jumlah purata air yang boleh diminum yang digunakan di lebih 85 flat HDB empat bilik dalam setahun.
Selain menjimatkan air, air hujan yang dikumpulkan oleh sistem itu boleh mengurangkan banjir kilat di kawasan kejiranan dan estet semasa hujan lebat kerana ia memperlahan kadar pelepasan air hujan ke dalam sistem perparitan.
HDB telah membuka tender untuk pemasangan sistem di kedua-dua bandar itu.
Tender akan ditutup pada 20 Mei, dan pembinaan sistem itu dijangka bermula tahun depan dan selesai pada 2027.
Dalam setiap kemudahan penuaian, aliran air hujan di sekitar beberapa blok kediaman akan dilepaskan ke dalam sistem saliran sekitar estet, dan kemudian disalurkan ke dalam tangki penuaian dan penahanan kemudahan itu.
Air yang dikumpul dari satu sistem boleh memenuhi keperluan air yang tidak boleh diminum bagi 12 blok kediaman dan air yang digunakan semula boleh menjimatkan sehingga 50 peratus air di blok-blok tersebut.
Sistem itu telah digabungkan dalam projek BTO baru seperti Punggol Northshore Residences dan bandar Tengah.
Projek di Jurong dan Yishun itu akan dianggap sebagai perintis memandangkan pemasangan sistem itu dalam estet sedia ada lebih mencabar, kata HDB dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Ini kerana tempat yang sesuai untuk sistem itu perlu dikenal pasti kerana terdapat prasarana lama dan penting lain yang sudah sedia ada di bawah tanah. Aliran air hujan di kawasan itu juga perlu dianalisis.
Lebih mudah melaksanakan penuaian air hujan dalam projek BTO baru kerana prasarana sistem itu boleh dirancang dan direka bentuk awal demi memastikan ia terletak di tempat di mana banyak air hujan boleh dikumpulkan, jelas HDB.
Ujian rintis di Yishun dan Jurong itu akan digunakan untuk menilai bagaimana sistem tersebut boleh digunakan dalam estet perumahan sedia ada, di samping melihat sejauh mana ia boleh dipertingkatkan di masa hadapan.
Blok 201 hingga 216 di Yishun Avenue 2 dan blok 329 hingga 341 di Jurong East Avenue 1 adalah antara kawasan di mana sistem itu akan diperkenalkan.
Ketua Eksekutif HDB, Encik Tan Meng Dui, berkata: "Dengan sebahagian besar penduduk kami tinggal di estet sedia ada, kami telah mengambil langkah selanjutnya untuk merintis Sistem (Penuaian Air Bandar) di estet HDB sedia ada."
Sistem ini merupakan teras utama bagi Program Bandar Hijau HDB selama 10 tahun, yang bertujuan untuk menjadikan bandar sedia ada lebih mesra alam.
HDB juga mengumumkan bahawa sebanyak 1,198 lagi blok perumahan dan 57 tapak pemerintah akan dipasang dengan panel solar di bawah program SolarNova, yang kian memasuki edisi keenam.
Ia akan meliputi blok HDB di Sembawang, Tampines dan Tanjong Pagar, dan termasuk 40 sekolah dan dua balai bomba.
Sehingga kini, 2,700 blok HDB telah dipasang dengan panel solar di bawah program tersebut.
Tender keenam telah diberikan bersama kepada firma kontraktor kejuruteraan Digo Corporation dan firma tenaga solar Terrenus Energy.
Pemasangan panel solar dan sistem fotovoltaik ini - dengan jumlah kapasiti 70 megawatt-puncak (MWp) - dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini dan selesai menjelang awal 2025.
Sasaran program ini adalah untuk mencapai kapasiti solar 540 MWp menjelang 2030.
"Dengan sebahagian besar penduduk kami tinggal di estet sedia ada, kami telah mengambil langkah selanjutnya untuk merintis Sistem (Penuaian Air Bandar) di estet HDB sedia ada." - Ketua Eksekutif HDB, Encik Tan Meng Dui.

