Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

PELBAGAI LALUAN KEJAYAAN BAGI MASYARAKAT MELAYU/ISLAM

Takrifan kejayaan perlu anjakan minda masyarakat

Dec 25, 2021 | 05:30 AM



ANAK-ANAK muda perlu tahu bahawa mereka boleh menjadi seseorang yang berjaya, tetapi kejayaan mereka tidak semestinya seperti kejayaan orang lain.



Adalah penting bagi kita sebagai sebuah masyarakat menyedari bahawa jalan menuju kejayaan amat luas, dan yang lebih utama - garis tamat kejayaan bukan hanya satu.



Baru-baru ini dalam sebuah wawancara eksklusif bersama Berita Harian (BH), Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, berkata perlu ada perubahan budaya dan pemikiran dalam masyarakat dari segi definisi kejayaan kita.



Mesti ada lebih banyak cara masyarakat mentakrifkan kejayaan supaya setiap kanak-kanak boleh mencapai potensi mereka yang sebaiknya berdasarkan kelebihan masing-masing.



Dalam wawancara tersebut, yang telah diterbitkan BH, Encik Chan berkata:



"Apakah definisi kejayaan kita bagi anak-anak kita? Adakah apabila mereka mendapat markah yang baik dalam peperiksaan?"



Semestinya, mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan adalah satu kejayaan tetapi itu bukanlah satu-satunya ukuran kejayaan seseorang kanak-kanak, katanya.



"Bagi saya sebagai seorang bapa, saya selalu menekankan bahawa kesemua anak-anak saya mempunyai kelebihan masing-masing dan mereka memiliki bakat berbeza.



"Dan tugas kita bukanlah untuk memastikan mereka semua mematuhi kayu ukur yang sama.



"Jika kita boleh membantu mereka memahami kelebihan dan kelemahan mereka masing-masing, barulah kita berjaya," ujar beliau.



Memang tidak dinafikan, setiap generasi mahu generasi seterusnya mencapai lebih baik daripada mereka, mengakibatkan jangkaan yang kita letak ke atas bahu anak-anak kita lebih besar daripada jangkaan yang telah diletakkan ke atas bahu kita.



Jika dahulu datuk nenek kita tidak ke sekolah, dapat menyekolahkan anak-anak mereka sudah cukup dianggap suatu kejayaan.



Jika ibu bapa kita setakat lulus Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), anak-anak mereka yang mampu tamat sekolah menengah sudah dianggap berjaya.



Namun hari ini, ramai di antara ibu bapa yang bukan sahaja setakat lulus sekolah menengah atau politeknik, malah berjaya menggenggam ijazah dari universiti.



Bahkan, ada yang sudah pun lulus pengajian pasca sarjana muda mereka.



Jadi, apakah ukur tara kejayaan anak-anak ibu bapa sedemikian?



"Tidak dapat dielakkan, kita akan mempunyai jangkaan yang tinggi dan lebih tinggi bagi anak-anak kita tetapi saya fikir kita harus sentiasa mengingatkan diri kita bahawa setiap anak itu berbeza, kita tidak boleh memaksa mereka dan mengukur mereka pada kayu ukur kejayaan yang sama.



"Sebagai ibu bapa, bukan tugas kita untuk memaksa anak-anak kita mencapai aspirasi kita yang tidak kesampaian kerana mereka berbeza dengan kita," tekan Encik Chan lagi.



Diminta berkongsi pendapatnya berkenaan hal ini, Zamil Kanan Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata:



"Pandangan saya adalah setiap individu itu adalah bistari, namun bagaimana kita boleh mencapai potensi sebenarnya?



"Ada yang mahir dalam sukan bola sepak, ada yang dalam bidang seni, ada pula dalam bidang strategik.



"Saya rasa kita perlu fikir semula tentang takrif kejayaan dan memberi sebanyak ruang mungkin untuk anak-anak kita didedahkan pada pelbagai ilmu dan kemudian mendukung kecenderungan mereka."



KEMAJUAN



Sejujurnya, banyak usaha telah dilakukan Kementerian Pendidikan (MOE) untuk membantu setiap kanak-kanak meneroka dan membangunkan kelebihan masing-masing.



Melebihi bidang akademik, pencapaian dan kejayaan pelajar dalam bidang sukan, seni, kulinari, teknologi dan sebagainya turut dirai dan diiktiraf.



Bahkan, sistem pendidikan yang lebih fleksibel yang membolehkan pelajar memilih mata pelajaran berdasarkan kelebihan masing-masing iaitu Pengumpulan Berdasarkan Subjek (SBB) juga telah diperkenal dan mendapat maklum balas positif.



Dalam usaha mengurangkan penekanan terhadap keputusan peperiksaan, MOE juga telah memperkenal sistem pemarkahan PSLE baru.



Sistem pemarkahan Peringkat Pencapaian (AL) bertujuan mengurangkan perbezaan halus keputusan peperiksaan murid pada usia yang muda, mengiktiraf tahap pencapaian murid tanpa mengambil kira prestasi rakan sebaya mereka dan membolehkan pelajar serta ibu bapa mereka meneroka lebih banyak sekolah menengah, menurut kementerian tersebut.



Namun, satu kementerian sendiri tidak mampu mengubah budaya dan pemikiran yang sudah begitu lama tersemat dalam masyarakat.



MOE boleh membuat pelbagai penukaran dan pengubahsuaian untuk cuba mengubah persepsi ibu bapa tentang kejayaan, tetapi jika ibu bapa tetap berpegang pada ukur tara kejayaan mereka, tiada siapa berdaya melarangnya.



Kata Dr Norshahril:



"Di sekolah-sekolah nasional, selain daripada bidang-bidang ilmu sains, bahasa, matematik, sastera dan sebagainya, kita ada kegiatan kokurikulum (CCA) dalam bidang pancaragam, berbahas dan juga sukan.



"Ini membenarkan kita meraih potensi dan minat dalam aspek-aspek lain.



"Masalahnya, dalam masyarakat kita, masih ada yang mahu tentukan pekerjaan anak-anak kita sejak kecil lagi. Ini akan membataskan potensi mereka."



Mungkin kita sebagai satu masyarakat perlu menunjukkan - dan bukan hanya mengatakan - bahawa kejayaan itu luas dan pelbagai.



Awal minggu ini, BH telah menganjurkan Anugerah Jauhari 2021, menabalkan Allahyarham Sarkasi Said dan Cik Shirin Abdul Hamid sebagai Jauhari tahun ini, dan Cik Kiria Tikanah Abdul Rahman sebagai Jauhari Harapan.



Seorang merupakan ikon kejayaan bidang seni, seorang lagi pakar dalam bidang teknologi dan seorang lagi berjaya dalam arena sukan.



Kesemua mereka merupakan individu-individu yang berjaya, tetapi kejayaan mereka sama sekali tidak serupa.



Menyentuh hal ini, tetamu terhormat majlis Anugerah Jauhari 2021, Menteri Pengangkutan Singapura, Encik S Iswaran, berkata:



"Di luar pencapaian individu, majlis ini juga merupakan peluang untuk kita mengiktiraf pelbagai bakat dan pencapaian masyarakat Melayu/Islam yang lebih luas di Singapura.



"Perjalanan peribadi Tzee (Allahyarham Sarkasi Said), Shirin dan Kiria, menggambarkan pelbagai laluan menuju kejayaan... sama ada dalam bidang seni, sukan, kewangan, sains, kejuruteraan atau teknologi."



Meraikan kejayaan dalam apa jua bentuk kejayaan tersebut tidak akan merugikan masyarakat.



Sebaliknya, membatasi definisi kejayaan kita bukan sahaja akan melambatkan kemajuan, malah merupakan ketidakadilan kepada bakat dan potensi yang ada dalam diri setiap daripada kita.




"Pandangan saya adalah setiap individu itu adalah bistari, namun bagaimana kita boleh mencapai potensi sebenarnya? Ada yang mahir dalam sukan bola sepak, ada yang dalam bidang seni, ada pula dalam bidang strategik. Saya rasa kita perlu fikir semula tentang takrif kejayaan dan memberi sebanyak ruang mungkin untuk anak-anak kita didedahkan pada pelbagai ilmu dan kemudian mendukung kecenderungan mereka."
- Zamil Kanan Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat.




INFOGRAFIK: Cemerlang dalam pelbagai bidang




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >