DARIPADA dituduh meniru idea serta rekaan jenama lain hinggalah dikritik kerana tidak 'fasih' berbahasa Melayu oleh netizen, usahawan Vivy Yusof sudah lali menjadi bahan kritikan netizen.
Namun, sebagai usahawan pempengaruh yang memaparkan perjalanan hidup dan juga perniagaannya bagi 'tontonan' masyarakat umum, ini sesuatu yang beliau jangkakan dan bersedia menghadapi.
Pelopor jenama dUCK - yang dikenali menerusi selendang premium yang diperbuat daripada fabrik mewah seperti buluh dan sutera - berkata komen serta kritikan daripada netizen sudah mula diterima sejak beliau berkongsi tentang kehidupannya melalui blog sekitar lebih 10 tahun lalu.
"Saya bermula sebagai blogger, jadi sejak dulu lagi orang ramai sudah tahu tentang hidup saya.
"Sudah tentunya tak akan ada kehidupan yang sempurna kerana memang sebagai manusia kita akan banyak lakukan kesilapan.
"Malangnya, bagi saya apabila saya lakukan kesilapan itu semua orang akan tahu dan ada pihak yang akan membesarkan perkara tersebut.
"Saya faham, ini terjadi kerana mereka kecewa, kerana saya juga amat kecewa apabila perkara seperti ini terjadi," katanya semasa ditemu ramah Berita Minggu (BM) melalui podcast #NoTapis baru-baru ini.
Anggota masyarakat menghargai ketelusan dan kejujuran, tambahnya, dan menegaskan bahawa apabila sebarang isu atau masalah timbul, beliau dan pasukannya akan berusaha sedaya upaya mencari jalan untuk memperbaiki keadaan.
Malah, langkah beliau menubuhkan dUCK turut menerima kritikan daripada sesetengah pihak yang merasakan harga yang diletakkan pada tudung yang dijual di bawah jenama itu terlalu tinggi dan tidak dimampui, sedangkan matlamat utama tudung adalah untuk menutup aurat wanita.
Membidas kecaman tersebut, Cik Vivy, atau nama penuhnya Vivy Sofinas Yusof, berkata tidak semestinya semua hal yang berkaitan dengan agama perlu diletakkan harga yang rendah.
"Mengapa orang Islam tak boleh inginkan 'luxury'? Kerana kita diajar agar terus meletakkan aspirasi untuk menjadi lebih baik dalam apa jua yang dilakukan.
"Daripada sudut perniagaan juga, ini satu keputusan berasas, kerana dalam pasaran yang lebih dimampui memang sudah banyak jenama tudung lain.
"Jadi, untuk apa kita buat benda sama apabila kita boleh wujudkan jenama orang Islam yang mewah, atau 'luxurious', dan mempunyai aspirasi tinggi," ujarnya.
Tambahnya, impiannya adalah mahu membina kumpulan jenama fesyen sopan yang dapat mencecah arena global dan menarik perhatian pelanggan seluruh dunia.
Ini termasuk membangunkan jenama-jenama yang lebih dimampui, termasuk jenama Lilit yang kini diusahakannya di samping dUCK.
Perjalanannya mengharungi laluan berliku sejak tercetusnya idea bagi wadah e-dagang FashionValet (FV) hingga tertubuhnya Kumpulan dUCk diceritakan sepenuhnya dalam buku berjudul The First Decade: My Journey from Blogger to Entrepreneur yang ditulisnya sendiri.
Menerusi buku ini, beliau berharap dapat memenuhi tanggungjawab sebagai 'pempengaruh' dalam mendedahkan bahawa "tidak semuanya sempurna seperti yang dilihat di media sosial".
"Memang dalam talian kita sering lihat, wah seronok betul kehidupan sesetengah orang gembira selalu, keluarga mereka juga sempurna.
"Bagi saya, saya perlu tanggungjawab untuk beritahu perkara sebenar, dan saya lakukan melalui buku ini.
"Memang mustahil ada orang yang kehidupannya sempurna, pasti ada turun naik, risiko yang dihadapi, kesilapan yang dilakukan," katanya.
Nasihatnya - jangan sesekali 'mengagungkan' personaliti yang dilihat di media sosial.
Tambahnya:
"Memang kita boleh melihat dan cuba meniru apa yang baik dilakukan oleh individu-individu tertentu.
"Tapi yang lebih penting adalah tidak mengubah diri kita berdasarkan apa yang kita lihat di media sosial, kerana kita tidak tahu apa yang berlaku di sebalik tabir."
Dengarkan perkongsian penuh Cik Vivy dengan mengikuti podcast #NoTapis di Spotify, laman beritaharian.sg/podcast, atau imbas kod QR yang tertera.
"Saya bermula sebagai blogger, jadi sejak dulu lagi orang ramai sudah tahu tentang hidup saya. Sudah tentunya tak akan ada kehidupan yang sempurna kerana memang sebagai manusia kita akan banyak lakukan kesilapan. Malangnya, bagi saya apabila saya lakukan kesilapan itu semua orang akan tahu dan ada pihak yang akan membesarkan perkara tersebut. Saya faham, ini terjadi kerana mereka kecewa, kerana saya juga amat kecewa apabila perkara seperti ini terjadi." - Cik Vivy Yusof.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg