Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Tanam rasa bersalah jika tidak jaga kesihatan

Oct 08, 2023 | 05:30 AM



Satu perangkaan yang dibentangkan baru-baru ini menggambarkan masyarakat Melayu dibebani dengan satu lagi masalah baru berhubung kesihatan – masalah mental.

Statistik Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NPHS) itu menunjukkan jumlah orang Melayu mengalami masalah kesihatan mental lebih tinggi berbanding kaum lain.

Hampir seperlima, atau 19.5 peratus, orang Melayu yang ditinjau mengalami masalah kesihatan mental berbanding kaum Cina (16.4 peratus) dan India (15.7 peratus) pada 2022.

Jumlah warga Singapura berbangsa Melayu yang mengalami masalah kesihatan mental pada 2022 juga meningkat daripada 16.3 peratus pada 2020.

APA DAH JADI? APA NAK JADI?

Menurut kajian, masalah kesihatan mental turut mempunyai kesan terhadap aspek kesihatan lain.

Beberapa perangkaan lain yang pernah dibentangkan seperti mengesahkannya – orang Melayu paling tinggi dalam beberapa masalah kesihatan lain seperti obesiti (kegemukan), darah tinggi dan kencing manis.

Satu laporan awal memaparkan masyarakat Melayu paling ‘gemuk’ – sekitar 26.2 peratus mengalami masalah kegemukan berlebihan atau obesiti berbanding masyarakat Cina (7.9 peratus) dan India (21.3 peratus).

Hampir separuh masyarakat Melayu – sebanyak 46 peratus – yang ditinjau mempunyai risiko indeks jisim tubuh (BMI) tinggi berbanding 16.5 peratus daripada masyarakat Cina dan 35.7 peratus daripada masyarakat India.

Berat badan berlebihan bukan sahaja menjadi punca banyak penyakit kronik seperti kencing manis, bahkan menjejas emosi, mental dan kewangan.

Sehubungan dengan itu, satu laporan menyatakan kadar tekanan darah tinggi di kalangan masyarakat Melayu naik dari 37.5 peratus pada 2019-2020 kepada 40.5 peratus pada 2021-2022 – lebih tinggi berbanding masyarakat Cina (37.3 peratus) dan India (30.9 peratus).

Sebaliknya, kadar Melayu yang bersenam secara kerap ialah 15 peratus (paling rendah) berbanding kaum lain.

Isu-isu kesihatan ini secara berasingan mungkin tidak terlihat dengan jelas.

Tetapi apabila dikumpul dan dipakejkan, ia menampakkan betapa besarnya isu kesihatan bersabit dengan masyarakat Melayu.

Perangkaan seperti ini harus menyentak, menggoncang kesedaran dan bertanya beberapa soalan seperti yang terkandung dalam lirik lagu Allahyarham S.M. Salim: ada dah jadi, apa nak jadi?


Ia juga harus mendorong beberapa soalan lanjut – kenapa begitu, di mana silapnya, apa implikasinya, dan apa huraiannya.

DI MANA SILAPNYA?

Pakar psikologi klinikal yang juga pengasas ImPossible Psychological Services, Encik Muhammad Haikal Jamil, dalam satu laporan menyatakan bahawa faktor sosiobudaya, termasuk tahap pendidikan, sokongan keluarga dan tahap pendapatan boleh menyumbang kepada tahap kesihatan mental.

Banyak faktor yang telah diketengahkan oleh pakar, doktor dan pengamat kesihatan merangkumi sikap berhubung pemakanan – suka makan, tidak ambil berat apa yang dimakan, tidak mengawal jumlah makanan yang dimakan.

Ia juga ada kaitan dengan gaya hidup – kurang upaya kawal nafsu makan, suka keluar makan, menonton sambil makan, hadir dalam acara dan majlis yang disertai hidangan makanan.

Faktor lain termasuk tidak cenderung bertemu doktor untuk mengawasi dan memeriksa tahap kesihatan dan kurang bersenam.

IMPLIKASI

Masalah kesihatan yang bertambah dan melebar itu mempunyai pelbagai implikasi.

Antaranya dari segi kos. Kos rawatan tidak murah. Ia akan lebih menjejas peruntukan bajet diri dan keluarga jika memerlukan rawatan sepanjang hayat seperti dialisis dan ubat-ubatan.

Sakit kronik menjejas mutu dan gaya hidup – menyusahkan diri dan anggota keluarga. Nikmat hidup terjejas. Begitu juga nikmat melakukan amal ibadah.

Ini sudah dapat dilihat di banyak tempat – antara lain, berkerusi roda untuk ke kedai dan pasar; dan bertambahnya jemaah yang memerlukan kerusi ketika solat Jumaat di banyak masjid.

Dan jika sukar bergerak atau tidak berupaya mengurus diri sehingga memerlukan bantuan, pesakit sama ada dihantar ke hospis atau mendapatkan khidmat pembantu rumah, dan ini bermakna kos.

Perangkaan menunjukkan bahawa permintaan bagi khidmat penjagaan paliatif, termasuk dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam, telah meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan sedang penduduk negara ini semakin menua.

APA HURAIANNYA?

Banyak yang telah dianalisis dan diperkatakan mengenai punca dan bagaimana menanganinya oleh doktor, pakar pemakanan, pengamat dan penganalisis masyarakat.

Paling sering diuar-uarkan ialah amalkan gaya hidup sihat – jaga makan dan bersenam.

Namun, ia lebih mudah cakap daripada berbuat.

Ramai sudah tahu perlunya jaga makan dan bersenam tapi ramai yang kurang ambil berat, tidak atau belum melakukannya – bagai masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Lantaran itulah perangkaan berhubung masalah kesihatan bukan sahaja berterusan malah semakin mencengkam.

Ia bermakna tahu sahaja tidak akan mengubah keadaan. Terlebih penting ialah kesedaran mendalam mengenai isu kesihatan, kesedaran yang boleh membuat diri berasa bersalah sehingga membawa kepada perubahan sikap, dan terdorong untuk bertindak – mengamalkan gaya hidup sihat, mengawasi pemakanan dan bersenam.

Sebagai orang Melayu yang umumnya beragama Islam, antara tanggungjawab ialah menjaga amanah.

Menjaga dan melaksanakan anjuran agama dan meninggalkan perkara dilarang adalah amanah; bertanggungjawab pada diri dan keluarga adalah amanah; dan menjaga kesihatan dan kesejahteraan tubuh badan supaya dapat mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa adalah amanah.

Agama juga telah memberi panduan mudah, yang jika diamalkan, akan membantu menjaga kesihatan tubuh, iaitu memerhatikan aspek halalan toyyiban (halal dan baik); dan mengamalkan pendekatan sederhana dalam banyak hal termasuk makan. Aspek ‘baik’ banyak kupasannya, dengan natijah mengelak kemudaratan dan membawa banyak kebaikan.


Sejajar dengan itu, satu daripada rukun Islam ialah puasa di bulan Ramadan, mempunyai aspek ubudiah (ketaatan) dan kesihatan. Dapatan sains dan pelbagai telah membuktikan banyak faedah kesihatan tubuh badan dengan berpuasa.


Maka itu, selain puasa wajib, terdapat pelbagai amalan puasa sunat yang boleh dimanfaatkan seperti seperti puasa Isnin dan Khamis, puasa ‘hari putih’ pada pertengahan bulan Islam, puasa berselang hari Nabi Daud as, dan beberapa puasa sunat yang lain.


KESIMPULAN

Soal punca, kesan dan huraian berhubung masalah kesihatan bukan baru. Ia sudah banyak dan sudah lama diperkatakan. Pelbagai perangkaan telah dibentangkan, penjelasan dibuat, seruan dan nasihat disampaikan oleh pakar kesihatan dan pemimpin tentang peri perlunya menjaga kesihatan. Walau ramai sudah tahu, perangkaan dan laporan menunjukkan masalah kesihatan di kalangan masyarakat Melayu bukan sahaja masih berlaku malah semakin membesar.

Maka itu, tahu sahaja tidak cukup. Ia mesti diiring dengan kesedaran yang membawa kepada tindakan dan perubahan sikap.

Perubahan memerlukan usaha. Ayat Al-Quran menyatakan bahawa “... Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri...” (rujuk surah Ar-Ra’d ayat 11).

Di Singapura, banyak yang sudah dibentangkan untuk dimanfaatkan. Pemerintah misalnya giat mempromosi gaya hidup sihat, termasuk membentuk Pasukan Bertindak HealthySG bagi meningkatkan lagi usaha menggalak gaya hidup sihat dan menggalak masyarakat menyokong usaha tersebut.

Dalam konteks Singapura, ia sangat penting kerana masyarakat semakin cepat tua dengan pelbagai implikasi kesihatan yang berkait dengannya.

Menjaga kesihatan adalah amanah. Maka itu, harus ada rasa kesal pada setiap diri jika kita tidak menjaga atau gagal melaksanakan amanah menjaga kesihatan.

Usah terhantuk baru tengadah, jangan sudah tua dan sakit baru tersedar dan kesal.

Mulakan pada usia muda, demi kesejahteraan diri, agama, bangsa dan negara.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >