Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Kesihatan mental & belia

Usah malu dapatkan bantuan; golongan belia tidak seharusnya hadapi tekanan seorang diri

Pakar: Pandemik turut jejas kesihatan mental golongan muda yang tertekan akibat pelbagai faktor seperti soal pendidikan, masalah keluarga atau rakan sebaya; tekanan di alam siber juga tidak harus dipandang ringan
Aug 05, 2021 | 05:30 AM



Baru-baru ini, kejadian malang membabitkan pembunuhan seorang pelajar yang berlaku di Sekolah Tinggi River Valley telah meletakkan fokus terhadap isu kesihatan mental golongan belia. Hal tersebut dibahaskan di Parlimen, dibincangkan di media-media tradisional dan sosial serta di sekolah-sekolah. BERITA HARIAN merumuskan isu yang hangat diperkatakan itu.




TEKANAN yang dihadapi warga akibat pandemik Covid-19 yang telah pun kita lalui hampir dua tahun ini bukan sahaja menjejas daripada segi mental bagi golongan dewasa tetapi juga mempunyai kesan ke atas para belia.



Berita mengenai belia yang cuba membunuh diri di landasan MRT atau kejadian pembunuhan yang berlaku di Sekolah Tinggi River Valley memberi gambaran tentang tahap tekanan mental yang dihadapi golongan belia.



Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan mental diklasifikasikan sebagai keadaan kesejahteraan di mana individu sedar akan keupayaannya sendiri, dapat mengatasi tekanan kehidupan, serta merupakan seorang yang produktif, bermanfaat dan mampu memberi sumbangan kepada masyarakat.



Kesihatan mental juga bukan sahaja merangkumi kesejahteraan psikologi, tetapi dari segi emosi dan sosial seorang remaja.



Ini dapat mempengaruhi pemikiran, perasaan dan tingkah laku mereka.



Menurut Hab Belia AMP Singapura, hampir semua belia yang datang ke pusat mereka mengalami tekanan dalam kehidupan mereka terutama sepanjang pandemik ini.



Antara tekanan yang mereka hadapi termasuk daripada rakan sebaya, masalah imej badan, dibuli oleh rakan sekolah, masalah keluarga, kewangan keluarga, tekanan daripada ibu bapa, prestasi akademik dan mencari pekerjaan sebagai permulaan kerjaya.



Dengan pendedahan lebih meluas terhadap media sosial terutama dalam pandemik ini, tekanan akibat dibuli di alam siber juga menjadi antara penyumbangnya.



Penolong Pengurus Hab Belia AMP Singapura, Cik Shazana Sharif, 35 tahun, menjelaskan bahawa masalah kesihatan mental berlaku apabila terdapat masalah yang membelenggu dan mempengaruhi kehidupan harian seseorang.



"Apabila remaja tersebut tidak dapat mengatasi masalah mereka dengan baik, besar kemungkinan masalah lain akan timbul seperti sukar untuk tidur, kegelisahan dan perubahan emosi.



"Ini semua boleh menyebabkan gangguan perasaan dan mental dari masa ke masa," ujarnya.



Dia menambah meski ada remaja yang mampu mengawal tekanan yang dihadapi, terdapat juga yang memerlukan bantuan dan sokongan tambahan.



"Walaupun sebahagian daripada mereka dapat mengawal emosi mereka dengan baik, ada juga yang memerlukan campur tangan yang lebih mendalam seperti sesi kaunseling yang berpanjangan atau terapi lanjutan dari pakar," katanya lagi.



Cara seseorang belia menangani sesuatu tekanan juga berbeza, tambah Cik Shazana.



Sebilangan remaja menangani stres dengan cara yang positif seperti membaca buku atau artikel yang berbentuk motivasi, mengarang lirik lagu, bernyanyi, meluahkan isi hati melalui wadah media sosial atau berkongsi masalah dengan rakan sebaya.



Namun ada juga sebahagian remaja yang menghadapinya secara negatif seperti melibatkan diri dalam aktiviti seksual, buli, geng dan mengambil bahan-bahan terlarang seperti dadah atau ubat tidur.



"Ada juga yang lebih ekstrem dan cuba untuk mencederakan diri sendiri," katanya lagi.



Walaupun demikian, Pakar sistemik Akademi SYM Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Encik Ahmad Zaki Mohamed Khalid, 31 tahun, menekankan isu kesihatan mental tidak semestinya akibat tekanan sahaja kerana terdapat pelbagai faktor yang boleh menjejas kesihatan mental seseorang.



"Tetapi, tekanan itu akan menjadi lebih teruk dan jika tidak ditangani dengan cara yang membantu bagi jangka masa yang panjang, ia boleh berubah menjadi isu kesihatan mental," katanya.



Sebagai contoh, Encik Zaki berkata seorang pelajar mungkin menunjukkan simptom kemurungan seperti mood rendah dan hilang selera makan selepas tempoh jangka masa yang lama, akibat terkial-kial dalam pelajaran dan sering mendapat gred yang teruk dalam ujian meski telah gigih berusaha.



Dia juga menambah walaupun Akademi SYM tidak mendapati kenaikan jumlah kes belia berkaitan dengan kesihatan mental tetapi lebih ramai ibu bapa yang tampil untuk mengetahui tentang khidmat kaunseling dan terapi psiko dengan niat untuk merujuk anak mereka kepada khidmat tersebut.



Ditanya apakah jenis nasihat yang boleh diberikan kepada belia yang mungkin menghadapi tekanan sehingga menjejas kesihatan mental mereka, Encik Zaki berkata bahawa nasihat umum tanpa menimbangkan faktor luaran lain yang dihadapi individu, memandangkan setiap individu mempunyai situasi yang berbeza-beza, mungkin tidak akan membantu.



"Bagi mereka yang berasa terlalu tertekan, kami sarankan agar dapatkan bantuan dan sokongan daripada orang yang terdekat dengan anda yang boleh anda kongsi isu secara terbuka dan selamat tanpa dipandang serong," kata Encik Zaki sambil menambah bahawa belia boleh mendapatkan bantuan daripada pelbagai badan Melayu/Islam termasuk Akademi SYM PPIS sendiri.



Akur, Cik Syazana juga menasihati belia bahawa mereka tidak seharusnya menghadapi tekanan sendirian.



"Mereka digalakkan untuk meminta bantuan dari guru, kaunselor atau orang dewasa yang boleh memberikan impak yang positif," katanya lagi.




BANTUAN TERSEDIA



Talian Kesihatan Nasional: 1800-202-6868 (8 pagi - 12 tengah hari)



Talian Bantuan Kesihatan Mental Institut Kesihatan Mental (IMH): 6389-2222 (24 jam)



SYM Academy PPIS: 6745-0613 (Isnin hingga Jumaat, 8.30 pagi hingga 6 petang)



Hab Belia AMP: 6416-3990/ 6416-3963 (Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 6 petang) atau e-mel youth@amp.org.sg



Samaritans of Singapore: 1800-221-4444 (24 jam) / 1-767 (24 jam)



Persatuan Kesihatan Mental Singapura: 1800-283-7019 (Isnin hingga Jumaat, 9 pagi - 6 petang)



Silver Ribbon Singapore: 6386-1928 / 6509-0271 (Isnin hingga Jumaat, 9 pagi - 6 petang)



TOUCHline (Kaunseling): 1800-377-2252 (Isnin hingga Jumaat, 9 pagi - 6 petang)




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >