Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

RENUNGAN JUMAAT

Sudut 'Water For All' inisiatif Masjid Hang Jebat jadi lebih inklusif untuk semua

Masjid dekat Koridor Rel juga sedia alat pertolongan cemas, tempat berteduh bagi semua tanpa kira kaum, agama
Jan 28, 2022 | 05:30 AM



ORANG ramai yang menggunakan Koridor Rel berdekatan Masjid Hang Jebat boleh singgah sebentar untuk menyegarkan diri dengan air dingin yang juga sesuai diminum.



Masjid di Jalan Hang Jebat itu telah menyediakan sudut 'Water For All' atau 'Air Untuk Semua' dengan dua alat penyejuk air yang boleh digunakan semua orang, terutama mereka yang berbasikal atau berlari anak di sepanjang Koridor Rel itu.



Inisiatif itu telah dilaksanakan sejak bulan lalu dan minggu lalu dibuka secara rasmi.



"Memang ramai orang berulang-alik di Koridor Rel ini, terutama pada hujung minggu. Pada waktu malam pun masih ada ramai orang," kata pegawai keagamaan Masjid Hang Jebat, Ustaz Muhassan Ariffin.



"Jadi kami memperkenalkan inisiatif ini dengan menyediakan air yang boleh digunakan untuk menyegarkan atau membersihkan diri. Kami juga membuka kawasan masjid kepada mereka yang memerlukan tempat berteduh ketika hari hujan," tambahnya.



Ustaz Muhassan berkata masjid itu membuka pintunya dari sekitar 5.30 pagi hingga 10 malam dan kawasan yang dibuka kepada orang ramai itu terpisah dari kawasan utama masjid dengan ruang solat.



Masjid itu juga menyediakan alat pertolongan cemas untuk mereka yang memerlukannya dan merancang memasang alat defibrilator luaran automatik (AED).



"Kalau ada apa-apa berlaku di sepanjang Koridor Rel, mereka boleh ke masjid dan meminta bantuan," kata Ustaz Muhassan.



Beliau menerangkan antara tujuan menyediakan sudut air itu adalah supaya masjid kelihatan lebih inklusif kepada semua orang tanpa mengira kaum dan agama.



Inisiatif itu juga membolehkan orang ramai lebih mengenali agama Islam, katanya.



"Rancangan kami yang seterusnya ialah untuk meletakkan poster di kawasan yang mereka lalui untuk ke tandas masjid yang menerangkan tentang agama Islam supaya mereka dapat memahami lebih lanjut," ujarnya.



Beliau juga berharap inisiatif itu akan menjadikan Masjid Hang Jebat sebagai satu keperluan dan ada gunanya, supaya Lesen Pendudukan Sementaranya (TOL) dapat diteruskan.



Masjid kampung satu tingkat di estet Queenstown itu menyediakan ruang solat untuk hingga 1,084 jemaah.



Menurut Ustaz Muhassan, pada hari Jumaat dalam tempoh pandemik ini, sesi pertama solat Jumaat selalu penuh, memandangkan masjid itu terletak dekat dengan bangunan Mediacorp di one-north.



Masjid yang dibina pada 1952 itu baru tiga tahun mula menggajikan pekerja tetap dan Ustaz Muhassan adalah pekerja tetap pertamanya.



Selain beliau, masjid itu kini mempunyai tiga lagi pekerja tetap iaitu pegawai pentadbiran, noja dan imam.



Ia juga mempunyai seorang intern di bawah program Sijil Possiswazah Islam Dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) yang melakukan tugas pemasaran dan perhubungan.



Operasi dan kegiatan masjid itu turut disokong oleh sekitar 20 relawan aktif.



"Apabila saya masuk pada 2019, saya ada buat sedikit perubahan daripada sudut program. Kami mula aktif di media sosial dengan laman Facebook rasmi. Kami meningkatkan interaksi media dan mengadakan program sedikit dari segi jangkauan dan kerjasama dengan Masjid Al-Mukminin.



"Kami adakan juga program bagi kanak-kanak. Tetapi apabila Covid-19 melanda, kami terpaksa hentikan program-program itu," kata Ustaz Muhassan.



Menurut laman Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), masjid berbumbung zink itu kali terakhir menjalani kerja peningkatan pada 1996 untuk meluaskan dewan solatnya.



Ustaz Muhassan berkata usaha pengubahsuaian sedang dilakukan ke atas masjid lama itu bagi mencantikkannya dan memperbaiki bahagian yang sudah usang.



"Kami telah mengecat semula masjid ini mengikut tema warna bangunan-bangunan yang ada berdekatan berwarna hitam dan putih. Kami sedang mengecat bumbung dan merancang melakukan pembaikan sedikit demi sedikit.



"Banyak yang perlu diperbaiki kerana rata-rata struktur masjid ini adalah struktur lama. Kami berharap dapat mengumpul sekitar $150,000 bagi menyokong usaha menambah baik masjid ini dan kami berusaha mengumpul dana menggunakan laman Facebook dan tabung-tabung masjid," katanya.



 



"Memang ramai orang berulang-alik di Koridor Rel ini, terutama pada hujung minggu. Pada waktu malam pun masih ada ramai orang.



Jadi kami memperkenalkan inisiatif ini dengan menyediakan air yang boleh digunakan untuk menyegarkan atau membersihkan diri. Kami juga membuka kawasan masjid kepada mereka yang memerlukan tempat berteduh ketika hari hujan."
- Ustaz Muhassan Ariffin, Pegawai Keagamaan Masjid Hang Jebat. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >