Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Video TikTok tular, remaja autistik terima kunjungan kawan di 'rumah terbuka'

Video tersebut paparkan dua rakan sedang jamu selera sambil ramah mesra dengan remaja autistik itu
May 17, 2023 | 05:30 AM



SELAMA hidupnya, Encik Muhammad Danish Naufal Shah Ibn Mohamed Yatim, memang sukar 'buat kawan'.



Fitrahnya, sebagai insan autistik bermakna Encik Danish menghadapi kesukaran berinteraksi dan berkomunikasi, selain memiliki tingkah laku yang mungkin tampak ganjil bagi sebahagian besar orang.



Justeru, sepanjang zaman persekolahannya, beliau sering dibuli dan dipersenda.



Meskipun mendapati kesukaran bergaul dan berinteraksi, pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Central itu berkata jauh di lubuk hatinya, beliau tetap mendambakan hubungan dan persahabatan seperti orang lain, yang tidak mempunyai autisme.



"Saya bukan tidak mahu berkawan, tapi saya tidak tahu bergaul dengan orang dan segan untuk melakukannya.



"Lagi-lagi dengan keadaan saya, orang selalu merenung saya dengan pelik dan menjauhkan diri mereka daripada saya," kata remaja berusia 18 tahun.



Keinginannya untuk berkawan itu menggerakkan hatinya mengundang rakan-rakan sekolah berhari raya di rumahnya.



Ketika ditemui wartawan, Encik Danish akui beliau tidak ramai kawan di sekolah, namun terdapat beberapa rakan-rakannya yang sering cuba melibatkan beliau dalam kegiatan dan perbualan mereka sehari-hari.



"Saya gementar juga...takut jika ada rakan saya datang ke rumah saya nanti," kata beliau.



Perasaan gementarnya itu dikongsi ibunya, Cik Nurul Indriati Darni.



Kata Cik Nurul, ini merupakan pertama kali Encik Danish menjemput kawan-kawannya ke rumah.



"Keadaannya di ITE, terutama pada permulaan sekolah, agak mencabar untuk Danish dan saya pun terfikir ada ke orang yang nak datang?



"Tetapi sebagai seorang ibu, saya harus sokong sepenuhnya dan membantu beliau dengan persiapan... tapi pada masa yang sama, saya juga menyiapkan beliau secara mental kalau kawan-kawannya tidak datang," kata Cik Nurul, yang mempunyai empat lagi orang anak.



Encik Danish berkata beliau sudah mula buat persiapan seminggu sebelum 'rumah terbukanya' itu.



Beliau menyiapkan kad jemputan ringkas untuk diberikan kepada beberapa orang rakan.



Apabila tiba pada harinya, Encik Danish berkongsi bahawa beliau rasa begitu gelisah.



"Ketika saya menjemput mereka ke rumah saya, ada yang kata mereka tidak boleh datang, ada yang berkata mereka akan cuba untuk datang.



"Jadi saya gelisah, kerana saya tidak tahu sekiranya ada sesiapa yang akan datang," katanya.



Menyambung cerita, Cik Nurul berkata beliau begitu gembira dan bersyukur, apabila dua orang rakan anaknya memberi salam.



"Perasaan saya... tidak terkata. Gembira untuk Danish, bersyukur dia ada kawan-kawan seperti ini," kata beliau.



Cik Nurul sempat merakamkan detik gembira anaknya itu, dan berkongsi video tersebut yang tular di media sosial.



Menceritakan pengalaman itu, Encik Danish berkata:



"Saya gembira sangat mereka datang... kami dapat makan, bermain game dan bergambar bersama."



Mengulas tentang video tersebut, Cik Nurul berkata beliau sering memuat naik video ke media sosial sebagai caranya meningkatkan kesedaran masyarakat tentang autisme.



Selain autisme, Encik Danish juga pernah didiagnos menghadapi barah otak pada usia lapan tahun, yang turut menjejas pertumbuhannya secara fizikal.



"Saya tidak sangka video itu akan menjadi viral.



"Tetapi saya gembira orang ramai dapat melihatnya dan kami menerima banyak sokongan.



"Pada masa akan datang, saya berharap orang ramai dapat terus menunjukkan sikap prihatin dan inklusif untuk individu seperti anak saya," kata Cik Nurul, yang bekerja sendiri.




"Saya tidak sangka video itu akan menjadi viral.

Tetapi saya gembira orang ramai dapat melihatnya dan kami menerima banyak sokongan.

Pada masa akan datang, saya berharap orang ramai dapat terus menunjukkan sikap prihatin dan inklusif untuk individu seperti anak saya."

- Cik Nurul Indriati Darni, ibu kepada Encik Muhammad Danish Naufal Shah Ibn Mohamed Yatim.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >