Bangunan seperti Masjid Omar Kampung Melaka dan Madrasah Aljunied Al-Islamiah tidak asing lagi bagi masyarakat Islam di Singapura sebagai hartanah wakaf.
Pemberian wakaf ini juga selalunya dikaitkan dengan nama-nama tersohor seperti Syed Omar Ali Aljunied dan Hajjah Fatimah yang merupakan hartawan atau ahli perniagaan.
Jadi adakah kita perlu memiliki hartanah atau harta yang banyak untuk diwakafkan?
Wakaf merupakan satu daripada amalan bersedekah yang sangat digalakkan dalam Islam. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan wakaf merujuk kepada sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai, atau sesuatu yang diuntukkan bagi keperluan yang berkaitan dengan agama Islam.
Sebagai contoh, ada tanah wakaf yang diuntukkan bagi keperluan agama seperti untuk perkuburan, mendirikan masjid, dan lain-lain.
Dalam bahasa Arab pula, wakaf bermaksud menghentikan, menahan atau memelihara. Dalam syariah, wakaf merujuk kepada sadaqah jaariyah iaitu sedekah yang berulang atau berterusan. Aset yang disedekahkan pula ialah secara sukarela dan boleh didatangkan dalam bentuk wang tunai, harta benda atau aset-aset lain tanpa mengira nilai.
Bagaimanapun tujuan wakaf mestilah atas sebab-sebab berikut iaitu bertakwa, beragama dan untuk beramal.
Berdasarkan pengertian perkataan wakaf ini, dapat dirumuskan bahawa wakaf ialah satu amalan di mana seseorang menyerahkan sebahagian aset atau harta yang dimiliki untuk dimanfaatkan oleh masyarakat dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah swt dan aset-aset tersebut digunakan buat selama-lamanya.
Berdasarkan definisi ini juga, sesiapa sahaja boleh membentuk wakaf.
Di Singapura, Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) telah diumumkan pada Jun 2020 sebagai satu wakaf kolektif yang bertujuan menyediakan wadah bagi semua orang dan sesiapa sahaja dalam masyarakat untuk melabur dalam saham akhirat mereka menerusi sadaqah jaariyah iaitu sumbangan apa bentuk aset ke dalam wakaf. Ia menjalani beberapa penilaian bagi memastikan ia dapat dibentuk dengan baik dan kukuh demi menyokong keperluan masa depan masyarakat.
Antaranya, pada 5 Februari lalu, pindaan ke atas Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) di Parlimen telah memberi kuasa kepada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) untuk mengawal selia WMS – bertujuan menubuhkan satu dana wakaf masyarakat baru bagi umat Islam Singapura.
Justeru, sebagai pengawal selia semua wakaf di Singapura, Muis bertanggungjawab membangunkan dan meningkatkan aset-aset wakaf untuk memenuhi keperluan sosio-agama umat Islam di Singapura, menurut Ketua Pembangunan Dana Masyarakat, Cik Nur Ayuni Affandi Salleh.
Sebagai contoh, dalam tempoh 30 tahun akan datang, beberapa masjid dan madrasah di Singapura akan menghadapi pembaharuan pajakan tanah dan memerlukan perbelanjaan modal yang besar melebihi apa yang boleh disediakan oleh Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF) serta derma orang ramai.
“Di bawah WMS, individu boleh menyumbang secara sukarela dalam bentuk caruman tunai langsung atau pemberian terancang melalui pencalonan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan insurans atau melalui wasiat. Dana ini akan dikumpulkan dan dilaburkan dalam instrumen pelaburan patuh syariah.
“Muis kemudian akan mengagihkan hasil pelaburan itu bagi tujuan kolektif seperti pembaharuan pajakan masjid, pembangunan asatizah serta program kemasyarakatan lain,” kata Cik Nur Ayuni.
Ini bermakna bukan sahaja orang kaya tetapi juga semua warga Muslim Singapura boleh menyumbang dan menjadi sebahagian daripada usaha pembinaan warisan negara dengan membuat perancangan terhadap harta pusaka mereka menerusi konsep Perancangan Legasi Islam (ILP) seperti membuat wasiat, selain menyumbang tunai.
Konsep ILP merujuk kepada perancangan pengagihan harta pusaka apabila seorang Muslim meninggal dunia, berdasarkan hukum syarak mengenai pusaka atau faraid.
Selain faraid, ada banyak lagi cara dalam pembahagian harta seperti memanfaatkan wasiat dan hibah (hadiah).
Faraid merupakan peraturan syarak yang mengaturkan pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang.
Ahli waris yang berhak menerima harta daripada pembahagian faraid akan mendapat pembahagian tetap berdasarkan apa yang telah disebut dalam Al-Quran dan hadis.
Hibah ialah hadiah yang diperuntuk oleh seseorang semasa hayatnya kepada orang lain.
Sebagai contoh, pencalonan CPF dianggap sebagai hibah dan seseorang boleh mencalonkan seseorang atau pihak tertentu sebagai penerima hadiah ini apabila mereka meninggal dunia.
Ini diperbolehkan mengikut fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa. Jawatankuasa tersebut dipengerusi Mufti Singapura.
Malah, pencarum CPF juga boleh membuat pencalonan CPF untuk diberikan kepada badan-badan amal dan sosioagama seperti masjid-masjid, dana-dana madrasah dan Wakaf Masyarakat Singapura.
“Dengan pemahaman yang lebih baik tentang Perancangan Legasi Islam (ILP), seseorang akan dapat menilai asetnya dengan lebih baik dan membuat keputusan berdasarkan syariah tentang siapa yang boleh menjadi penerima agihan harta pusaka mereka, selain penerima bukan faraid,” jelas Cik Nur Ayuni.
Kategori penerima bukan faraid termasuk anak angkat, anak luar nikah, saudara bukan Islam, atau adik-beradik yang tidak menerima sebarang agihan melalui faraid dan sebagainya.
Sebahagian daripada kesedaran itu termasuk pertimbangan untuk mengenepikan beberapa aset untuk kebajikan masyarakat seperti menyumbang kepada WMS sebagai sadaqah jaariyah.
Bagi membantu masyarakat memahami lebih lanjut dan menggalak perancangan harta pusaka mereka menerusi konsep Perancangan Legasi Islam (ILP), Muis menetapkan bulan Ogos sebagai Bulan Wakaf.
Sepanjang Bulan Wakaf, pelbagai kegiatan akan diadakan untuk menyokong masyarakat memahami perancangan harta pusaka serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan dan fungsi WMS.
“Sebagai anggota masyarakat Islam Singapura, sokongan dan sumbangan anda kepada WMS sangat bernilai kerana anda boleh membantu menyokong keperluan generasi semasa dan masa depan umat Islam di Singapura seperti pembangunan asatizah kita, dan mengekalkan kewujudan dan kehadiran institusi Islam di Singapura di samping melabur untuk saham akhirat anda,” kata Cik Nur Ayuni.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web Wakaf Masyarakat Singapura di www.wakaf.sg.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg