Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

UPLIFT bantu murid kurang bernasib baik capai potensi

Jun 30, 2021 | 05:30 AM



MEMBERI perhatian sepenuhnya pada pembelajaran anak memang sukar bagi Cik Sulijawati Ramli. Selain sibuk menjaga keperluan lapan anaknya, seorang suri rumah ini perlu memberi perhatian pada hal lain dalam rumah tangga.



Oleh itu, berhubung kerja sekolah anak-anaknya, Cik Sulijawati hanya mampu membantu sedaya mungkin.



Mujur baginya, dua anaknya di sekolah rendah menyertai program di Pusat Jagaan Pelajar (SCC) di Sekolah Rendah Marsiling. Maka kesemua kerja sekolah Muhammad Azfar Putra Muhammad Ali Putra, sembilan tahun, dan adiknya, Putri Nur Nusaibah Muhammad Ali Putra, tujuh tahun, sudah diselesaikan tatkala mereka pulang ke rumah.



"Ini memberi saya masa untuk memberi tumpuan ada adik-adik mereka yang masih kecil, selain mengurus hal rumah. Jadi, apabila di rumah, kedua-dua mereka dapat makan dan bermain dengan adik-beradik lain atau mengulang kaji pelajaran mereka," kata Cik Sulijawati, 37 tahun.



Azfar dan Nur Nusaibah akan berada di SCC itu sejurus selepas sekolah hingga 6 petang dari Isnin hingga Jumaat. Selain mendapat pemantauan setiap kali mereka lakukan kerja sekolah, pelajar di SCC tersebut juga didedahkan kepada pelbagai kegiatan yang disediakan.



Cik Sulijawati mempunyai empat lagi anak lelaki berusia antara 13 dengan 17 tahun dan dua lagi anak perempuan berumur tiga dan lima tahun.



Menurut Cik Sulijawati, Azfar kini seorang pelajar yang lebih berdikari - tanpa perlu diberitahu akan tanggungjawabnya membuat persediaan sebelum ke sekolah.



"Saya lihat dia juga lebih yakin semasa bertutur sejak masuk SCC sekitar dua tahun lalu. Azfar juga lebih gemar sertai kegiatan di SCC seperti melukis, mewarna dan kegiatan sukan. "Saya juga harap Nur Nusaibah mampu berdikari seperti abangnya," kata Cik Sulijawati.



Menurut Azfar, beliau gemar ke SCC kerana kegiatan yang diadakan bermacam-macam.



"Saya memang suka melukis, mewarna dan paling seronok bila ada kegiatan di luar," katanya.



Seorang lagi pelajar, Muhammad Huwaidi Na'el Muhammad Fairizul, sembilan tahun, juga telah meraih manfaat hasil penyertaannya dalam SCC di Sekolah Rendah Xishan.



Ini dinyatakan sendiri oleh ibunya, Cik Nurul Raziyanah Razak, 32 tahun, yang mendapati pelajaran anaknya itu kian bertambah baik, hasil bimbingan guru di SCC tersebut.



SOKONGAN UPLIFT



Bantuan yang diberi SCC tidak mungkin menjadi kenyataan jika tidak kerana sokongan yang diberi UPLIFT (Uplifting Pupils in Life and Inspiring Families Taskforce atau Pasukan Bertindak bagi Memberi Sokongan Kepada Pelajar dan Memberi Inspirasi Kepada Keluarga).



UPLIFT, yang merupakan sebuah pasukan bertindak antara kementerian, dipimpin Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman.



Antara sokongan yang diberi UPLIFT ialah menyelaraskan pendaftaran ke SCC.



Secara proaktif, pihak sekolah mendekati keluarga dengan menggalak mereka mendaftarkan anak-anak ke SCC dan bekerjasama dengan keluarga untuk sama-sama menangani sebarang cabaran yang dihadapi semasa hendak berdaftar.



Di bawah naungan UPLIFT juga, disediakan program GEAR-UP (Guiding & Empowering students for Affiliation & Resilience to Unlock their Potential atau Membimbing dan mengupayakan pelajar untuk berdaya bingkas dan membina hubungan bagi mengenal pasti potensi mereka) yang bertujuan menyediakan sokongan khusus dan program selepas sekolah yang lebih menyeluruh kepada pelajar daripada keluarga kurang bernasib baik.



Sebahagian usaha UPLIFT termasuk UPLIFT Community Pilot (Program Perintis Masyarakat UPLIFT) yang dilancarkan pada Januari tahun lalu dan kini disediakan di Kawasan Boon Lay, Bukit Merah, Kreta Ayer dan Woodlands.



Di bawah projek perintis ini, pihak sekolah akan mengenal pasti pelajar kurang bernasib baik dengan tanda-tanda awal ponteng sekolah.



Mereka kemudian akan disalur kepada seorang Penyelaras UPLIFT Peringkat Bandar (TLC) di Pejabat Khidmat Sosial.



Penyelaras itu kemudian akan berhubungan dengan pelajar tersebut serta keluarga mereka untuk dihubungkan dengan program serta sumber setempat yang sesuai buat mereka.



Sejauh ini maklum balas yang diterima amat positif, dengan lebih banyak sekolah serta pelajar turut menyertai projek perintis itu.



Antara penyelaras itu termasuk Encik Selvakumar Simon, yang telah menjadi penyelaras dan pendamping kepada sekitar 70 pelajar kepada program dan sokongan setempat yang diperlukan, bagi kawasan Woodlands.



"Kini saya juga dapat mendampingi dan menyalurkan mereka kepada program yang sesuai buat pelajar itu dengan lebih baik," katanya.



Salah seorang pelajar yang didampinginya, Nazuanday Haziq Jazuli, 16 tahun, kini didapati tidak lagi ponteng sekolah selepas mendapat sokongan daripada Encik Selvakumar.



Ibunya, Cik Siti Norbayah Sabran, 41 tahun, berkata: "Encik Selvakumar salurkan Nazuandy kepada beberapa pendamping yang turut sama memberinya nasihat tentang sikapnya selain tanggungjawabnya.



"Kini selepas dua tiga bulan, dia sudah mula menunjukkan perubahan yang positif," tambah ibu lima anak itu lagi.



  • Rencana ini dibawakan oleh Kementerian Pendidikan (MOE).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >