Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

'Suara Jiwa' penulis dilagukan dalam konsert 'Gita Raga'

Pesta Penulis Singapura (SWF) kembali lagi dalam edisi ke-25 antara 4 hingga 20 November ini dengan meraikan kemungkinan yang boleh terjadi hanya dengan satu perkataan, 'Jika'. Lebih 200 program dalam skala fizikal sepenuhnya disajikan dengan paparan karya penulis wanita dan bakti mereka dalam dunia kesusasteraan Melayu turut menjadi antara teras pesta kali ini. Bagaimana puisi sasterawan mapan dilagukan serta lirik puitis mekar dengan bunga-bunga bahasanya sebagai santapan halwa telinga turut disajikan. BERITA HARIAN melaporkan.
Oct 28, 2022 | 05:30 AM



APABILA diserahkan dengan puisi Larilah Jika Boleh hasil pena sasterawan Allahyarham Dr Masuri SN untuk digubah menjadi lagu, pemuzik Moliano Rasmadi akur banyak perihal kehidupan yang tersirat dalam karya tersebut.



Beliau yang awalnya ingin berehat seketika daripada jadual persembahan yang padat dari permulaan tahun lantaran itu enggan melepaskan peluang terlibat dalam projek konsert Gita Raga sempena Pesta Penulis Singapura (SWF) yang berlangsung pada 5 November ini, 8 malam di Panggung Victoria.



SWF dianjurkan Arts House Limited (AHL) dan dikomisyen Majlis Seni Kebangsaan (NAC).



Konsert terbitan Aqmal N ini turut dijayakan Jatt Ali, Hanafie Warren, Olynn Saleh dan Ryzall Noh.



Selain karya Dr Masuri, puisi tulisan penerima Pingat Budaya NAC, Allahyarham Mohamed Latiff Mohamed dan Encik Suratman Markasan turut dilagukan.



Sebanyak 12 lagu akan disampaikan, manakala lima sajak pula dilagukan atau dideklamasikan.



Ketika dihubungi Berita Harian, Aqmal berkata idea bagi Gita Raga yang bermaksud 'Suara Jiwa' itu tercetus setelah beliau membuat persembahan Suara Utara kendalian Kelab Masyarakat Woodlands.



"Pengatur program SWF bertanya jika saya mengenali pemuzik dan artis Singapura yang boleh disatukan untuk mendendangkan lagu Singapura dengan lirik puitis atau lagu puisi yang sedia ada.



"Bersandarkan tema 'Jika' atau 'Adakah Mungkin', kami memilih puisi terkenal daripada sasterawan mapan. Saya menggunakan judul Gita Raga sebab ia jarang didengar tetapi bermaksud 'Suara Jiwa'.



"Ada puisi mahakarya sasterawan mapan kita wajar dilagukan. Ada seperti Tekad karya Cikgu Latiff memang sudah jadi lagu. Kalau kita perhatikan lirik lagu seperti Sambutlah Kasih dan Si Gadis Ayu serta beberapa lagu lain juga boleh dianggap seperti puisi.



"Justeru, dalam Gita Raga, kami ketengahkan juga lagu Moliano dan Allahyarham Harun Abdul Majid."



Moliano yang gemar menyahut cabaran baru dalam kerja seninya menghasilkan irama Larilah Jika Boleh untuk Olynn dendangkan ketika bercuti di Kuala Lumpur. Ia dikarang spontan di lobi hotel dengan beliau memetik gitar.



Katanya:



"Proses ciptaan kali ini berbeza. Biasanya, kita ibarat 'syiok sendiri' atau ikut cita rasa sendiri ketika bikin lagu.



"Kali ini, pengalamannya berbeza sebab saya perlu kaji maksud puisi itu, apakah latar belakang penulisan dan konteksnya. Tambahan pula, ia mahakarya Dr Masuri dan mempunyai maksud yang mendalam. Lantas, saya tidak boleh buat lagu sesuka hati.



"Antara cabarannya adalah apabila satu rangkap ada tiga baris perkataan sahaja. Tapi saya yakin tiada yang mustahil. Saya memang suka terima cabaran.



"Takrifan saya tentang puisi Dr Masuri pelbagai. Ia boleh mengisahkan tentang seorang lelaki yang banyak buat salah terhadap kekasihnya dan terperangkap dengan masalah itu.



"Ia juga boleh menceritakan tentang ahli politik atau pemimpin yang sudah lama bermaharajalela tetapi tembelangnya sudah pecah. Dah tak ada pintu nak larikan diri lantas dia terjerat dengan perbuatannya sendiri."



Olynn yang juga seorang penerbit program digital dan pelakon pula menambah:



"Sebagai penyanyi, saya harus menghayati lirik untuk disampaikan. Ia akan terasa lebih bermakna apabila kita menghadam maksud lirik itu.



"Satu penghormatan untuk saya terlibat dalam Gita Raga. Saya cuba fahamkan puisi Dr Masuri. Banyak kali saya baca puisi ini dan bertanyakan kepada Pak Moliano mengenainya.



"Bagi saya, Larilah Jika Boleh mungkin mengisahkan tentang diri seseorang yang telah banyak buat kesalahan, ingin menutupnya dan 'larikan diri' daripada masalah itu tetapi masih tercari-cari jawapannya bagaimana.



"Bagi saya, projek ini menekankan tentang kepentingan lirik. Ia lebih utama. Kita sebagai penyanyi perlu menyampaikan atau menceritakan sesuatu kepada pendengar. Mereka mungkin dipikat oleh melodi lagu untuk mendengar, tetapi yang penting adalah lirik atau kisah dalam lagu itu.



"Amanah penyanyi juga adalah untuk berkongsi pendidikan dengan pendengar selain menghiburkan mereka," jelas Olynn.



  • Nota: Tiket $25, $35 dan $45 boleh ditempah di laman, kaunter dan talian Sistic.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >