Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KEPUTUSAN PSLE

140 murid PSLE diberi pertimbangan khas disebabkan Covid-19

Nov 26, 2020 | 05:30 AM



SERAMAI 140 murid-murid darjah enam telah diberikan pertimbangan khas atas sebab berkaitan Covid-19 bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini.



Ini termasuk murid-murid yang tidak dapat menduduki beberapa kertas peperiksaan kerana cuti sakit akibat jangkitan pernafasan akut.



Ini merangkumi sekitar 0.4 peratus kohort PSLE tahun ini.



Semalam, 39,995 murid menerima keputusan mereka, kurang sedikit berbanding 40,256 murid tahun lalu.



Bagi memastikan keadilan kepada semua ekoran pandemik ini, Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) berkata pada Isnin lalu bahawa ia mengambil kira beberapa faktor - termasuk prestasi murid dalam kertas lain dan prestasi kohort sekolah mereka bagi subjek yang terjejas dalam PSLE dan peperiksaan yang dijalankan di sekolah.



Murid-murid telah mengambil keputusan mereka di dalam kelas berbanding di dewan yang merupakan kebiasaan sebelum ini disebabkan pandemik Covid-19.



Menurut Kementerian Pendidikan (MOE), mengambil slip keputusan di dalam bilik darjah "memberi mereka peluang untuk bersama-sama rakan sekelas dan mendapatkan nasihat guru secara bersemuka tentang langkah mereka selanjutnya."



Bagi tahun kelima berturut-turut, 98.4 peratus murid menunjukkan prestasi baik dan boleh melangkah ke sekolah menengah.



Ia sepadan dengan kadar dari 2016 hingga tahun lalu, dan kekal menjadi prestasi terbaik sejak peperiksaan nasional itu diperkenalkan pada 1960.



Tahun ini, 66.3 peratus kohort layak ke kursus Ekspres di sekolah menengah, sama seperti kadar tahun lalu.



Di samping itu, 21.2 peratus layak ke kursus Normal (Akademik) dan 11 peratus kursus Normal (Teknikal).



Menulis di laman Facebooknya, Menteri Pendidikan, Encik Lawrence Wong, menekankan agar murid tidak memberi terlalu banyak tumpuan terhadap keputusan yang diterima.



"Keputusan anda tidak menentukan anda dan pastinya tidak menentukan masa depan anda. Terdapat ramai yang potensi mereka belum terserlah, tidak menunjukkan prestasi baik di sekolah tetapi kemudian mula menyerlah dan cemerlang dalam bidang yang mereka pilih.



"Sebaliknya terdapat juga contoh mereka yang meraih keputusan yang tinggi di awal kehidupan mereka tetapi mula berpeluk tubuh dan tidak meraih sepenuhnya potensi mereka," ujarnya.



Beliau turut menasihati murid-murid dan ibu bapa agar melakukan kajian dan mencari seberapa banyak maklumat tentang program, budaya dan etos sesebuah sekolah menengah yang akan mereka pertimbangkan, agar dapat membuat pilihan yang sebaik-baiknya.



Dalam pada itu, sejumlah 323 pelajar madrasah telah menduduki PSLE tahun ini.



Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), sebanyak 98.5 peratus atau 318 pelajar layak melangkah ke sekolah menengah.



Tahun ini merupakan kali pertama kohort pelajar dari Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah (MWTI) menduduki PSLE sejak 2017 selepas tiga tahun ia gagal memenuhi ukur tara PSLE yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (MOE) sebelum ini.



Sejumlah 58 pelajar dari madrasah itu mengambil peperiksaan nasional itu tahun ini dengan 56 daripada mereka berjaya melangkah ke sekolah menengah.



Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamed, dalam catatannya semalam mengucapkan tahniah kepada para pelajar termasuk pelajar madrasah yang telah bertungkus-lumus meskipun berdepan dengan cabaran akibat pandemik Covid-19.



"Kepada semua pelajar, ini merupakan satu daripada pelbagai pencapaian penting dalam pendidikan dan perjalanan kehidupan anda.



"Saya menggalak anda agar terus memburu minat dan terus meneroka pelbagai laluan untuk membina kekuatan anda," ujarnya.



Turut memberikan kata-kata perangsang ialah Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohd Maliki Osman.



"Meski ada di antara anda yang mungkin tidak mencapai jangkaan anda, usah sedih. Teruskan usaha kerana anda mempunyai perjalanan yang panjang dalam laluan pendidikan anda dan lebih banyak peluang untuk membangunkan kekuatan serta meneroka minat anda di sekolah menengah," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >