Sebelum membuat keputusan menghantar anak kami ke tadika pada usia tiga tahun, ada juga dengar cerita tentang anak-anak teman kami yang sekali sekala enggan ke sekolah.
Biasanya urutannya seperti ini: Ibu bapa menghantar anak ke sekolah buat kali pertama; si kecil mengalami keresahan perpisahan atau ‘separation anxiety’ – menangis sebelum ke sekolah atau enggan langsung ke sekolah – selama beberapa hari (atau mungkin beberapa minggu); dan kemudian bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa dan si kecil mula biasa dengan rutin tersebut.
Bagi anak kami terbalik sikit – minggu pertama tiada air mata yang dititiskan langsung dan dia nampak gembira untuk ke sekolah setiap hari.
Namun minggu berikut, lain ceritanya. Kami sebagai ibu bapa tak keruan hari-hari ke kerja selepas kami menghantarnya ke sekolah kerana rasa macam ‘mendera’ anak setiap pagi.
Meskipun persiapan untuk ke sekolah di rumah berjalan lancar, si kecil yang pada masa itu berusia lebih tiga tahun akan mula menangis sebaik sahaja kami tiba di tempat letak kereta berdekatan sekolahnya.
Ini meskipun waktu berada di sekolah hanya tiga jam sahaja, selepas itu dia boleh balik bermain-main dengan nenek dan datuk yang mengambilnya pulang dari sekolah.
Pada mulanya kami ingat – tak mengapalah; mungkin ini disebabkan keresahan perpisahan yang dialami, berikan dia beberapa minggu lagi, apabila dah ada kawan, okey nanti!
Hari berganti hari, beberapa bulan berlalu, keadaan itu tidak berubah. Katanya, dia tak suka pergi sekolah!
Ada kalanya dalam seminggu, dia akan pergi ke sekolah dua hari atau sehari saja, itu pun masih dengan perasaan sedih yang teramat.
Apabila ditanya mengapa tidak suka ke sekolah, katanya kerana sekolahnya, guru-guru dan teman-temannya semua “not fun” (tidak seronok)!
Tambahnya, teman-teman sekelasnya juga tidak berbual antara satu sama lain, hanya guru yang berbual di dalam kelas.
Adoi, disebabkan keadaan tidak berubah selama beberapa bulan, kami memutuskan mengeluarkannya dari sekolah itu.
‘Fast forward’ lebih setahun kemudian, anak kami kini cukup gembira untuk ke sekolah setiap hari – kadang-kadang dia akan bertanya pada hujung minggu kenapa kami tidak menghantarnya ke sekolah!
Berdasarkan pengalaman ini, kami dapati keserasian anak dengan sekolah memang bergantung kepada beberapa faktor dan keengganannya untuk ke sekolah mungkin juga berpunca daripada faktor lain dan bukan sekadar keresahan perpisahan.
Satu perbezaan ketara yang kami dapat lihat di sekolah barunya sekarang adalah persekitarannya yang lebih ceria – baik daripada sikap guru hingga hiasan sekolah yang tidak ‘malap’.
Tentu sekali, guru memainkan peranan penting dalam memastikan kanak-kanak berasa disayangi dan kedatangan mereka dialu-alukan setiap hari.
Peralihan si kecil dari ruang selesa bersama ibu bapa atau penjaga ke ruang sekolah dengan dia perlu ‘berdikari’ penting untuk ‘diraikan’ dengan keceriaan guru-guru, dan ini jelas dilihat di sekolah barunya.
Ketibaan kanak-kanak di sekolah disambut guru-guru dengan wajah tersenyum dan ucapan ‘selamat pagi’ dengan nada ceria. Ini agak kurang di sekolahnya sebelum ini.
Guru-guru di sekolahnya sekarang juga cukup prihatin, bukan saja dari segi perkembangan akademik malah emosi anak kami.
Selain itu, ruang yang lebih luas untuk bermain juga memainkan peranan. Ini sama juga bagi golongan dewasa. Jika kita bekerja di tempat yang sesak dan sempit, minda kita pun terasa ‘sempit’.
Kanak-kanak di sekolahnya sekarang juga lebih banyak berinteraksi antara satu sama lain, memandangkan ada masa-masa tertentu apabila kanak-kanak di semua peringkat akan bermain dan bergaul bersama.
Barulah kami sedar mengapa sebelum ini “not fun”!
Bagi kami, peringkat awal pendidikan kanak-kanak ini tidak seharusnya terlalu tertumpu kepada bidang akademik dan bukan sekadar mempersiapkannya untuk kemasukan ke Darjah 1.
Keutamaan pendidikan awal ini bagi kami perlu membantu dari segi perkembangan sosial dan emosi si kecil.
Justeru, demi tujuan ini, kami inginkan ruang yang selesa, selamat dan gembira untuknya – dan bukan untuk rasa ‘terseksa’ setiap hari apabila ke sekolah.
“
Bagi kami, peringkat awal pendidikan kanak-kanak ini tidak seharusnya terlalu tertumpu kepada bidang akademik dan bukan sekadar mempersiapkannya untuk kemasukan ke Darjah 1. Keutamaan pendidikan awal ini bagi kami perlu membantu dari segi perkembangan sosial dan emosi si kecil. Justeru, demi tujuan ini, kami inginkan ruang yang selesa, selamat dan gembira untuknya – dan bukan untuk rasa ‘terseksa’ setiap hari apabila ke sekolah.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg