Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

CATATAN WARTAWAN

Terap tabiat belanja anak dengan baik sejak kecil

Ibu bapa main peranan penting didik anak dalam celik kewangan, tunjuk contoh baik
Feb 07, 2022 | 05:30 AM



SI kecil meminta dibelikan permainan semasa anda sekeluarga keluar membeli-belah.



Seperti biasa, anda cuba menjelaskan mengapa mainan itu tidak dibeli tapi anak anda hanya menjatuhkan diri ke lantai, meraung, menangis dan memohon agar anda membeli mainan tersebut untuknya.



Lebih lama lagi anda menidakkannya, semakin kuat dia menjerit.



Mungkin ini senario yang biasa dialami ibu bapa anak kecil dan ramai yang akan mengatakan bahawa menjadi perkara biasa anak-anak bersikap seperti itu kerana mereka masih muda dan tidak memahami nilai wang.



Namun, tidak ramai yang mengambil langkah memastikan anak-anak dilengkapkan dengan kemahiran menguruskan wang pada usia kecil lagi.



Adakah ini kerana kita berpendapat topik berkaitan wang hanya boleh dibincangkan dalam kalangan orang dewasa.



Atau mungkin kita, sebagai ibu bapa, tidak bijak dalam menguruskan perihal kewangan juga.



Kebanyakan kita hanya celik kewangan apabila kita memasuki alam pekerjaan dan kita hanya belajar daripada percubaan dan kesilapan.



Bagaimanapun, celik kewangan ialah kemahiran hidup yang penting buat masa hadapan.



Justeru, tabiat berbelanja dengan baik perlu diterapkan dalam diri anak-anak kita sejak mereka kecil lagi.



Satu kajian pada 2013 oleh Universiti Cambridge menunjukkan bahawa kanak-kanak sudahpun bersedia belajar tentang celik kewangan daripada 5 tahun hingga 7 tahun.



Pada usia ini, mereka akan melihat dan mempelajari daripada perbelanjaan ibu bapa mereka.



Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak dalam celik kewangan dan juga sebagai contoh yang baik kepada anak mereka.



Sehubungan itu, mereka perlu menetapkan contoh yang sihat supaya kanak-kanak lebih cenderung mengikutinya apabila mereka dewasa.



Sebagaimana kita sentiasa menekankan kepentingan pendidikan awal kanak-kanak, pemikiran kritikal kanak-kanak dan kebolehan membuat keputusan adalah sebahagian besar daripada faktor yang mempengaruhi 'tabiat minda' mereka.



Menanam benih celik kewangan dalam minda anak anda ketika mereka masih muda dapat membantu mereka membina asas yang kukuh untuk masa depan mereka.



Pembelajaran terbaik buat kanak-kanak ialah melalui aplikasi harian dan ini dapat dilakukan dengan meletakkan kepercayaan kepada mereka untuk menguruskan wang secara bertanggungjawab.



MEMBELI-BELAH



Anda boleh menukarkan kegiatan membeli-belah menjadi pengalaman yang menyeronokkan untuk anak-anak.



Daripada hanya melihat barang-barang, tunjukkan kepada mereka harga yang berlainan produk yang sama dan minta mereka membandingkan nilai yang berbeza.



Amanahkan si kecil membuat pembayaran dan kira baki supaya mereka dapat mengalami rasa menggunakan wang sebagai pertukaran untuk mendapatkan sesuatu barang.



Bagi kelainan, setiap kali anda pergi berkelah di pantai, tugaskan mereka menyenaraikan apa yang mereka perlukan, beri mereka bajet dan biarkan mereka merancang senarai belanja mereka sendiri! Ini mengajar mereka akan nilai wang, disiplin diri dan cara berbelanja.



TABUNG SIMPANAN SENDIRI



Walaupan dianggap sangat tradisional, tabung simpanan masih merupakan alat pengajaran yang indah bagi menunjukkan kepada anak-anak bagaimana wang dapat bertambah.



Beri mereka beberapa duit syiling atau elaun setiap hari dan biarkan mereka memasukkannya ke dalam tabung.



Pada akhir bulan itu, ajak mereka mengosongkan balang tabung dan menghitung wang itu. Anda boleh membawanya keluar untuk membeli sesuatu yang kecil dengan wang itu.



FUNGSI BANK



Anak-anak mungkin sering melihat kita mengeluarkan wang daripada mesin ATM atau menggunakan kad kredit untuk membayar sesuatu perbelanjaan, tetapi mereka akan mendapatinya sukar memahami bagaimana transaksi perbankan sebenarnya berfungsi.



Mereka mungkin fikir bahawa wang itu akan diberikan secara percuma kepada anda apabila anda pergi ke mesin ATM.



Bawa mereka ke bank dan buka akaun simpanan dengan mereka boleh meletakkan simpanan mereka ke dalam satu akaun mereka sendiri.



Tunjukkan kepada mereka bagaimana ia berfungsi dan bagaimana perbankan dalam talian juga berfungsi.



Dalam pada itu, penting bagi ibu bapa sedar mereka memainkan peranan penting dalam memupuk anak mereka menjadi orang yang celik kewangan, justeru contoh yang baik perlu dipaparkan dan mereka juga perlu pandai merancang kewangan.



Tabiat kewangan yang baik sememangnya penting kerana tanpanya wang sebanyak mana sekalipun boleh dibelanjakan tanpa perancangan sistematik, dan ini mungkin membawa padah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >