Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

CERPEN

Sumpahan

Jun 18, 2023 | 05:30 AM



Malam penuh syahdu disulam keindahan. Detik yang mengukuhkan simpulan tali yang baru diikat. Saat yang dinanti-nantikan oleh sepasang mempelai dengan penuh debaran.

Rona wajah tersipu-sipu malu cuba menyembunyikan hati yang berdetak hebat. Ibarat seekor pungguk melempiaskan rindunya terhadap sang bulan. Namun perasaan sedemikian seakan-akan tidak wujud buat pasangan yang baru menjadi raja sehari, Armin dan Arfah. Bukan Armin dan Arfah sahaja. Bahkan para mempelai yang menetap di kampung Lembah Bayur sejak beberapa dekad lamanya, juga berkongsi perasaan sedemikian.

Gelisah. Galau. Gundah-gulana.

Cacamarba perasaan yang tidak akan difahami oleh mana-mana insan di pelusuk dunia ini. Perasaan ini sering kali menghantui setiap pasangan suami isteri. Tiada siapa yang mampu menghurai misteri yang menyelubungi penduduk Lembah Bayur ini. Walaupun keindahan kawasan ini begitu terserlah, dengan gunung-ganang yang tertancap megah, begitu juga dengan pepohonan bayur yang tumbuh menjulang tinggi mengelilingi lembah ini, namun ada sesuatu yang tidak kena dengan penduduknya.

“Ini semua bahana sumpah nenek moyang kita!” ujar Wan Su, mak bidan yang berusia 60-an tahun dan amat terkenal di Lembah Bayur itu. Suaminya, Pak Mat yang berusia lima tahun lebih muda, mengangguk-angguk menyokong kata-kata isterinya.

Para penduduk memang termakan dengan kata-kata Wan Su. Apakan tidak. Sudah sekian lama mereka menetap di kawasan itu dan satu-persatu bayi-bayi yang baru lahir mengalami kecelakaan. Kecacatan pada tubuh badan mereka begitu jelas, sehingga hanya mampu bertahan untuk beberapa hari sahaja. Hati ibu mana yang tidak luluh jika harapan mereka direntap sebegitu hebat? Bakal-bakal ayah juga terpukul dengan penderitaan para isteri yang tersayang. Tidak kurang pula ada yang menjadi tidak siuman gara-gara dugaan berat yang menimpa mereka.

Panorama Lembah Bayur yang sepatutnya memberi ketenangan kepada penduduknya tidak ubah bagaikan lubang neraka, yang dihuni insan-insan yang dibelenggu keputusasaan. Mengapa mereka masih lagi menetap di situ? Bukan seorang dua, tetapi sudah berpuluh-puluh penduduk yang mencuba nasib untuk keluar dari kampung itu. Namun, kesemuanya gagal. Samada mereka hilang dibaham belantara hutan tebal ataupun mungkin mati dipukul gelombang ombak ganas yang mengelilingi Lembah Bayur.

“Aku tak percaya kita disumpah. Pasti ada sesuatu yang tidak kena. Kalau benar-benar sumpah, pasti ada penghujungnya. Lihat sahaja sumpah Mahsuri. Selepas tujuh keturunan, negerinya kembali makmur. Apa yang sudah jadi dengan kampung kita? Kita perlu siasat hingga ke akar-akarnya!

“Mungkin ini satu muslihat pihak durjana untuk menghapuskan penduduk kampung ini!” terpacul kata-kata semangat berbaur hasutan daripada mulut Armin, pemuda berusia 21 tahun yang terkenal dengan sikapnya yang berani.

Semua bebola mata memandang tepat ke arah Armin. Soalan ini memang lumrah dan sering kali berlegar-legar di benak setiap penduduk. Hanya perlukan kekuatan untuk mengutarakannya.

“Mulut kau jangan celupar, Armin,” balas Wan Su. “Kau tu baru saja berumah tangga. Takut-takut kalau perkara buruk berlaku kepada Arfah,” ujar Wan Su melepaskan perasaan tidak puas hatinya kepada Armin yang dianggap biadab.

“Ada benarnya apa yang diperkatakan Armin,” sampuk Roslan, pemuda yang sebaya dengan Armin. Dia masih lagi digamit pilu, setelah bayinya yang baru lahir kembali ke hadirat Ilahi.

“Dahulu keadaan di sini elok saja. Rata-rata semua penduduk dalam keadaan sihat sejahtera. Kini, kita diancam kepupusan. Tiada lagi anak-anak pewaris Kampung Lembah Bayur.

“Gempa bumi pula semakin kerap berlaku. Kita perlu lakukan sesuatu!” ujar Roslan lagi dengan semangat berkobar-kobar. Para penduduk di situ sepakat melaungkan persetujuan mereka.

“Lebih baik mati berjuang daripada terus berdiam diri!” jerit seorang pemuda bernama Syafiq.

Seluruh kawasan itu bergema.

Sulaiman, tok penghulu kampung yang kebetulan lalu di kawasan tempat mereka berkumpul, cuba menenangkan mereka. Namun, anak-anak muda kampung itu sudah tidak dapat dikawal lagi. Kemarahan mereka semakin membuak-buak. Mereka mendesak Sulaiman agar bertindak menyelamatkan penduduk di situ. Sementara Armin mengarah Wan Su dan Pak Mat agar menunjukkan mereka jalan susur ke kampung seberang. Hanya mereka berdua dan tok penghulu yang tahu jalan sulit itu. Dan melalui jalan rahsia itulah mereka mendapatkan bekalan makanan dan perubatan.

“Boom!”

Tiba-tiba gempa bumi menggegarkan seluruh Kampung Lembah Bayur. Ada yang tercampak beberapa meter jauhnya, sementara ada yang cuba melarikan diri. Keadaan hiruk-pikuk diburukkan dengan kepulan asap tebal yang memedihkan mata dan bunyi dengungan yang memekakkan telinga.

Mayat-mayat yang bergelimpangan amat menyayat hati. Armin yang terpelanting jauh, mengerah sekuat tenaganya untuk bangun. Dia berjalan terhoyong-hayang untuk mendapatkan Arfah serta ibu dan ayahnya di rumah. Hati kecilnya berdoa agar mereka selamat. Apabila tiba di rumah, Armin meratap kesedihan melihat ibu dan ayahnya terkorban.

Arfah pula didapati dalam kebingungan. Setelah Arfah kembali tenang, Armin menerangkan kepada isterinya tentang perancangannya. Tanpa membuang masa, mereka pergi mendapatkan penduduk lain yang terselamat. Hanya segelintir orang sahaja yang tidak ditewaskan oleh gempa tadi. Armin bersyukur bila mendapati pemuda-pemuda lain seperti Syafiq dan Roslan turut terselamat. Dia bercadang agar mereka semua keluar dari kampung ini melalui jalan rahsia Wan Su, Pak Mat dan tok penghulu.

“Wan Su dan suaminya terkorban,” terang Syafiq. “Yang terselamat hanyalah tok penghulu.”

Armin tidak berputus harap. Ketika malam telah melabuhkan tirainya, Armin mengajak penduduk yang lain untuk mengekori tok penghulu kerana kegelapan malam pasti menyukarkan beliau untuk melihat mereka. Namun, Armin diterjah kekecewaan apabila rancangannya ditolak mentah-mentah oleh beberapa penduduk yang terselamat.

“Biar sajalah kami. Ini tempat kelahiran kami. Kami rela jika ditakdirkan mati di sini,” ujar mereka.

Walau bagaimana Armin cuba untuk meyakinkan mereka, dia tidak dapat memujuk mereka untuk berganjak daripada sumpahan mereka sendiri. Akhirnya, dengan berat hati, Armin bergerak ke kawasan hutan bersama Arfah, Syafiq dan Roslan. Malam semakin larut. Mereka terpaksa menunggu di pinggir jalan rahsia yang biasa ditempuh tok penghulu. Lama juga mereka menanti di situ, ditemani bunyi nyaring cengkerik dan suara ‘hut hut’ burung hantu yang bersahut-sahutan.

Hanya sinar rembulan samar-samar menerangi kepekatan malam itu. Deruan enjin sebuah kenderaan mengakhiri penantian mereka. Dari kejauhan, kelihatan pantulan cahaya lampu hadapan sebuah lori semakin menghampiri tempat persembunyian mereka.

Sesusuk tubuh tiba-tiba muncul dari kawasan semak. Tangannya melambai-lambai sebagai isyarat agar pemandu itu berhenti.

“Eh, itu tok penghulu,” bisik Armin.

Dengan pantas, mereka meluru ke arah tok penghulu dan menyerbu pemandu lori itu. Armin bergelut sengit dengan pemandu bertubuh sasa itu. Berkat ketangkasan Armin, lelaki itu berjaya ditundukkan sehingga rebah tidak sedarkan diri. Syafiq dan Roslan pula mengejar tok penghulu yang mula melarikan diri. Tidak lama kemudian, muncul Syafiq dan Roslan dalam keadaan tercungap-cungap.

“Mana tok penghulu?” tanya Armin kehairanan. “Dia dapat meloloskan diri?” sambung Armin tidak puas hati.

“Bukan,” jawab Syafiq sambil cuba mengambil nafas. “Dia terbunuh setelah terpijak jerangkap samar.”

“Siapa yang memasangnya?” Bukan Armin sahaja yang penuh dengan tanda soal, Syafiq dan Roslan turut berasa musykil.

“Sebelum tok penghulu menghembuskan nafasnya, dia ada memberi beberapa petunjuk jika kita hendak selamat. Nanti aku jelaskan. Sekarang, kita perlu beredar dari sini secepat mungkin,” ujar Syafiq.

Mereka menaiki lori dengan segera. Syafiq memandu dengan laju untuk keluar dari kawasan hutan tersebut. Perjalanan mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum mereka menemukan jalan mati. Masing-masing turun daripada lori tersebut. Sejurus kaki mereka menjejak bumi, mereka terpana dengan pemandangan lautan luas yang terbentang di hadapan. Kelihatan sebuah bot kecil yang diikat pada sebatang pohon, terapung-apung di tepian pantai.

“Tok penghulu tidak berbohong,” getus Syafiq. “Kamu semua perlu menaiki bot sebelum fajar menyingsing, menuju ke sebuah pulau berdekatan. Di situ, kamu semua akan selamat.” Pesanan akhir tok penghulu terngiang-ngiang di benak Syafiq.

Perjalanan ke pulau berdekatan mengambil masa kira-kira sejam. Tiada siapa yang bersuara. Masing-masing diselimuti keletihan yang amat. Hanya deruan enjin bot memecah kesepian di belantara lautan, sementara mentari seolah-olah tidak sabar menebarkan cahayanya di langit biru.

Sepanjang perjalanan, pelbagai persoalan menghunjam kotak pemikiran Armin. Dari mana datangnya jerangkap samar? Kenapa tok penghulu tidak beritahu lebih awal tentang jalan keluar dari Lembah Bayur? Siapa yang mengejar mereka sehingga perlu tergesa-gesa untuk beredar?

“Tengok tu!”

Jeritan Roslan menyentakkan Armin dari lamunannya. Masing-masing memandang ke arah langit yang tiba-tiba diterangi kilauan cahaya berwarna biru. Tidak lama kemudian, terdengar suatu dentuman kuat dari arah Lembah Bayur. Masing-masing diterjah kepiluan. Sampai bila sumpahan ini akan berakhir?

Bot yang mereka naiki akhirnya tiba di sebuah pulau. Tiada pepohonan bayur. Hanya pokok-pokok kelapa yang menghiasi pulau itu. Mereka bertekad untuk memulakan kehidupan baru di situ.

****************************

“Senjata pemicu gempa bumi kita telahpun berjaya meranapkan Lembah Bayur dan penduduknya. Apa langkah selanjutnya, Jeneral?” tanya seorang askar bertubuh sasa.

“Bagus! Sudah tiba masanya untuk kita mencuba senjata bio-kimia yang terkini ke atas penduduk lain. Seperti biasa, cuba lantik seorang penghulu yang boleh kita gunakan sebagai perantara. Berikan dia apa saja yang dia inginkan,” ujar sang Jeneral bermisai tebal.

“Malam ini, kita raikan kejayaan kita,” sambungnya lagi sambil tersenyum menyeringai.

  • BIODATA PENULIS






  • Junaidah Baharawi gemar menghasilkan sajak dan cerpen. Beberapa karyanya telah pun disiarkan di akhbar Berita Harian dan juga diterbitkan di dalam beberapa antologi anjuran Perkumpulan Seni Singapura, ASAS 50, Unggun Creative dan Ungu Pen.
  • Beliau menerima hadiah penghargaan untuk cerpen berjudul ‘Lahad’ bagi peraduan ‘Mencari Kristal’ anjuran Berita Harian 2019.
  • Beliau juga merupakan naib juara kategori Cerpen Melayu, Anugerah Pena Emas 2021, untuk cerpen berjudul ‘1945’.
  • Puisi bertajuk ‘Menggapai Al-Falah (Kejayaan)’ telah merangkul Hadiah Penghargaan untuk Sayembara Puisi Islam Asean 2018, anjuran negeri Sabah, Malaysia. Selain itu, puisi berjudul ‘Kabut yang Tersisa’ telah memenangi Top Award untuk kategori dewasa dalam National Poetry Competition anjuran Poetry Festival Singapore 2017.



Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >