Topik diikuti
Pergi ke BHkuUtamakan sedekah, zakat untuk dapat berkat Ramadan

Utamakan sedekah, zakat untuk dapat berkat Ramadan
BULAN Ramadan merupakan salah satu bulan Islam yang sangat dinanti-nantikan oleh umat Islam seluruh dunia.
Pada bulan yang mulia ini setiap yang beragama Islam di seluruh pelusuk dunia akan bersatu menjalankan perintah Allah swt iaitu berpuasa.
Tambahan pula, pada bulan yang penuh barakah inilah, Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad saw yang mana ia jatuh pada salah satu daripada 10 malam terakhir Ramadan, iaitu lailatulqadar.
Sepanjang malam Al-Qadr, setiap yang beribadah kepada Allah dan beramal soleh akan berganda ganjarannya seperti beribadah selama seribu bulan.
Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan dalam kitabnya yang bermaksud:
"Carilah lailatulqadar pada 10 malam terakhir dari bulan Ramadan."
Setiap amalan yang kita lakukan sudah dijanjikan ganjaran oleh Allah swt.
AMALAN BERGANDA DALAM RAMADAN
Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang mana Nabi saw telah menyampaikan kepada umat Islam bahawa tiap-tiap amalan yang dilaksanakan pada bulan Ramadan ini akan mendapat ganjaran yang berganda.
Nabi saw bersabda yang bermaksud:
"Setiap amal manusia akan menerima ganjaran kebaikan sehingga 700 kali ganda. Allah Azza Wa Jalla berfirman: Kecuali puasa, kerana puasa itu untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya." (Riwayat Imam Bukhari).
Daripada hadis ini, dapat kita lihat akan besarnya rahmat dan kasih sayang Allah swt buat hamba-hambaNya.
Tidak kira sebesar atau sekecil mana amalan kita, pasti akan Allah swt balas dengan sebaik-baik dan sebesar-besar ganjaran.
Sesungguhnya tidak dapat dijangkau seberapa banyak ganjaran yang kita peroleh kecuali ia hanya diketahui oleh Allah swt.
RASULULLAH LEBIH DERMAWAN PADA RAMADAN
Selain itu, pelbagai amalan telah Nabi saw ajarkan kepada kita. Antara amalan yang sering Nabi saw laksanakan dalam dan luar bulan Ramadan adalah bersedekah.
Disebabkan amalan ini sering Nabi saw lakukan, Nabi dikenali dengan sikap dermawan.
Bermacam-macam hadis dan kisah-kisah sejarah yang dapat kita pelajari bagi mendapatkan pengajaran dan juga untuk kita teladani sifat dermawan Nabi saw.
Antaranya ialah hadis yang bermaksud:
"Rasulullah saw adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan pada bulan Ramadan, saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al-Qur'an." (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
Dengan itu, tidak dapat disangkal lagi akan kemurahan hati Nabi saw sepanjang hayatnya dan sunnah bagi kita untuk berusaha meneladani dan melaksanakan amalan yang dilakukan jika dalam kesulitan.
Amalan bersedekah sering dikaitkan dengan pemberian wang ringgit semata-mata.
Namun sebenarnya, sedekah itu merupakan amalan yang sangat luas dan memiliki pelbagai bentuk.
Antaranya ialah menyumbangkan juadah berbuka puasa atau bersahur kepada mereka yang memerlukan. Nabi saw bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang memberi buka orang yang berpuasa, maka dia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang puasa itu, tanpa mengurangkan pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun." (Riwayat Imam Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad).
Daripada itu, menyumbang juadah berbuka puasa juga merupakan amalan yang sangat digalakkan di dalam Islam.
Ini kerana apabila kita menyumbangkan juadah berbuka, ia bukan sahaja dapat membantu mereka yang memerlukan, malah ia turut menunjukkan rasa syukur kita kepada Allah.
Ia juga dapat sentiasa memberi peringatan kepada kita bahawa setiap yang kita miliki di dunia bukanlah milik kita semata-mata, dan hanya amalan soleh yang dapat menjamin kesejahteraan kita kelak.
Tambahan pula, bersedekah juga dapat menghapuskan dosa-dosa kita yang lalu, melindungi kita di hari akhirat, dan melapangkan hati kita daripada sifat-sifat yang dikeji oleh Allah swt.
Daripada Abu Hurairah ra, ia berkata Rasulullah saw bersabda:
"Sedekah itu dapat menghapuskan dosa sebagaimana air memadamkan api." (Hadir riwayat Tirmidzi).
PELBAGAI BENTUK SEDEKAH
Antara bentuk sedekah lain yang dapat kita lakukan adalah memberikan senyuman dan ucapkan salam kepada saudara seagama kita.
Bukan sahaja kita mendoakan kesejahteraan mereka, malah ia dapat menceriakan hari seseorang yang berpuasa.
Berkongsi ilmu, secara langsung mahupun melalui talian, misalnya menerusi platform media sosial, boleh diambil kira sebagai bentuk sedekah.
Sumbangan yang kecil walau hanya sebiji buah kurma, mahupun sepotong ayat, janganlah kita sangka sebagai sesuatu yang kecil dan remeh. Ini kerana Allah swt telah menjanjikan bahawa setiap butir sumbangan atau sedekah yang kita sumbangkan pasti akan Allah swt beri ganjaran ke atasnya.
MENUNAIKAN ZAKAT
Dalam pada itu, agama Islam amat menitikberatkan amalan bersedekah. Kepentingannya dapat kita lihat daripada kewajipan untuk kita membayar zakat fitrah pada bulan Ramadan setiap tahun.
Manakala bagi mereka yang dikurniakan kelebihan rezeki, diwajibkan membayar zakat harta ke atasnya. Sungguh dengan mengikut garis pandu dan kewajipan yang telah ditetapkan Allah swt, dapat kita menjaga kesejahteraan masyarakat Islam di Singapura.
Contohnya, dapat kita peroleh daripada kisah Khalifah Umar Bin Al-Khattab ra di mana beliau sering berjalan-jalan di kawasan rumah-rumah umat Islam pada waktu itu untuk mengetahui keadaan kehidupan mereka.
Setelah melihat keadaan hidup mereka yang sangat miskin dan memerlukan, beliau telah memanfaatkan setiap zakat yang dikeluarkan dan mengagihkannya.
Ia menunjukkan akan kepentingan dan kelebihan sedekah yang dapat menjaga kesenangan dan mengelakkan kemiskinan dalam kalangan umat Islam.
Maka dengan itu, dapat kita rumuskan bahawa setiap amalan yang kita lakukan di dunia, tidak akan dipandang remeh oleh Allah swt.
Sesungguhnya harta kekayaan kita di dunia bukanlah sesuatu yang dapat menjamin kesejahteraan kita di akhirat kelak, kecuali jika ia dikeluarkan berpandukan Sunnah Nabi saw dan kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah swt.
Akhir kata, mari sama-sama kita berusaha untuk menjadi diri kita yang lebih baik dari yang semalam, dan sesungguhnya tangan yang di atas itu, lebih baik dari tangan yang di bawah, sebagaimana diajar oleh Nabi saw.
Penulis berkhidmat sebagai Pegawai Pembangunan Belia di Masjid Darul Aman. Beliau memiliki kelulusan ijazah sarjana muda dalam bidang Syariah Usuluddin daripada Universiti Yarmouk, Jordan.