Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Warnai budaya, gaya hidup Melayu Singapura dalam lukisan

Apr 25, 2022 | 05:30 AM



DALAM setiap buku kanak-kanak Singapura, Cik Rahimah Ramlan berusaha menggambarkan kebudayaan Melayu di Singapura.



Sebagai ilustrator buku Melayu, Cik Rahimah berkata, ia peluang yang baik untuk memaparkan budaya dan gaya kehidupan kanak-kanak Melayu/Islam di Singapura melalui makanan, pemakaian dan lain-lain.



Beliau yang minat melukis sejak kecil lagi menerangkan sebagai ilustrator tempatan, beliau harus lebih peka menonjolkan 'kesingapuraan' dalam ilustrasinya.



Pada 2019, beliau membuat ilustrasi buku kanak-kanak berjudul 'Air Tangan Nenek', yang ditulis oleh Cik Hazliana Mohamed Lahir.



Buku tersebut menceritakan hubungan seorang cucu perempuan dan neneknya ketika mereka membuat epok-epok. Kini, beliau dan Cik Hazliana dalam proses mengusahakan buku kedua mereka.



Walaupun mengambil masa yang lama bagi buku kedua, ilustrator berusia 38 tahun ini menekankan pentingnya menggayakan watak-watak Melayu kanak-kanak di Singapura dengan tepat.



Cik Rahimah memberitahu:



"Saya rasa amat penting bagi anak-anak Melayu/Islam Singapura melihat watak-watak kemelayuan, terutamanya sebagai watak utama, kerana ia boleh menjadi salah satu wadah untuk mereka mencipta identiti sendiri.



"Dari segi proses ilustrasi, selepas menerima manuskrip, saya membacanya sekurang-kurangnya lima kali, sebelum membuat apa-apa.



"Selepas mencatat nota tentang tema cerita, watak, personaliti, latar tempat yang perlu digambarkan, dan sebagainya, barulah saya melakarkan watak utama.



"Seronok juga dapat menggunakan idea atau ekspresi yang tidak dijangka atau menambah lapisan kedua pada cerita bertulis.



"Insya-Allah, buku kedua kami mempunyai banyak ilustrasi sebegitu.



"Melalui membaca buku bergambar dengan anak-anak sendiri, saya menyedari betapa tertariknya mereka terhadap butiran dalam ilustrasi, sehingga kadangkala orang dewasa seperti kita mungkin terlepas butiran ini."



Pemegang ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Sosiologi) dari Universiti Nasional Singapura (NUS) turut menjadikan kisah teladan Melayu dan alam semula jadi sebagai inspirasi melukis.



Kata beliau:



"Saya tertarik dengan kisah-kisah teladan seperti 'Nujum Pak Belalang', 'Batu Belah Batu Bertangkup', 'Bawang Merah dan Bawang Putih'. Untuk portfolio saya, saya sedang mengusahakan beberapa ilustrasi, yang mudah-mudahan, boleh memberi pandangan baru terhadap kisah-kisah seperti ini.



"Selain itu, saya mengambil inspirasi dari alam semula jadi, terutama sekali taman-taman di serata Singapura. Lukisan saya 'Di Taman Peruntukan' mengambil inspirasi dari taman terbaru di Bukit Gombak, di mana terletaknya taman peruntukan yang sangat cantik."



Beliau juga menjadikan kedua-dua anak perempuannya, Nur Adeena Muhammad Alif dan Nur Ayra Muhammad Alif sebagai inspirasi utama.



Hal ini kerana, tingkah laku dan ekspresi kanak-kanak boleh dikatakan tulen untuk digambarkan di atas kertas.



Mengambil keputusan untuk berhenti dari bekerja di sektor perkhidmatan sosial dan menjadi seorang suri rumah tangga pada 2015, beliau melukis sebagai hobi dan meredakan tekanan.



Beliau menjelaskan: "Hasil pengaruh emak yang gemar menjahit, mengait dan membuat kraf tangan, saya mula meminati seni kreatif. Apabila sudah berkahwin, saya membuat lukisan fesyen selebriti dan meniru watak kartun kegemaran anak sulung saya.



"Terus terang, kemahiran melukis saya pada waktu itu tidaklah berapa baik, tetapi kerana ia memberi keseronokan, saya teruskan sahaja.



"Walaupun tidak dilatih secara tradisional di sekolah seni, saya banyak belajar daripada ramai artis profesional melalui kursus dalam talian, kursus singkat di Kolej Seni LaSalle dan sebagainya.



"Alhamdulillah, setelah beberapa tahun memuat naik lukisan-lukisan saya di Instagram, saya mula menerima komisen lukisan potret dan projek-projek lain.



"Saya juga berpeluang melakar ilustrasi seorang olahragawan Paralimpik (Encik Steve Tee, penunggang basikal tandem yang cacat penglihatan untuk Kementerian Kebudayaan, Kemasyarakatan dan Belia (MCCY) ketika Sukan Paralimpik tahun lalu.



"Saya berharap kemahiran saya akan bertambah dan mampu menghasilkan lebih banyak buku tempatan dan antarabangsa. Saya amat berterima kasih kepada suami saya, Muhammad Alif Haron, kerana dia banyak menyokong dan membantu saya. Mungkin satu hari nanti, saya akan menulis dan melukis buku kanak-kanak saya sendiri."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >