SETELAH beliau 'berhijrah' dan mula mengenakan tudung pada 2015, usahawan Cik Haslinda Ali sedar terdapat permintaan bagi tudung dan pakaian senaman Muslimah.
Beliau, seorang jurulatih kesihatan yang mempunyai kelas senaman di bawah pergerakan FitFab, sedar ramai juga Muslimah yang mencari tudung dan pakaian yang sesuai untuk kegiatan jasmani.
"Saya memutuskan untuk memperkenalkan hijab sukan saya sendiri kerana saya juga mencari-cari produk sedemikian.
"Waktu itu jenama besar tidak menjualnya. Tiada pihak yang memenuhi permintaan pasaran ini pada 2015," kata Cik Haslinda, 51 tahun.
Oleh itu, beliau mengambil langkah untuk menghasilkan tudung senaman itu sendiri, dengan mencari pihak pembekal serta bahan yang sesuai untuk digunakan bagi kegiatan fizikal.
Beliau kemudian membuat penyelidikan sendiri dan menguji beberapa prototaip.
"Saya tahu hijab itu harus menutupi bahagian dada. Jadi saya uji sendiri prototaipnya dengan melakukan senaman seperti burpees dan push up, dan melihat jika hijab itu terlayang atau tersangkut.
"Akhirnya, saya menghasilkan koleksi hijab sukan pertama yang sesuai untuk wanita bertudung yang aktif," ujarnya.
Beliau juga memperagakan produk itu sendiri dan mula menjualnya dalam talian pada 2016.
Hari ini, beliau menjual bukan sahaja tudung bahkan baju senaman lain untuk wanita Muslimah.
Baru-baru ini, Cik Haslinda mula menjual telekung, tetapi ini katanya bermula secara kebetulan.
Beliau telah memakai telekung bercorak yang dibelinya daripada seorang klien dalam satu video yang dimuat naik suaminya, usahawan dan ikon media sosial, Encik Sujimy Mohamad, ke TikTok.
Video itu, yang memaparkan siri teka teki 'Dad jokes', menjadi tular, dan ramai pengguna media sosial, termasuk dari Malaysia, yang bertanya mengenai telekung yang digunakannya.
Cik Haslinda kemudian bekerjasama dengan kliennya itu, yang menjual di bawah label Amalina Amaani, untuk menjual telekung tersebut di bawah wadahnya.
Bahkan, anaknya Cik Qistina Sujimy, 20 tahun, juga mengenakan telekung itu semasa menunaikan haji tahun ini, dan ramai yang membeli telekung itu setelah melihat gambar anaknya itu dipos di media sosial.
"Itulah kuasa pempengaruh. Setelah video 'Dad jokes' itu menjadi viral, ramai yang melihat produk anda. Sebenarnya saya bukan nak jual telekung itu pun, memang saya sudah belinya sendiri.
"Tetapi ramai pula yang menjadi tertarik kerana produk itu unik dan baru dalam pasaran.
"Saya percaya jika anda mahu produk anda menarik perhatian, ia harus menjadi lain daripada yang lain, yang anda sendiri akan memakainya," ujar Cik Haslinda, yang mempunyai lebih 20,000 pengikut di Instagram.
Beliau kini merancang untuk meluaskan perniagaannya selain pakaian senaman kepada produk gaya hidup lain, termasuk produk penjagaan kulit dan produk kecantikan.
"Saya mencari barangan yang sesuai dengan cita rasa saya sebagai seorang Muslimah aktif berusia 51 tahun.
"Kalau produk itu cantik tetapi tak sesuai dengan saya, saya tidak akan menjualnya. Kalau saya tidak boleh peragakannya dengan baik, ia tidak akan dapat dijual dengan baik.
"Jadi mereka yang kenali saya dan telah mengikuti saya, mereka tahu apa gaya yang sesuai dengan saya, dan apabila saya memakainya, secara tidak langsung, orang akan beli atau berminat untuk membelinya," kata Cik Haslinda.
STRATEGI NIAGA HASLINDA
"Saya mencari barangan yang sesuai dengan cita rasa saya sebagai seorang Muslimah aktif berusia 51 tahun. Kalau produk itu cantik tetapi tak sesuai dengan saya, saya tidak akan menjualnya. Kalau saya tidak boleh peragakannya dengan baik, ia tidak akan dapat dijual dengan baik. Jadi mereka yang kenali saya dan telah mengikuti saya, mereka tahu apa gaya yang sesuai dengan saya, dan apabila saya memakainya, secara tidak langsung, orang akan beli atau berminat untuk membelinya.'' - Cik Haslinda Ali.
ANTARA USAHAWAN, PEMPENGARUH JUAL PRODUK 'ONLINE'
Diyana Halik
DATIN DIYANA HALIK, isteri pelakon kelahiran Singapura Datuk Aaron Aziz, merupakan antara pempengaruh dalam talian yang menjual tudung di bawah jenamanya sendiri.
Beliau, yang mempunyai lebih 527,000 pengikut di Instagram, dikenali dengan tudung jenis 'snood' atau tudung mudah pakai.
Jenama Diyana Halik, yang dari masa ke masa dipromosi di akaun media sosial Datuk Aaron, turut menjual tudung khas bercorak motif Singapura serta pakaian Muslimah seperti kaftan.
Adlina Anis
ADLINA ANIS menubuhkan jenamanya sejak 2012, antara perniagaan dalam talian pertama di Singapura yang menjual hijab dan pakaian Muslimah.
Beliau pernah menjadi penata fesyen bagi beberapa majalah bahasa Inggeris seperti 'Harpers Bazaar', 'Women's Weekly', 'August Man', 'Prestige' serta akhbar 'Urban' dan majalah 'Sutra'.
Dengan lebih 40,600 pengikut di Instagram, beliau menjual pelbagai bentuk tudung fashionista seperti bentuk 'turban', tudung 'instant' mudah pakai, serta tudung senaman.
Nawal Haddad
PENGASAS Nawal Haddad Fitness, Cik Nawal Alhaddad, dikenali sebagai seorang jurulatih kesihatan, yang terkenal dengan kelas zumba.
Cik Nawal kemudian menubuhkan Glowco, perniagaan yang menjual pakaian dan tudung senaman Muslimah, dan kini mempunyai lebih 13,200 pengikut di Instagram.
Beliau juga mempunyai studio kecergasan Glowco Move, untuk wanita di Tampines.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg